Pages

Wednesday, October 17, 2012

Laporan Refleksi Pengajaran Makro dan Pengajaran Semula Sains


Laporan Refleksi Pengajaran Makro dan Pengajaran Semula Sains

Pengenalan
Pada 13 September 2012, bersamaan dengan Hari Khamis yang lepas, saya telah menjalankan pengajaran makro mengenai topik pembelajaran “Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kadar Penyejatan Air” di bawah tema Menyiasat Alam Bahan, Sukatan Pelajaran Sains KBSR Tahun 5, terhadap 15 orang guru pelatih yang bertindak sebagai murid-murid Tahun 5. Pengajaran makro yang dijalankan selama satu jam (60 minit) tersebut dijalankan bersama-sama dengan dua orang lagi ahli kumpulan saya di bawah seliaan pensyarah kursus saya.
Pada pengajaran makro tersebut, saya telah mengajar bahagian perbincangan berdasarkan pemerhatian dan membimbing murid untuk membuat kesimpulan pada peringkat penstrukturan semula idea, membincangkan lembaran kerja dan kepentingan-kepentingan penyejatan dalam kehidupan seharian kita di bawah peringkat aplikasi idea, dan seterusnya membuat penutup akademik dan menguji kefahaman murid untuk peringkat Refleksi. Borang-borang maklum balas telah kami edarkan kepada guru-guru pelatih untuk menilai dan memberikan komen mereka terhadap kami sepanjang kami menjalankan pengajaran makro tersebut.
Walaupun terdapat banyak gangguan dan kekangan semasa menjalankan pengajaran makro tersebut, namun bersyukur kepada Tuhan kerana saya telah berjaya melaksanakan pengajaran tersebut dengan lancar. Terdapat banyak perkara yang telah saya pelajari daripada pengajaran makro ini. Oleh itu, refleksi ini akan membincangkan kekuatan-kekuatan dan kelemahan-kelemahan yang dikenalpasti semasa menjalankan pengajaran makro, memberikan cadangan-cadangan penyelesaian untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang telah saya kemukakan, serta proses-proses dan perasaan semasa menjalankan pengajaran semula makro berdasarkan rakaman, maklum balas rakan-rakan sebaya, dan pensyarah.

Kekuatan-Kekuatan yang Dikenalpasti
Sepanjang menjalankan pengajaran makro, saya sedar bahawa saya dapat mengurus dan mengawal bilik darjah dengan tersusun dan berkesan. Hal ini demikian kerana saya telah menggunakan pelbagai cara dan “cue” untuk mengawal keadaan dalam bilik darjah. Sebagai contoh, saya telah meminta murid-murid untuk mengangkat tangan sebagai tanda sudah bersedia atau sudah siap melakukan lembaran kerja. Apabila saya mendapati bahawa murid-murid mula berbual-bual semasa sendiri atau kurang memberikan fokus kepada pembelajaran, saya akan bertepuk tangan atau bertanya beberapa soalan untuk mendapatkan perhatian mereka. Menurut Haliza dan Joy (2009), pengurusan bilik darjah merujuk kepada semua tindakan guru semasa mengendalikan kelas supaya dapat mewujudkan suasana persekitaran yang tersusun untuk mengalakkan pembelajaran yang berkesan. Oleh itu, dengan menggunakan cara-cara seperti ini, saya percaya bahawa keadaan murid-murid akan lebih terkawal dan dapat menumpukan perhatian mereka terhadap apa yang telah kita ajar.
Selain itu, saya juga sedar bahawa saya berupaya untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan dan interaksi dua hala dengan murid dengan baik. Daripada pemahaman yang lepas, saya sedar bahawa komunikasi yang berkesan dapat menghasilkan iklim pembelajaran yang kondusif dan murid-murid akan lebih aktif dalam proses P&P (Mok, 2008). Oleh itu, semasa mengajar, saya sering mengutarakan soalan-soalan yang sesuai dengan tahap kognitif murid-murid kepada mereka. Semasa membincangkan lembaran kerja, saya akan berinteraksi dengan murid dan melibatkan murid dalam perbincangan dengan meminta murid-murid memberikan pendapat atau jawapan mereka, dan bertanya kepada murid-murid yang lain sama ada mereka bersetuju dengan jawapan murid tersebut.
Pelbagai teori, kaedah, dan teknik juga saya aplikasikan semasa menjalankan pengajaran makro tersebut. Antaranya ialah teknik penyoalan, semasa saya bertanya soalan terhadap murid-murid saya. Selain itu, kaedah pembelajaran koperatif juga telah saya gunakan apabila saya meminta murid-murid berbincang untuk mendapat satu jawapan yang dipersetujui sesama mereka dalam kumpulan. Menurut Tay (2000), pembelajaran  koperatif bermaksud sekumpulan murid bekerjasama belajar dalam kumpulan kecil bagi mencapai matlamat pendidikan yang dikongsi bersama. Malah, saya turut menggunakan pengajaran ekspositori apabila saya “bersyarah” dan memberitahu murid-murid tentang kepentingan proses penyejatan dalam kehidupan harian kita. Saya juga mengaplikasikan teori pembelajaran behavioris, apabila saya meminta murid-murid bertepuk tangan apabila murid-murid mampu menjawab soalan dengan betul sebagai satu usaha untuk memotivasi murid-murid agar mereka terus aktif dalam pembelajaran. Situasi ini memberikan satu iktibar yang amat penting kepada saya bahawa sebagai seorang guru yang berkaliber dan dedikasi, kita perlulah bijak mengaplikasikan pelbagai teori, kaedah, dan teknik semasa mengajar supaya kita dapat menyampaikan kandungan pengajaran kita dengan sempurna di samping murid-murid tidak bosan dengan pengajaran kita.
Di samping itu, saya berpendapat bahawa saya mempunyai keyakinan diri yang amat tinggi sepanjang menjalankan pengajaran makro saya. Walaupun saya tidak pernah mengajar sebelum ini, namum saya tetap bertindak seperti saya seorang guru yang sangat berpengalaman dalam bidang pendidikan semasa menjalankan pengajaran makro tersebut. Pada saya, keyakinan diri ini adalah amat penting kerana murid hanya akan mendekati, menghormati, dan mencontohi tindakan gurunya apabila gurunya sentiasa berkeyakinan dalam menjalankan semua tugasannya. Kesannya, pengajaran saya berjaya dan semua murid membuat apa yang saya minta tanpa menimbulkan sebarang masalah disiplin.
Kefasihan dan kelancaran bahasa yang ada pada diri saya juga membantu saya menyempurnakan pengajaran makro pada hari tersebut. Walaupun saya perlu bebahasa Melayu dan berhadapan dengan banyak soalan yang dikemukakan oleh murid-murid, namun saya masih dapat menyampaikan segala kandungan pembelajaran saya dengan lancar tanpa sebarang masalah ketidakfahaman bahasa.
Penggunaan pelbagai media bahan bantu mengajar, iaitu slaid-slaid power point dan juga video, serta lembaran kerja yang menarik yang telah saya gunakan semasa menjalankan pengajaran makro juga membolehkan murid mengekalkan minat dan motivasi mereka terhadap pelajaran, menyebabkan mereka sentiasa melibatkan diri secara aktif sepanjang proses P&P, dan membolehkan mereka lebih mengingati kandungan pembelajaran yang telah kita ajar. Oleh itu, BBM dan juga lembaran kerja juga memainkan peranan dalam pelaksanaan pengajaran makro yang berjaya dan berkesan.
Secara keseluruhannya, saya mendapat maklum balas daripada rakan-rakan dan pensyarah saya bahawa pengajaran makro yang telah saya laksanakan pada hari tersebut adalah mantap dengan penerangan yang jelas, nada suara yang kuat dan baik, intonasi yang menarik dan arahan yang agak jelas. Sesungguhnya ini amat mengejutkan saya, tetapi gembira memandangkan ini merupakan kali pertama saya menjalankan pengajaran makro terhadap subjek Sains ini.

