Pages

Tuesday, September 21, 2010

Gaya Hidup Sihat

Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berbahagia, Encik Abdillah Bin Adam, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Puan Hamsiah Abdullah Binti Masni, Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, En. Abdul Malek Bin Mohd Tahir, Ketua Jabatan Hal Ehwal pelajar, dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Selamat pagi, salam perpaduan dan salam Satu Malaysia saya ucapkan.

Hadirin sekalian,

Sesungguhnya saya berasa sangat bertuah dan gembira kerana dapat berucap di atas pentas yang serba indah ini. “Gaya Hidup Sihat.” Demikianlah tajuk syarahan yang akan saya sampaikan bersempena dengan Hari Keluarga tahun 2010 ini.

Para Hadirin yang dikasihi,

Frasa “gaya hidup” dapat didefinisikan sebagai cara tertentu seseorang individu atau sesuatu kumpulan menjalani kehidupan, manakala istilah “sihat” pula dapat ditakrifkan sebagai tidak menghidap sebarang pe­nyakit, tidak sakit-sakit, afiat dan segar. Tuntasnya, gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Dalam konteks pembentukan bangsa Malaysia yang sihat dan memiliki minda kelas pertama, gaya hidup sihat harus kita tekankan dan amalkan sebagai satu aset yang paling berharga dalam kehidupan.

Sidang Hadirin yang budiman,

Seiring dengan pembangunan negara, masyarakat menjadi semakin mementingkan material dan kebendaan, sekali gus mengabaikan gaya hidup sihat yang sememangnya penting dalam kehidupan kita. Persoalannya, haruskah kita korbankan gaya hidup sihat semata-mata untuk mengejar keselesaan hidup? Apakah yang boleh dan harus kita lakukan untuk mencapai gaya hidup yang sihat?

Sidang Hadirin sekalian,

Sememangnya terdapat banyak langkah dan usaha yang dapat kita lakukan untuk mencapai gaya hidup sihat. Pertama sekali, kita hendaklah memberikan tumpuan kepada aktiviti riadah bersama-sama dengan keluarga kita. Sesungguhnya, ahli keluarga merupakan orang yang terdekat dengan kita dan senantiasa memberikan dorongan dan semangat kepada kita. Apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti riadah dengan ahli keluarga seperti bermain, berkelah, memakan angin, dan sebagainya, kita akan berasa gembira dan ceria. Lantas, perasaan-perasaan negatif seperti sedih, murung, dan sebagainya tidak akan timbul dalam diri kita. Pendek kata, kita dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan merapatkan hubungan antara ahli keluarga sekiranya kita melakukan aktiviti riadah dengan mereka.

Para Hadirin yang dimuliakan,

Amalan permakanan yang seimbang juga amat ditekankan dalam usaha memupuk gaya hidup sihat. Hal ini kerana jika kita tidak memakan makanan yang seimbang, maka badan kita tidak dapat berfungsi dengan normal. Makanan yang seimbang adalah penting untuk membekalkan tenaga dan mengekalkan kesihatan, sama ada dari segi mental dan fizikal. Namun, lebihan bahan-bahan tertentu dalam makanan pula boleh mengakibatkan pelbagai penyakit. Contohnya, lebihan lemak akan mengakibatkan obesiti manakala lebihan gula pula boleh menyebabkan diabetis. Jadi, kita memerlukan gizi makanan yang seimbang agar kita dapat menjalani kehidupan yang produktif dan menjauhi kita daripada segala jenis penyakit.

Hadirin dan Hadirat sekalian,

Kita juga perlulah menitikberatkan penjagaan kesihatan dan kecantikan. Kita haruslah melakukan pemeriksaan kesihatan yang kerap dan tetap, sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan kita bebas daripada sebarang penyakit. Bak kata pepatah, “cegah sebelum parah.” Penggunaan bahan-bahan kosmetik dan terapi kesihatan juga amat digalakkan, selagi bahan-bahan tersebut tidak memudaratkan kesihatan dan tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan. Malah, pengambilan makanan suplemen seperti pil-pil vitamin sememangnya diperlukan, khususnya terhadap golongan yang kekurangan bersenam dan aktiviti riadah. Dengan kata lain, kita haruslah menjaga kesihatan kita dengan pelbagai cara untuk mencapai gaya hidup yang sihat.

Sidang Saksi Bervisi,

Kita juga boleh mempraktikkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan aktiviti yang sihat. Dalam konteks ini, bersukan menjadi fokus utama dalam bicara kata pada kali ini. Sememangnya bersukan membawa seribu satu kebaikan kepada kita. Bersukan bukan sahaja dapat menjadikan kita lebih sihat, malah gaya tubuh badan kita juga akan nampak lebih tampan dan cantik serta melambatkan proses pernuaan. Dari perspektif lain, jika kita