Kelemahan-Kelemahan yang Dikenalpasti
Walaupun saya dapat melaksanakan pengajaran makro saya dengan agak berjaya, tetapi saya mendapati bahawa murid-murid seakan-akan tertekan dan kurang riang semasa saya mengajar. Pada masa itu saya tertanya-tanya kepada diri sendiri: Adakah saya terlalu garang atau tegas semasa mengajar? Adakah murid-murid tidak dapat mengikuti apa yang sedang saya ajar? Selepas melihat semula proses pengajaran makro saya menerusi rakaman video, saya mendapati dan sedar bahawa rupa-rupanya unsur humor atau kecindaan semasa mengajar masih kurang dalam diri saya. Hal ini demikian kerana saya mendapati bahawa saya agak serius dan tidak senyum semasa mengajar, memandangkan saya agak cemas dan gementar ketika menjalankan pengajaran makro tersebut. Keadaan ini mungkin menyebabkan murid-murid beranggapan bahawa saya ialah seorang guru yang garang, kurang ramah, sukar didekati, dan tegas orangnya.
Semasa melihat semula rakaman pengajaran makro saya, saya juga mendapati bahawa saya selalu menggunakan perkataan “Ah” apabila saya sedang berfikir atau semasa mengadakan interaksi dengan murid-murid. Saya sedar bahawa penggunaan perkataan-perkataan yang tidak diperlukan dengan terlalu kerap seperti ini akan mengganggu kelancaran dan proses pelaksanaan pengajaran-pembelajaran. Namun, ia memerlukan satu tempoh masa yang agak panjang untuk saya berubah memandangkan ia sudah menjadi sebahagian daripada tabiat saya semasa bercakap.
Aspek kelemahan lain yang dapat saya kenalpasti semasa menonton semula rakaman pengajaran makro saya ialah saya seakan-akan hanya berdiri statik di sesuatu tempat sahaja dan tidak bergerak ke sana sini untuk mendekati diri dengan murid. Keadaan ini mungkin menyebabkan murid beranggapan bahawa guru ini adalah sukar untuk didekati dan hanya selesa apabila berada di tempat tersebut. Murid-murid juga akan beranggapan bahawa guru tersebut hanya akan berada di tempat itu sampai tamat kelas dan tidak akan datang ke meja mereka. Lantas mereka pun mula kurang memberikan fokus dan mula membuat kerja mereka sendiri. Walaupun saya tidak sedar bahawa saya tidak mempunyai banyak pergerakan semasa mengajar, namun, aspek ini begitu ketara dan jelas kelihatan apabila saya melihat semula pengajaran makro saya.
Daripada borang-borang maklum balas rakan-rakan yang telah kami kumpulkan, saya mendapati bahawa terdapat sesetengah guru pelatih yang merasakan bahawa kadar percakapan saya adalah terlalu cepat. Keadaan ini mungkin akan menyebabkan murid-murid tidak dapat mendengar apa yang hendak saya sampaikan semasa mengajar. Kesannya, murid-murid mungkin akan tertinggal dalam pelajaran atau gagal melakukan apa-apa perkara yang telah saya arahkan. Maklum balas pertama saya selepas saya mendapat tahu perkara ini ialah: Adakah pernyataan ini benar? Ataupun tanggapan sesetengah orang sahaja? Selepas mengimbas kembali apa yang berlaku semasa pengajaran makro, saya juga mendapati masalah yang sama. Oleh itu, ini memberikan satu kesedaran kepada saya bahawa apabila saya mengajar kelak, saya perlu bercakap pada kadar yang sesuai dengan tahap kognitif murid-murid dan pastikan bahawa setiap murid faham akan apa yang ingin saya sampaikan sebenarnya.
Tuntasnya, masih terdapat banyak kelemahan yang terdapat pada diri saya semasa menjalankan pengajaran makro, seperti kurang prihatin, tulisan kecil, dan sebagainya selain daripada kelemahan yang disebutkan di atas. Kelemahan-kelemahan ini mungkin tidak begitu serius atau ketara semasa mengajar, tetapi saya percaya bahawa ia tetap akan memberikan kesan yang tidak baik pada jangka masa yang panjang. Oleh itu, saya perlulah memikirkan cara-cara yang sesuai untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang dapat saya ketengahkan seperti yang disenaraikan di atas.

Cadangan Penambahbaikan
Untuk mengatasi masalah kekurangan unsur kecindaan atau humor semasa mengajar, saya sedar bahawa saya perlulah sentiasa senyum dan mempamerkan riak wajah yang ceria kepada murid-murid. Hanya dengan ini murid-murid akan berasa bahawa gurunya adalah seorang yang ceria dan mudah didekati. Selain itu, saya juga boleh mencari atau memikirkan beberapa jenaka lawak yang boleh dikongsikan bersama di kelas semasa rehat atau ketika perantaraan antara peringkat pengajaran. Dengan berbuat demikian murid-murid mungkin akan beranggapan bahawa guru tersebut mempunyai unsur kecindaan yang amat tinggi.
Selain itu, saya juga perlulah mencuba untuk mengurangkan penggunaan istilah “Ah” semasa berfikir atau semasa berinteraksi dengan murid-murid. Apabila saya berfikir panjang, bukan sahaja perkataan “Ah” sahaja, malah perkataan-perkataan seperti “lah”, “kah”, “ya”, “eh”, dan sebagainya juga haruslah saya kurang sebanyak yang mungkin. Dengan mengurangkan percakapan seperti ini, saya percaya bahawa saya akan dapat menyampaikan kandungan saya dengan lebih lancar dan ia akan lebih mempamerkan sifat profesional saya sebagai seorang guru yang mulia dan beretika.
Pada pengajaran makro yang seterusnya atau praktikum yang akan datang, saya juga akan berusaha untuk melakukan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat, dengan kadar yang sesuai. Hal ini demikian kerana saya percaya bahawa pergerakan yang terlampau banyak juga kurang sesuai kerana ia boleh dianggap sebagai satu gangguan kepada murid-murid. Oleh itu, memiliki sedikit pergerakan di dalam bilik darjah nescaya mampu menarik perhatian murid dan menyebabkan mereka fokus kepada pembelajaran tanpa berani melakukan apa-apa perkara yang tidak berkaitan dengan pelajaran.
Di samping itu, saya juga akan mencuba untuk mengawal kadar pertuturan saya agar tidak terlalu cepat atau terlalu perlahan. Mungkin saya boleh berhenti seketika untuk membolehkan murid-murid memikir sejenak apa yang telah saya sampaikan atau bertanya kepada murid-murid sama ada mereka faham atau dapat mengikuti pelajaran sebelum saya meneruskan topik pembelajaran yang seterusnya. Dengan cara ini, saya dapat memastikan bahawa tiada murid yang tidak faham atau tertinggal pelajaran dalam proses pengajaran-pembelajaran saya.
Akhir sekali, saya sedar bahawa membuat persediaan awal yang rapi adalah perlu dan mustahak agar dapat merancang apakah yang hendak saya lakukan di samping menguasai penggunaan masa dalam kelas dengan lebih baik. Dengan membuat persediaan awal yang lebih rapi, saya dapat menjalankan rehearsal dan memastikan bahawa saya dapat menyampaikan semua kandungan pengajaran saya pada masa yang telah ditetapkan dengan kadar yang maksima.

Proses Pengajaran Semula Pengajaran Makro
            Semasa menonton semula bahagian pengajaran makro yang telah saya laksanakan pada hari tersebut, saya mendapati bahawa saya langsung tidak mempunyai pergerakan apabila saya mengajar peringkat aplikasi idea, iaitu kepentingan-kepentingan penyejatan dalam kehidupan kita. Saya juga banyak menggunakan perkataan “Ah” semasa berinteraksi dengan murid-murid. Malah, muka saya kelihatan agak murung dan tidak ceria semasa mengajar, sehingga guru-guru pelatih memberikan maklum balas seperti tegas dan tidak beramah-tamah pada borang maklum balas saya. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mengajar semula bahagian kepentingan penyejatan dalam kehidupan kita, disusuri dengan bahagian refleksi sebagai penutup P&P saya.
Saya telah menjalankan pengajaran semula bahagian yang perlu penambahbaikan ini pada 19 September 2012. Semasa mengajar semula, saya cuba menfokus dan membaiki kelemahan yang telah saya kenalpasti pada pengajaran yang lepas. Oleh itu, saya lebih banyak menggerakkan diri saya ke sana dan ke sini semasa mengajar, melibatkan murid secara aktif, kurangkan penggunaan perkataan “Ah”, dan menulis respon-respon murid pada kad-kad manila supaya perkataan yang ditunjukkan adalah lebih besar dan cantik. Sesi pengajaran semula berjalan dengan agak sempurna.
Selepas pengajaran semula, kebanyakan guru pelatih beranggapan bahawa saya berjaya mengurangkan kelemahan-kelemahan yang telah saya kenalpasti daripada pengajaran makro yang lepas, dan seterusnya menyebabkan proses P&P tersebut berjalan dengan lebih lancar. Saya sangat gembira dan terharu kerana semua usaha saya membuahkan hasil dan menyebabkan saya lebih yakin untuk mengajar.

Penutup
Kesimpulannya, saya telah mempelajari banyak perkara yang tidak dapat saya pelajari dalam kuliah daripada pengajaran makro ini. Ini memberikan keyakinan yang sangat tinggi kepada saya bahawa saya akan dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila saya menjalankan praktikum semester depan kelak. Saya berharap bahawa saya mampu melakukan yang terbaik pada pengajaran yang seterusnya.

Rujukan
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Mok, S. S. (2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Tay, L. K. (2000, November). Kaedah Pembelajaran Koperatif: Ke Arah Pembelajaran Bacaan Pemahaman Teks Yang Berkesan. Jurnal Akademik MPSAH, 8, 1-8.

ctk@2012 copyright

Laporan Refleksi Pengajaran Makro Matematik


Laporan Refleksi Pengajaran Makro Matematik

Pengenalan
Pada 15 Ogos 2012 yang lepas, bersamaan dengan Hari Ketiga saya menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang ke-empat (Rabu), saya telah menjalankan pengajaran makro mengenai topik “Masa” terhadap 23 orang murid-murid Tahun 4 Bestari di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama.
Pengajaran makro ini dijalankan bertujuan untuk memenuhi kehendak tugasan kursus Perancangan dan Pengajaran Matematik (MTE 3107) di samping memberikan peluang kepada saya untuk merasai bagaimanakah persediaan dan perasaan apabila saya menjalankan praktikum pada semester depan kelak. Pengajaran makro yang dijalankan selama satu jam (60 minit) tersebut dijalankan di bawah seliaan seorang guru Matematik yang berpengalaman 22 tahun di sekolah tersebut, iaitu Puan Fauziah Haji Abu Bakar.
Walaupun terdapat banyak gangguan dan kekangan semasa menjalankan pengajaran makro tersebut, namun bersyukur kepada Tuhan kerana saya telah berjaya melaksanakan pengajaran tersebut dengan lancar. Terdapat banyak perkara yang telah saya pelajari sepanjang merancang dan melaksanakan pengajaran makro ini. Oleh itu, refleksi ini akan membincangkan pengalaman perancangan dan pembelajaran, kaedah dan teknik pengajaran yang digunakan, kelebihan, masalah, dan kelemahan yang telah dikenalpasti, serta cadangan-cadangan penambahbaikan untuk pengajaran makro atau pengajaran yang seterusnya.

Pengalaman Perancangan dan Pembelajaran
Selepas kumpulan kami menerima kertas tugasan ini pada 30 Julai 2012, kami telah duduk bersama di perpustakaan institut untuk membincangkan topik dan tahun manakah yang hendak kami ajar. Kami menggunakan masa yang agak panjang untuk menentukan topik yang hendak diajar kerana kami sedar bahawa setiap topik mempunyai kesukaran dan cabaran yang tersendiri apabila menjalankan pengajaran makro kelak. Setelah lama berbincang, akhirnya kami bulat hati memutuskan bahawa kami akan mengajar topik “masa” bagi Tahun 4. Keputusan ini diambil memandangkan kami berpendapat bahawa topik ini lebih menarik dan senang diajar berbanding dengan topik-topik yang lain. Malah, kami yakin bahawa kami mampu menyediakan bahan bantuan mengajar (BBM) dan lembaran kerja yang menarik bagi topik ini.
Lantas, kami pun mula mengenalpasti hasil pembelajaran yang hendak kami capai pada akhir unit pembelajaran kelak. Kami sedar bahawa adalah mustahil bagi seseorang guru untuk mengajar terlalu banyak kandungan pembelajaran pada masa satu jam ini. Oleh itu, kami hanya menetapkan satu hasil pembelajaran bagi Rancangan Pengajaran Harian (RPH) pada kali ini, iaitu “memahami, membaca, dan menulis masa dalam unit jam dan minit”.
Sepanjang merancang RPH ini, kami juga menghadapi kesukaran untuk menentukan kaedah dan teknik pengajaran yang mahu kami gunakan semasa mengajar kelak. Namun, dengan mengambil kira kelebihan dan kelemahan yang dapat kami kenal pasti terhadap semua teknik dan kaedah yang sedia ada, serta kesesuaiannya terhadap topik ini, akhirnya kami bertekad untuk menggunakan gabungan beberapa jenis kaedah agar pengajaran kami lebih berfleksibel dan menarik.
Akhir sekali, kami juga meluangkan masa untuk memikirkan bahan bantuan mengajar dan lembaran kerja. Salah satu sebab kami memilih topik ini juga disebabkan kami merasakan bahawa ia memiliki bahan bantuan mengajar yang sangat senang diperoleh, iaitu jam. Selepas menyediakan lembaran kerja, maka kami bersedia untuk menjalankan pengajaran makro.

Kaedah dan Teknik Pengajaran
Terdapat beberapa jenis kaedah dan teknik pengajaran yang telah saya guna pakai semasa menjalankan pengajaran makro yang lepas. Antaranya ialah pembelajaran koperatif. Menurut Tai (2000), pembelajaran  koperatif didefinisikan sebagai sekumpulan murid belajar dalam kumpulan kecil secara bekerjasama bagi mencapai matlamat pendidikan yang dikongsi bersama. Pembelajaran sebegini dikatakan mampu menggalakkan murid mengambil bahagian dalam P&P secara aktif di samping dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran sesuatu pelajaran. Oleh itu, sebelum saya memulakan pengajaran makro saya pada hari tersebut, saya telah membahagikan murid-murid Tahun 4 Bestari kepada 5 kumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada 4-5 orang murid.
Selain itu, saya juga telah menggunakan kaedah bercerita semasa menjalankan pengajaran makro. Kaedah ini digunakan sepanjang masa, apabila saya menjalankan fasa set induksi saya, iaitu menyampaikan satu cerita bagaimana perkembangan jam dari masa dahulu hingga kini, Saya sedar bahawa penggunaan kaedah bercerita dapat menarik minat murid di samping menggalakkan penglibatan mereka semasa proses P&P.
Di samping itu, saya juga telah mengamalkan kaedah demonstrasi sepanjang mengajar di kelas 4 Bestari tersebut. Menurut Noriati, Boon, dan Sharifah (2009), demonstrasi merupakan satu cara untuk melatih murid memerhati dan melakukan sesuatu aktiviti mengikut prosedur. Pada hari itu, saya diibaratkan sebagai model hidup apabila saya mengajar murid-murid bagaimana untuk melukis waktu pada jam di papan hitam dan juga bagaimana memusing anak jarum untuk menunjukkan waktu yang betul pada jam dinding yang sebenar.
Malah, saya turut menggunakan pendekatan deduktif, iaitu pengajaran dari umum ke spesifik sepanjang pengajaran makro ini. Contohnya, saya telah memberitahu murid-murid bahawa  semasa membaca waktu pada jam, kita perlu lihat dan membaca jarum jam terlebih dahulu, diikuti dengan jarum minit sebelum kami melihat contoh-contoh soalan, kemudian murid mencuba sendiri dan menjawab soalan-soalan yang terdapat pada lembaran kerja. 

Kelebihan yang Dikenalpasti
Sepanjang menjalankan pengajaran makro di kelas 4 Bestari, saya sedar bahawa kumpulan kami telah berjaya mecipta satu cerita yang sangat menarik untuk peringkat set induksi pengajaran kami. Hal ini demikian kerana apabila saya menyampaikan cerita dan menampalkan kad-kad cerita pada papan hitam, maklum balas murid-murid adalah begitu memberangsang. Semua murid juga mengambil bahagian apabila saya mengemukakan soalan-soalan untuk dijawab oleh mereka. Keadaan ini memberikan ikthibar kepada saya bahawa kita harus mempunyai satu set induksi yang menarik supaya dapat terus menarik perhatian murid dan membolehkan proses P&P ini berjalan dengan lancar dan berjaya.
Selain itu, saya berpendapat bahawa saya mempunyai keyakinan diri yang amat tinggi sepanjang menjalankan pengajaran makro saya. Walaupun saya tidak pernah mengajar sebelum ini, namum saya tetap bertindak seperti saya seorang guru yang sangat berpengalaman dalam bidang pendidikan semasa mengajar murid-murid 4 Bestari. Pada saya, keyakinan diri ini adalah amat penting kerana murid hanya akan mendekati, menghormati, dan mencontohi tindakan gurunya apabila gurunya sentiasa berkeyakinan dalam menjalankan semua tugasannya. Kesannya, pengajaran saya berjaya dan semua murid membuat apa yang saya minta tanpa menimbulkan sebarang masalah disiplin.
Kefasihan dan kelancaran bahasa yang ada pada diri saya juga membantu saya menyempurnakan pengajaran makro pada hari ini. Walaupun saya berhadapan dengan semua murid Melayu, namun saya masih dapat menyampaikan segala kandungan pembelajaran saya dengan lancar tanpa sebarang masalah ketidakfahaman bahasa.
Penggunaan bahan bantu mengajar, iaitu jam, dan juga lembaran kerja yang menarik juga membolehkan murid mengekalkan minat dan motivasi mereka terhadap pelajaran dan menyebabkan mereka sentiasa melibatkan diri secara aktif sepanjang proses P&P ini. Oleh itu, BBM dan juga lembaran kerja juga memainkan peranan dalam pelaksanaan pengajaran makro yang berjaya dan berkesan.

Masalah dan Kelemahan yang Dikenalpasti
Pada hari pertama saya pergi ke sekolah tersebut untuk PBS, saya dimaklumkan bahawa kelas yang bakal saya ajar tersebut tidak mempunyai kemudahan ICT. Ini bermakna saya tidak dapat menggunakan perisian power point untuk menyampaikan cerita saya pada set induksi dan kandungan pembelajaran saya. Kesannya, saya terpaksa memikirkan alternatif yang lain, iaitu menggunakan kad-kad untuk menyampaikan cerita saya, dan menggunakan kad-kad manila dan juga papan hitam untuk menyampaikan kandungan pembelajaran saya.
Semasa menjalankan pengajaran makro, saya mendapati bahawa saya menghadapi masalah untuk menyempurnakan apa yang telah dirancangkan untuk setiap langkah. Contohnya, pada peringkat set induksi, saya mendapati saya telah menggunakan masa yang terlampau panjang, iaitu kira-kira 10 minit untuk menyempurnakannya. Ini menyebabkan saya harus mempercepat segala langkah pembelajaran saya dan mengurangkan sesetengah langkah pengajaran saya. Saya menjadi semakin cemas dan terburu-buru apabila saya mendapati saya telah melebihi masa pengajaran saya.
Selepas pengajaran, saya mendapati bahawa kumpulan kami telah memasukkan terlalu banyak langkah pengajaran dalam satu-satu peringkat fasa. Walaupun pada awalnya secara teori, kami rasa langkah ini tidak banyak, namun, apabila kami melaksanakannya, kami menghadapi masalah kekurangan masa. Maka kami sedar bahawa penguasaan masa untuk setiap langkah merupakan salah satu aspek yang perlu kami jaga dan tambah baik selepas ini.
Walaupun saya dapat melaksanakan pengajaran makro saya dengan berjaya, tetapi saya mendapati bahawa murid-murid seakan-akan tertekan semasa saya mengajar. Selepas melihat semula proses pengajaran makro saya, saya mendapati bahawa unsur humor atau kecindaan masih kurang dalam diri saya. Saya juga mendapati bahawa saya agak serius dan tidak senyum, dan ini mungkin menyebabkan murid-murid beranggapan bahawa saya ialah seorang guru yang garang dan tegas.
Cadangan Penambahbaikan
Saya berpendapat bahawa pengajaran makro saya akan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna sekiranya saya dapat menggunakan kemudahan ICT yang sesuai untuk menyampaikan pengajaran saya. Hal ini demikian kerana saya mampu membuatkan kandungan penyampaian saya lebih menarik dan kelihatan lebih canggih. Contohnya, saya dapat menayangkan video semasa mengajar atau menggunakan animasi untuk menyampaikan cerita saya. Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa sebagai seorang guru, kita perlu menyesuaikan diri dengan semua keadaan yang dihadapi  dan seterusnya memikirnya alternatif untuk menyelesaikannya.
Selain itu, saya sedar bahawa RPH yang akan kami hasilkan pada masa yang akan datang tidak harus terlalu padat dengan langkah pengajaran dan aktiviti. Hal ini demikian kerana kita perlu mengambil kira masalah-masalah yang mungkin akan timbul dengan tiba-tiba dalam bilik darjah dan mengambil masa untuk menyelesaikannya. Selain itu, kita juga perlu mengambil kira penerimaan murid terhadap pengajaran kita sambil menjangkaan respon murid. Tiada gunanya sekiranya kita menetapkan terlalu banyak hasil pembelajaran, tetapi murid tidak dapat menguasai apa-apa pun pada akhir pembelajaran. Oleh itu, saya akan lebih berhati-hati semasa merancang RPH dan membuat persediaan yang lebih rapi semasa menyediakan pengajaran saya kelak.
Malah, adalah lebih baik sekiranya saya mendapatkan komen atau refleksi tentang pengajaran daripada murid pada akhir kelas, sama ada secara bertulis atau lisan. Melalui cara ini, saya akan dapat lebih mudah melihat kelemahan yang ada pada perspektif murid dan membaikinya.
Akhir sekali, saya sedar bahawa membuat persediaan awal yang rapi adalah perlu dan mustahak agar dapat menguasai penggunaan masa dalam kelas dengan lebih baik. Semasa membuat persediaan awal yang lebih rapi, saya dapat menjalankan rehearsal dan memastikan bahawa saya dapat menyampaikan semua kandungan pengajaran saya pada masa yang telah ditetapkan.

Penutup
Kesimpulannya, saya mempelajari banyak perkara yang tidak dapat saya pelajari dalam kuliah daripada pengajaran makro ini. Ini memberikan keyakinan kepada saya bahawa saya akan dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila saya menjalankan praktikum semester depan kelak.

ctk@2012 copyright

Pemuliharaan Ex-Situ: Zoo dan Taman Botanikal


Laporan Praktikal:
Pemuliharaan Ex-Situ: Zoo dan Taman Botanikal

Pengenalan
Strategi jangka masa panjang untuk memelihara ekosistem dan biodiversiti adalah dengan memulihara populasi dan komuniti semula jadi di habitat semula jadi mereka, atau lebih dikenali sebagai pemuliharaan in situ. Walau bagaimanapun, terdapat banyak jenis spesies tidak mempunyai pilihan lain, tetapi perlu dipulihara dalam keadaan buatan manusia yang dihasilkan oleh manusia. Keadaan ini dikenali sebagai pemuliharaan ex situ, ataupun pemuliharaan off-site.
Antara pemuliharan ex situ untuk tumbuhan dan haiwan yang terdapat pada masa kini termasuklah zoo, akuaria, program penternakan khas, kebun mainan, taman bokanikal, arboreta, bank biji benih, dan sebagainya. Semua kemudahan ini mempunyai fungsi, jenis sasaran haiwan dan tumbuhan yang dipulihara, dan meliputi bidang diversiti biologi yang tersendiri. Oleh itu, bahagian pertama laporan praktikal ini akan membincangkan jenis sasaran flora atau fauna yang dipulihara pada destinasi yang telah kami lawati, iaitu Jong’s Crocodile Farm dan strategi-stratagi pemuliharaan ex situ yang telah dijalankan terhadap spesies flora atau fauna tersebut. Manakala bahagian kedua laporan praktikal ini pula akan membincangkan bidang diversiti biologi yang terdapat di kawasan tersebut, kelebihan-kelebihan dan kekurangan-kekurangan pemuliharaan ex-situ, serta isu-isu atau nilai-nilai etika yang telah ditimbulkan sepanjang pemuliharaan ex situ ini dijalankan.

Bahagian Pertama:
Destinasi Lawatan: Jong’s Crocodile Farm
Pada 28 Julai 2012 yang lepas, kumpulan kami telah menjalankan satu lawatan ke Jong’s Crocodile Farm, Kuching. Ia terletak pada 18½ batu atau 29 km Jalan Kuching/ Serian, dan memerlukan masa kira-kira 20 minit untuk tiba ke lokasi tersebut dari ibu negeri Sawarak, iaitu Kuching. Jong’s Crocodile Farm ditubuhkan oleh Encik Yong Kian Sen, seorang pencinta binatang dan alam pada tahun 1998.
Jong’s Crocodile Farm yang mempunyai keluasan 25 hektar ini merupakan sebuah zoo mini dan ia merupakan pusat penternakan buaya yang pertama dan terbesar di Malaysia. Selain itu, ia juga merupakan pusat penternakan buaya spesies Tomistoma yang pertama di dunia. Tempat ini dikelilingi oleh hutan belukar dan kebanyakan haiwan dapat hidup dan bergerak secara bebas. Oleh itu, zoo ini membekalkan tempat yang ideal kepada reptilia, khususnya buaya dan membantu menyelamatkan spesies tersebut daripada ancaman kepupusan.
Selain daripada reptilia seperti buaya, terdapat juga flora dan fauna lain yang dapat didapati di dalam Jong’s Crocodile Farm, seperti burung, monyet, beruang madu (sunbears), bintarung (bearcats), memerang (otters), ayam pegar (pheasants), landak (porcupine), ayam serambi, burung merak (peacocks), khinzir misai (moustache pig), kambing, helang, biawak, ikan araipama, musang (civets), rusa (barking deers dan sambar deers), penyu, kura-kura, dan banyak lagi.

Jenis Haiwan atau Tumbuhan yang dipulihara
Jong’s Crocordile Farm, Kuching merupakan sebuah pusat penternakan dan pemuliharaan buaya. Buaya merupakan sejenis reptilia yang mempunyai keistimewaan semula jadi untuk terus wujud. Buaya ialah sejenis binatang veterbrata (mempunyai tulang belakang dan tulang rangka) yang memakan daging sahaja (carnivores). Buaya yang berdarah sejuk, sama seperti kura-kura, cicak, dan ular, bergantung pada sumber-sumber luar, seperti matahari untuk mendapatkan haba panas dan menjaga suhu badannya. Ia merupakan jenis dinasor yang terakhir dan tidak pernah diubah dari segi biologi untuk berjuta-juta tahun.
Kebanyakan buaya mati pada tahun pertama disebabkan oleh tekanan, lapar, dan pemangsaan. Hanya 5% yang dapat terus hidup sehingga matang. Umur buaya matang adalah di antara 12-16 tahun. Buaya bertelur dan proses ini berlaku dalam masa yang pendek, iaitu lebih kurang 5-15 minit sahaja. Kemudian telur akan ditimbus dengan rumput dan sebagainya untuk dijadikan sebagai sarang. Sarang buaya ini bergantung kepada panas matahari atau hawa panas dadi tumbuhan reput sebagai tempat penetasan. Sebagaimana dengan jenis lain, sarang ini akan diawasi oleh buaya betina.
Terdapat dua jenis sasaran jenis spesies buaya yang dibela dan dipulihara di Jong’s Crocodile Farm, Kuching. Jenis yang pertama ialah buaya Malayan Gharial Air Tawar (Tomistoma schlegelii), manakala jenis yang kedua ialah buaya laut (Crocodylus porosus). 
Buaya Malayan Gharial Air Tawar, atau nama saintifiknya Tomistoma schlegelii berasal dari keluarga Crocodylidae dan order Crocodilia. Malayan Gharial Air Tawar, atau lebih dikenali sebagai buaya jejulung ini adalah sekeluarga dengan Buaya Gharial (Gavialis gangeticus). Walaupun buaya jejulung ini menyerupai Buaya Gharial, tetapi kepalanya berbentuk tirus ke arah muncungnya yang sempit dan tidak mempunyai muncung hujung yang bulat seperti Buaya Gharial jantan. Antara ciri-ciri fizikal dan keunikan buaya jejulung ini termasuklah berwarna coklat gelap dengan jalur hitam yang kabur di bahagian belakang badannya, dan matanya yang berwarna kuning, coklat, dan perang.
Spesis Gharial air tawar ini biasanya didapati di kebanyakan kawasan paya darat air tawar, tasik-tasik, dan sungai-sungai. Jenis ini tidak merbahaya pada manusia dan tidak akan menyerang manusia, kecuali terpaksa. Gharial bertelur sebanyak 20-40 biji di lerang tebing berpasir berdekatan dengan air. Pada masa kini, buaya jelulung merupakan spesis yang amat terancam. Buaya jejulung mungkin telah pupus di selatan Negara Thai dan telah hampir pupus di Malaysia. Ancaman yang paling serius dan ketara termasuklah pemburuan haram dan kemusnahan habitatnya.
Jenis pemuliharaan buaya yang kedua di Jong’s Crocodile Farm, iaitu buaya laut, atau nama saintifiknya Crocodylus porosus pula biasanya berasal dari keluarga Crocodylidae dan order Crocodilia. Crocodylus porosus adalah sekeluarga dengan Buaya Mugger (Crocodylus palustris) dan Buaya New Guinea (Crocodylus novaeguineae). Biasanya buaya jenis ini boleh didapati di kawasan air masin atau di muara sungai dan paka bakau. Selain itu, ia boleh juga boleh didapati di ulu sungai atau di paya air tawar. Buaya laut, atau juga dikenali dengan nama Buaya Tembaga, Buaya Indo-Pacific atau Buaya Air Masin merupakan reptilia yang paling besar antara spesies buaya. Kadang-kala ia juga dikenali sebagai 'Buaya Naked-Neck' kerana hanya buaya spesis ini sahaja yang tidak mempunyai sisik besar di bahagian belakang lehernya.
Spesis buaya laut ini merupakan salah sejenis haiwan yang mempunyai tenaga yang kuat, memerbahaya pada manusia dan ternakan dan lebih cergas daripada buaya air tawar. Ia juga merupakan perenang yang handal. Buaya laut betina biasanya akan bertelur sebanyak 25-70 biji dan jangka masa penetasannya adalah lebih kurang 78-90 hari. Buaya laut betina akan membuat sarang daripada rumput, daun, kayu kecil, dan sebagainya, bercampur dengan tanah. Ia hanya menggunakan kaki belakangnya dan ekor untuk membuat sarang.

Strategi Pemuliharaan Ex-situ yang telah diambil
Secara umumnya, terdapat beberapa strategi pemuliharaan ex-situ telah dikenalpasti dan dijalankan di Jong’s Crocodile Farm. Antaranya termasuklah penangkapan dan pelepasan buaya untuk jangka masa yang pendek, program pembiakbakaan dan penternakan khas untuk jangka masa yang panjang, kajian penetasan telur buaya secara manusia, pemindahan dan pembahagian semula lokasi buaya, menjalankan kajian dan penyelidikan, dan memberikan pendidikan dan kesedaran awal kepada masyarakat luar.
Pada peringkat awal pembukaan zoo mini ini, antara strategi pemuliharaan ex situ yang diambil oleh pihak Jong’s Crocodile Farm ialah penangkapan dan pelepasan buaya untuk jangka masa yang pendek (Short-term Propagation and  Release). Kira-kira tahun 1963 dan 1964, Encik Yong Kian Sen, pengusaha zoo mini tersebut telah menyelamatkan banyak jenis spesies buaya dengan membeli mereka di pusat-pusat penjualan buaya yang terdapat di sekitar sempadan Indonesia. Kemudian beliau memindahkan buaya-buaya tersebut ke zoo mini untuk dipulihara dan diternak. Selain itu, pihak mereka juga menerima buaya-buaya yang telah berjaya ditangkap dari tempat-tempat lain sekitar Pulau Borneo untuk dilepaskan dan diternak di situ. Antaranya termasuklah Bujang Sudin, sejenis buaya yang berasal dari Sri Aman, Sarawak, Pak Indon, sejenis buaya tembaga yang diperoleh dari Indonesia, Bujang Samariang, sejenis buaya laut yang ditangkap di Samariang, Kuching, dan banyak lagi. Sesungguhnya salah satu penyelesaian untuk memulihara buaya adalah dengan menangkap mereka dan melepaskan mereka ke tempat yang selamat seperti Jong’s Crocordile Farm. Namun, harus diingatkan bahawa penangkapan di sini bermaksud penangkapan yang jujur, bertanggungjawab, sah di sisi undang-undang dan berteraskan pemuliharaan ex situ, daripada penjualan komersial semata-mata.
Selain itu. strategi pemuliharaan ex-situ yang kedua ialah program penternakan khas dan pembiakbakaan untuk jangka masa yang panjang (Long-term Captive Breeding). Objektif utama program ini adalah untuk memastikan peningkatan yang tinggi bagi populasi spesies-spesies buaya di dalam kurungan yang boleh diperoleh melalui sistem pembiakan yang teratur dan aplikasi bioteknologi pembiakan terkini. Bagaimanapun, terdapat beberapa aspek aplikasi bioteknologi di dalam spesies ini yang perlu dikaji. Walaupun keutamaan diberikan kepada pembiakan dan skop genetik molekul, nilai-nilai tambah yang lain juga perlu dibangunkan bagi memperkukuhkan keperluan penggunaan spesies ini secara lestari. Program pembiakakaan ini juga telah mengambil kira kepentingan konservasi sesuatu spesies dan penggunaannya secara lestari. Untuk program pembiakbakaan ini, pihak Jong’s Crocodile Farm telah menyediakan satu hutan semula jadi dengan kawasan paya yang banyak untuk buaya-buaya betina untuk membiak di sana. Buaya-buaya betina akan membina sarang dan menelur di sekitar kawasan pembiakbakaan. Sekiranya pembiakbakaan tersebut berjaya, maka mereka akan meneruskan generasi baharu di sana.
Jong’s Crocordile Farm juga berinisiatif untuk menjalankan kajian pengeraman buatan, atau penetasan telur buaya secara manusia (artificial incubation). Sepanjang menternak dan memulihara spesies-spesies buaya, ratusan biji telur telah dihasilkan oleh buaya di situ tetapi tiada satu buaya pun yang menetasnya. Oleh itu, keluarga Yong telah bertekad untuk menjalankan lebih banyak kajian tentang penetasan telur buaya. Akhirnya pada pertengahan tahun 1981, anak Encik Yong Kian Sen, iaitu Johnson telah berjaya mencipta satu inkubator yang diperbuat daripada plywood untuk menjalankan proses penetasan telur-telur buaya tersebut. Sejak dari kejayaan pada masa itu, kajian penetasan telur buaya ini diteruskan hingga ke masa kini.
Di samping itu, strategi-strategi lain yang dijalankan adalah termasuklah pemindahan dan pembahagian semula lokasi buaya (Animal Translocation). Strategi ini melibatkan perancangan aktiviti pengayaan habitat dan sumber kepelbagaian biologi dan bertujuan untuk memulihara kepelbagaian biologi di kawasan perlindungan. Dalam strategi ini, buaya-buaya akan dibahagikan dan ditempatkan ke kawasan habitat yang berlainan berdasarkan saiz mereka. Pembahagian ini dijalankan atas sebab buaya merupakan haiwan karnivor dan mereka akan memakan buaya yang bersaiz lebih kecil sekiranya mereka lapar.  Dengan pembahagian lokasi buaya ini, semua buaya yang berlainan saiz dapat terus hidup, dan yakini dapat meningkatkan populasi mereka pada masa yang akan datang.
Malah, Jong’s Crocodile Farm turut telah mengeksport sesetengah jenis buaya yang terdapat di situ ke luar negara untuk tujuan pembangunan kajian dan penyelidikan (R&D). Diharapkan bahawa dengan teknologi yang lebih tinggi dan canggih di luar negara, ahl-ahli profesional dan amatur dapat menjalankan kajian yang lebih terperinci terhadap spesies-spesies buaya ini, dan seterusnya mencadangkan langkah-langkah pemuliharaan ex situ yang lebih berkesan.
Strategi-strategi pemuliharaan ex-situ lain yang telah dijalankan oleh Jong’s Crocodile Farm adalah memberikan pendidikan dan kesedaran awal kepada masyarakat luar. Dengan kawasan yang seluas 25 hektar ini, Jong’s Crocodile Farm telah melakukan satu pembaharuan dengan memperkenalkan pameran haiwan dengan menggunakan konsep terbuka. Ia diperkenalkan dengan mengambil kira habitat asal haiwan tersebut. Pengunjung-pengunjung turut tertarik dengan keindahan alam semula jadi yang dipamerkan dengan pembinaan kandang yang sesuai. Selain daripada tujuan rekreasi dan ekonomi, tindakan membuka zoo mini kepada masyarakat juga bertujuan untuk memberikan pendidikan dan kesedaran awal pada masyarakat untuk mengetahui dan menghargai flora dan fauna, sedar bahawa kepentingan memelihara dan memulihara haiwan dan tumbuhan, dan seterusnya mempelajari bagaimana untuk menjalankan konversasi terhadap flora dan fauna yang kian pupus dan terancam pada masa kini.

Bahagian Kedua:
Julat Kepelbagaian Biologi Jong’s Crocodile Farm
Kepelbagaian Biologi merujuk kepada pelbagai jenis bentuk hidupan di dunia ini. Biodiversiti merangkumi semua bentuk kehidupan dari sekecil kuman hingga ke hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan seperti ikan paus serta pokok-pokok yang besar. Bilangan spesies organisma sangat sukar untuk ditentukan kerana selain daripada spesies-spesies organisma yang telah diketahui, terdapat juga berjuta-juta jenis organisma yang belum ditentukan atau belum dijumpai. Setakat ini hampir 1.4 juta spesies telah dikenal pasti, namun para saintis menganggarkan jumlah spesies yang terdapat di dunia ini adalah lebih dari 100 juta.
Namun, disebabkan ketamakan manusia, aktiviti-aktiviti manusia telah membawa ancaman yang besar, sehingga pupus kepada spesies flora dan fauna di dunia ini. Pada peringkat global, 75% dari kepelbagaian genetik tanaman telah pupus dalam setengah abad yang lalu, 24% spesies mamalia dan 12% daripada spesies burung berada dalam tahap terancam, 50% dari ekosistem tanah lembap telah musnah atau kering, 33% batu karang telah musnah atau rosak.
Malaysia patut berbangga kerana memiliki negara yang sangat kaya dengan biodiversitinya dan termasuk dalam lingkungan dua belas buah negara mega kepelbagaian biologi di dunia yang mana masih lagi mempunyai kekayaan biodiversiti yang dianggarkan antara 60% hingga 70% daripada jumlah biodiversiti dunia. Malah dari segi kepelbagaian spesies tumbuhan di Rantau Asia-Australia pula, negara kita masih lagi mengekalkan kedudukan di tempat kelima.
Menurut fakta, spesies flora dan fauna kita menggambarkan kepelbagaian ini ada terdapat negara kita. Dianggarkan, negara kita mempunyai kira-kira 15,000 bilangan spesies tumbuhan berbunga, 1,000 bilangan spesies lumut dan rumpair, 286 jenis spesies mamalia, 736 jenis spesies burung, 4,000 jenis spesies ikan laut, 449 jenis spesies ikan air tawar, 268 jenis spesies reptilia, dan 150,000 jenis serangga dan invertebrat.
Berbalik kepada Jong’s Crocodile Farm, Kuching, zoo mini tersebut meliputi julat kepelbagaian biologi yang amat luas. Dari segi kawasan habitat, zoo mini tersebut mempunyai tanah pamah, tanah paya, tasik-tasik, kolam-kolam, dan sebagainya. Terdapat banyak spesies flora dan fauna lain yang dapat didapati di sana, seperti buaya (Tomistoma schlegelii dan Crocodylus porosus), pelbagai jenis burung, monyet berekor panjang (Macaca fascicularis), beruang madu (sunbears, Helarctos malayanus), bintarung (bearcats, Arctictis binturong), memerang (otters, Lutra canadensis), ayam pegar (pheasants, Tragopan satyra), landak (porcupine, Hystrix cristata), ayam serambi, burung merak (peacocks, Pavo cristatus), ayam belanda (turkey, Meleagris gallopavo), khinzir misai (moustache pig, Sus barbatus), kambing (Capra hircus), helang (Alophoixus ochraceus), burung hantu (Asio otus), biawak (Vavanus salvator), arnab (Sylvilagus floridanus), ikan arapaima (Arapaima gigas), musang (civets, Paradoxurus hermaphroditus), rusa (barking deers dan sambar deers), penyu, kura-kura, dan banyak lagi.
Di Jong’s Crocodile Farm, spesies haiwan yang difokus dan dipulihara oleh mereka ialah buaya. Terdapat dua jenis spesies buaya yang terdapat dalam zoo mini tersebut, termasuklah buaya Malayan Gharial Air Tawar (Tomistoma schlegelii), manakala jenis yang kedua ialah buaya laut (Crocodylus porosus). 
Fakta mengatakan bahawa terdapat 21 jenis spesies buaya berselerak di sekitar kawasan air suam di seluruh dunia. Buaya yang terdapat pada zaman sekarang terbahagi kepada 3 jenis, iaitu alligator (Alligatoride), buaya (Crocodilidae), dan gharial (Gavialidae).  Di Malaysia pula, terdapat dua jenis buaya yang wujud, iaitu buaya laut (Crocodylus porosus) dan Malayan Gharial Air Tawar (Tomistoma schlegelii).
Berdasarkan pernyataan di atas, maka sebenarnya spesies-spesies buaya yang terdapat di Jong’s Crocodile Farm, Kuching, iaitu Crocodylus porosus (buaya) dan Tomistoma schlegelii (Gharial) telah mewakili keseluruhan kepelbagaian biologi pada peringkat nasional, atas sebab bahawa hanya terdapat 2 jenis spesies buaya ini sahaja yang terdapat di Malaysia. Alligator tidak didapati di Malaysia secara semula jadi.
Seperti yang dikatakan, memandangkan jenis buaya yang ketiga, iaitu alligator tidak dapat dijumpai di Malaysia secara semula jadi, maka spesies-spesies buaya yang terdapat di Jong’s Crocodile Farm, Kuching, hanyalah mewakili dua per tiga daripada jumlah biodiversiti yang terdapat pada peringkat global.
Salah satu pewakilian atau kedudukan yang amat penting bagi Jong’s Crocodile Farm ialah ianya merupakan pusat penternakan dan pembiakbakaan khas untuk buaya spesies Tomistoma di dunia. Tomistoma berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud mulut yang tirus tajam, yang secara langsung merujuk kepada bentuk mulut buaya julung-julung ini. Spesies Tomistoma hanya menetap di Pulau Borneo, Malaysia, dan Indonesia sahaja. Dijangkakan bahawa kini bilangan mereka adalah kurang daripada 1,000 ekor. Oleh itu, Jong’s Crocodile Farm sememangnya memainkan peranan yang penting untuk memulihara spesies-spesies buaya ini.

Apakah itu Pemuliharaan In Situ
Pemuliharan in situ merupakan salah satu cara untuk memulihara flora dan fauna di kawasan-kawasan semula jadi, di mana kawasan tersebut telah ditetapkan dan flora dan fauna yang terdapat di kawasan tersebut dijaga dan dipulihara daripada ancaman alam sekitar. Dengan kata lain, pemuliharaan in situ merupakan pemuliharaan terhadap spesies yang telah sedia ada di habitat asalnya.
Pemuliharaan in situ bertujuan untuk pemuliharaan kepelbagaian jenis dan genetik flora dan fauna yang terdapat di kawasan yang dilindungi tersebut. Antara contoh pemuliharaan in situ termasuklah taman negara (national parks), taman hutan (forest parks), taman laut (marine parks), hutan perlindungan, dan sebagainya.
Terdapat banyak taman negara yang terdapat di negara kita. Contohnya Taman Negara Endau Rompin, Taman Negara Kinabalu, Taman Negara Mulu, Taman Negara Bako, dan sebagainya. Salah satu contoh pemuliharaan in situ yang dianggap amat berjaya di Malaysia ialah Taman Negara, Titiwangsa, Pahang, Malaysia. Ia merupakan taman negara yang paling besar di negara dan ditubuhkan untuk memulihara spesies-spesies yang terancam dan hampir terpupus seperti Harimau Malaya, Badak Sumatara, Beruang Madu Malayan, tapir, ungka, dan sebagainya. Selain daripada haiwan yang bersaiz besar, Taman Negara juga memulihara sesetengah mamalia yang kecil, burung, serangga, dan juga invertebrate. Malah, Taman Negara juga mempunyai banyak spesies tumbuhan yang amat berharga, sama ada tumbuhan yang kecil seperti kulat atau tumbuhan yang besar seperti pokok-pokok besar.
 Strategi pemuliharaan in situ merupakan strategi pemuliharaan jangka panjang dan terbaik. Namun begitu, pemuliharaan jenis ini menjadi semakin sukar untuk dilaksanakankan disebabkan keadaan habitat dan ekosistem semula jadi mereka yang makin hari makin banyak mengalami perubahan serta pembangunan. Usaha pemuliharaan in situ ini perlu diberi perhatian dan perlu melalui pelbagai teknik bagi memastikan ianya dapat berjalan lancar seperti yang dirancangkan.

Apakah itu Pemuliharaan Ex Situ
Pemuliharaan ex situ merupakan strategi pemuliharaan spesies hidupan liar di luar habitat semula jadi mereka. Pemuliharaan ex situ merupakan salah satu cara untuk mengumpul dan memindahkan flora dan fauna ke kawasan yang lebih kecil seupaya mereka dapat dipulihara dengan lebih baik. Ia merupakan satu alternatif apabila populasi serpihan tidak berupaya untuk membiak di habitat semula jadi. Antara contoh pemuliharaan ex-situ termasuklah zoo, santunari, akuaria, taman botanikal, institusi penyelidikan, bank gen, bank germaplasma, dan sebagainya.
Pada masa kini, zoo dibina dengan menyerupai habitat semula jadi haiwan-haiwan yang dipulihara. Sama seperti akuaria, pertubuhan zoo ini didirikan bukan bertujuan untuk memulihara spesies-spesies yang terancam sahaja, tetapi juga bertujuan untuk pembiakbakaan spesies-spesies tersebut.  Santunari pula diwujudkan bertujuan untuk menjaga dan memulihara haiwan yang diselamatkan daripada penjualan haram. Salah satu contoh santunari yang terdapat di Malaysia ialah Santunari Orang Utan di Sabah. Santunari juga menjalankan usaha-usaha pemuliharaan. Selain itu, taman botanikal dan institusi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Hutan (FRIM) pula bertanggungjawab untuk memulihara tumbuh-tumbuhan. Jabatan Pertanian dan MARDI juga berperanan penting dalam pemuliharaan sesetengah spesies pohon dan pokok buah-buahan liar. Malaysia turut memiliki bank gen dan bank germaplasma seperti bank biji benih, bank telur, dan bank sperma untuk menyimpan spesies-spesies ancaman ini.
Pemuliharaan ex situ dijalankan bertujuan untuk memulihara flora dan fauna yang semakin terancam, menyediakan bahan untuk penyelidikan biologi secara berterusan, dan sebagai rujukan untuk kegunaan di masa akan datang. Sebagai contoh, spesies yang dikategorikan sebagai mengalami ancaman kepupusan atau akan mengalami kepupusan mengikut kategori apendiks II menurut CITES (Convention on International Trade in Endangered Species) akan dilindungi dan dibiakbakan dalam habitat buatan manusia sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi mereka apabila saiz populasi spesies tersebut telah pulih dan mempunyai habitat yang sesuai.

Kelebihan-Kelebihan Pemuliharaan Ex Situ
Terdapat banyak kelebihan sekiranya flora dan fauna dipulihara melalui strategi ex situ. Antaranya termasuklah ia dapat menghalang sesetengah spesies flora dan fauna yang terancam daripada terus diancam bahaya kepupusan.  Pada masa kini, aktiviti-aktiviti manusia seperti pembangunan, pembalakan, pemburuan, dan sebagainya telah memberikan ancaman yang serius terhadap flora dan fauna. Oleh itu, spesies terancam perlu dipulihara sebelum mereka menjadi pupus, dan pengekalan populasi spesies-spesies liar yang subur dan dapat bermandiri dalam keadaan semula jadi merupakan matlamat utama pemuliharaan ex situ dilaksanakan.
Selain itu, pemuliharaan ex situ juga menyediakan satu peluang yang berharga untuk para profesional, amatur, atau masayarakat untuk belajar biologi, memahami ancaman-ancaman yang dihadapi oleh spesies yang terancam,  dan seterusnya membantu menjayakan program-program pemulihan spesies yang dilancarkan oleh pihak yang berkaitan.
Strategi pemuliharaan ex situ juga membolehkan dan memudahkan ahli-ahli saintis dan ekologi untuk menjalankan kajian penyelidikan dan pembangunan flora dan fauna, tanpa merosakkan populasi semula jadi. Pemuliharaan ex situ dianggap sebagai pelengkap kepada pemuliharaan in situ dan ia bertindak sebagai "polisi insurans" apabila spesies diancam dalam habitat semula jadi mereka. Ini merupakan satu proses untuk melindungi spesies tumbuhan atau haiwan yang terancam dengan memindahkan sebahagian populasi spesies tersebut daripada kawasan hábitat yang terancam, dan meletakkan mereka di lokasi baharu, yang mungkin merupakan kawasan liar ataupun dalam penjagaan manusia yang rapi.
Antara kelebihan pemuliharaan ex situ termasuklah memelihara sumber germplasma yang semakin terancam, menyediakan bahan untuk penyelidikan biologi secara berterusan, menjadi simpanan germplasma untuk rujukan dan kegunaan pada masa yang akan datang, memastikan sumber biologi sentiasa mencukupi bagi meneruskan program pemeliharaan dan pemuliharaan ini, mengurangkan tekanan daripada pengumpul liar, membekalkan bahan untuk pameran dan pendidikan, dan sebagainya.

Kekurangan-kekurangan Pemuliharaan Ex-Situ
Sesungguhnya pemuliharaan ex situ mempunyai beberapa kekurangan yang tersendiri. Pertama sekali, spesies flora dan fauna yang dipulihara melalui strategi ex situ memerlukan satu tempoh masa peralihan yang panjang sebelum mereka dapat mengadaptasi dan menyesuaikan diri mereka dengan keadaan pemuliharaan ex situ tersebut. Oleh itu, terdapat sesetengah jenis spesies yang gagal mengadaptasi diri mereka mungkin akan mati dan seterusnya mengalami ancaman kepupusan.
Selain itu, pemuliharaan ex situ memerlukan banyak sumber tenaga pakar professional dan ahli-ahli ekologi untuk menjalankan usaha kajian penyelidikan dan kegiatan eksporasi yang banyak terlebih dahulu. Usaha ini adalah perlu untuk melihat kecocokan sesetengah spesies terhadap daerah atau lokasi pemuliharaan ex situ, sebelum flora dan fauna dipindahkan ke tempat tersebut. Oleh itu, bagi negara yang kekurangan kepakaran dalam bidang ini, mereka sukar untuk menjalankan pemuliharaan ex situ.
Di samping itu, pemuliharaan ex situ ini juga memerlukan dana wang yang banyak dan sokongan ekonomi yang cukup kukuh. Sesungguhnya semua kajian dan tindakan yang dilaksanakan atas tujuan pemuliharaan ex situ ini memerlukan kos pembelanjaan yang amat tinggi dan mahal. Kos-kos ini meliputi bayaran kepada tenaga ahli professional, bayaran kepada gaji sumber manusia, pembiayaan rawatan persekitaran, pembelian peralatan yang canggih, kos pengangkutan flora dan fauna, kos penyenggaraan kawasan  pemulihan ex situ, dan banyak lagi. Oleh itu, sekiranya dana wang terhad dan tidak mencukupi, maka usaha pemuliharaan ex situ ini mungkin akan terganggu dan tidak dapat dijalankan dengan lancar dan berjaya.
Antara kelemahan lain yang terdapat dalam pemuliharaan ex situ termasuklah masalah-masalah untuk menyimpan benih spesies yang degil, membekukan pembangunan evolusi spesies flora dan fauna, kepelbagaian genetik mungkin hilang setiap dengan kitaran semula, dan sebagainya.

Sokongan dan Kecenderungan terhadap Pemuliharaan In Situ
            Sesetengah ahli ekologi mempercayai bahawa hanya pemuliharaan in situ dan pengurusan habitat yang teliti merupakan strategi pemuliharaan yang beretika. Bagi mereka, pemuliharaan in situ merupakan cara dan langkah yang terbaik untuk mengekalkan kewujudan sesuatu spesis berbanding dengan memulihara flora dan fauna di luar habitat asal mereka.
Sesungguhnya pendapat dan pendirian mereka adalah berasas dan boleh diterima. Hal ini demikian kerana sekiranya haiwan dan tumbuh-tumbuhan dipulihara melalui cara pemuliharaan ex-situ, maka mereka perlu mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri mereka dengan keadaan ekosistem-ekosistem tiruan atau buatan manusia, seperti zoo, akuaria, taman botanikal, arboreta, dan sebagainya. Sekiranya flora dan fauna tersebut gagal untuk mengadaptasi dan menyesuaikan diri mereka dalam keadaan ekosistem tiruan, maka mereka mungkin akan mati dan pupus. Sebaliknya, jika dibandingkan dengan dengan hutan yang merupakan ekosistem semula jadi, flora dan fauna akan lebih dapat menyesuaikan diri dan mengadaptasi diri mereka dengan lebih baik. Oleh itu, kebarangkalian untuk mereka terus hidup dan peratusan kemandirian flora dan fauna di habitat semula jadi mereka adalah lebih tinggi.
Malah, di kawasan pemuliharaan in situ, keselamatan dan kehidupan haiwan dan tumbuh-tumbuhan akan lebih terjamin kerana terdapat ranger-ranger hutan yang akan kerap menjalankan rondaan untuk menjaga kawasan tersebut. Dengan pengawasan yang sistematik oleh pihak pengurusan dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat, haiwan dan tumbuh-tumbuhan akan bebas daripada ancaman manusia yang semakin rakus seperti pemburuan haram atau pembalakan haram.
Bukan itu sahaja, disebabkan keunikan dan kepelbagaian diversiti yang wujud dalam pemuliharaan in situ, ianya akan menjadi salah satu tempat tumpuan para penyelidik untuk menjalankan kajian penyelidikan dan pembangunan di situ. Kesannya, mereka akan dapat menjalankan pengrekodan flora dan fauna yang lebih bersistematik, merawat dan memberikan bantuan perubatan kepada flora dan fauna yang sakit, serta mengikhthiarkan cara untuk memulihara flora dan fauna dengan lebih berkesan. Oleh itu, dengan pengurusan habitat yang begitu teliti ini, golongan ahli ekologi tersebut berpegang teguh bahawa pemuliharaan in situ merupakan strategi pemuliharaan yang paling beretika.
Sehubungan dengan itu, ahli-ahli ekologi ini beranggapan bahawa mengekalkan spesies yang tidak mempunyai mana-mana habitat semula jadi, atau tidak dapat membiak di hutan, zoo, atau taman merupakan strategi pemuliharaan yang tidak beretika. Hal ini demikian kerana mereka percaya  bahawa spesies yang tidak tinggal di habitat semula jadi mereka akan kehilangan sifat-sifat semula jadi mereka dan seterusnya akan kehilangan kemahiran untuk bersaing dan mendapatkan keperluan asas mereka, seperti mencari makanan.
Konsep pemilihan semula jadi merupakan satu daya evolusi yang memilih gen-gen berfaedah dan menghapuskan gen-gen yang tidak berfaedah. Pemilihan semula jadi memihak kepada spesies yang paling bersesuaian dengan persekitarannya, mengekalkan spesies yang mempunyai fenotip yang paling sesuai untuk kemandirian dan pembiakan dalam satu populasi semula jadi melalui pembiakan seks dan pewarisan. Oleh itu, sekiranya spesies tersebut sudah kehilangan habitat semula jadi, tidak dapat membiak, atau kehilangan kemahiran untuk bersaing dan mencari makanan, maka pemilihan semula jadi harus menghapuskan genotip yang tidak berfaedah ini kerana ia tidak dapat menghasilkan ciri-ciri penyesuaian yang membolehkan spesies tersebut bermandiri dan membiak dalam persekitaran berkenaan.
Tuntasnya, ahli-ahli ekologi percaya bahawa sekiranya manusia berusaha untuk mengekalkan spesies yang tidak lagi mempunyai habitat semula jadi atau tidak dapat membiak melalui program-program seperti  pembiakbakaan khas, pengklonan, dan sebagainya, maka ia adalah melanggar peraturan alam dan mengingkari undang-undang dan hukum semula jadi.

Isu Etika “Membawa Balik” Spesies Terpupus seperti Harimau Tasmanian
Belakangan ini, pelbagai eksperimen dan percubaan telah dijalankan oleh ahli-ahli saintis yang berhasrat untuk membawa balik spesies-spesies yang terpupus pada masa dahulu, seperti Harimau Tasmanian, Itik Bobo, Dinasaor Feniks, dan sebagainya. Kepupusan spesies dapat ditakrifkan sebagai jumlah populasi spesies menjadi semakin berkurangan dan generasi akan datang mungkin tidak dapat lagi mengenali apakah spesies tersebut jika gambar-gambar spesies tersebut tidak ditunjukkan kepada mereka.
Walaupun tindakan mencuba membawa balik spesies terpupus merupakan satu inisiatif yang baik, tetapi pada hakikatnya ia merupakan satu perbuatan yang tidak beretika atau moral. Tidak dapat dinafikan bahawa usaha membawa balik spesies terpupus dapat membolehkan baka dan spesiesnya dapat direkodkan semula di samping generasi masa kini dapat melihat spesies tersebut dengan mata sendiri. Tetapi siapakah yang boleh memastikan kes-kes eksploitasi dan penyalahgunaan tidak berlaku? Apakah yang terjadi terhadap keselamatan dan perubahan masyarakat jika spesies-spesies terpupus ini dibawa kembali? Adakah betul bagi manusia memainkan peranan pencipta dalam proses pembiakan? Pembangkitan isu-isu ini telah menyebabkan kontroversi dan mengakibatkan masyarakat membantah perbuatan ini atas isu-isu etika dan moral.
Sesungguhnya kita tidak tahu apakah keperluan-keperluan asas spesies-spesies terpupus. Selain itu, kita juga tidak tahu adakah mereka mampu menyesuaikan diri dan hidup dalam cuaca dan iklim masa kini sekiranya dibawa kembali ke dunia ini. Kita tidak tahu adakah mereka akan membawa mikroorganisma yang telah pupus dan membahaya kepada kita. Kita turut tidak tahu sama ada usaha membawa balik spesies terpupus ini akan memberikan gangguan keamanan dan ancaman keselamatan kepada manusia. Perbuatan ini juga dikatakan melanggari peraturan alam dan hukum semula jadi. Ia mengingkari hukum konsep pemilihan semula jadi dan nescaya bahawa mereka akan tetap pupus walaupun dibawa kembali kerana mereka tidak berupaya untuk menyesuaikan dan mengadaptasi diri mereka dengan persekitaran dengan baik.

Senarai Bibliografi:
Arirakatama. (2008, Januari 31). Buaya Muara (Crocodylus porosus): Pemanfaatan vs Pelestarian. Didapatkan pada 3 Ogos 2012, daripada http://arirakatama.multiply.com/journal/item/5?&show_interstitial=1&u=/journal/item
Barbara, C. (2003). Ex Situ Conservation - out of the natural habitat. Didapatkan pada 3 Ogos 2012, daripada http://www.countrysideinfo.co.uk/biodvy2.htm
Choong, N. M., Lee, S. C., & Liew, S. L. (2000). Biologi STPM Jilad II (Edisi Kedua). Selangor Darul Ehsan: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ekologi. (t. t). Didapatkan pada 3 Ogos 2012, daripada http://www.saburchill.com/IBbiology/chapters02/045.html
Foo, Y. K. (2004). STPM Biology Volume 2. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
Introduction of Jong’s Crocodile Farm & Zoo Sdn Bhd. (t. t.). Didapatkan pada 3 Ogos 2012, daripada http://www.jongscrocodile.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=30
Laupa Junus. (t. t.). Perhilitan aktif dalam konservasi hidupan liar. Utusan Melayu. Didapatkan pada 3 Ogos 2012, daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1008&pub=utusan_malaysia&sec=agrobiz&pg=ag_01.htm
Ong, Y. T. & Mayuree Thawichart Khongkha. (2004, Januari 15). Perlukah Haiwan Dikurung Atau Dibiar Hidup Dalam Habitat Mereka? Didapatkan pada 3 Ogos 2012, daripada http://www.jpvpk.gov.my/html/news/archives/Malay/Jan04%2015o.htm
Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. (2007, September 14). Biodiversiti dan Peranannya Terhadap Keseimbangan Alam Sekitar. Didapatkan pada 3 Ogos, 2012, daripada http://www.ikim.gov.my/v5/print.php?grp=2&key=1359
Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. (2007, Oktober 3). Sejauh Manakah Sumbangan Biodiversiti Terhadap Kehidupan Sejagat? Didapatkan pada 3 Ogos, 2012, daripada http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1405&cmd=resetall
Tan, H. C. (2006). Biodiversiti: Satu Pengenalan. Era Hijau. 2, 3-4.
Wikipedia. (2012, Jun 22). In-situ conservation. Didapatkan pada 3 Ogos 2012, daripada http://en.wikipedia.org/wiki/In-situ_conservation
Wikipedia. (2012, Jun 25). Ex-situ conservation. Didapatkan pada 3 Ogos 2012, daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Ex-situ_conservation

ctk@2012 copyright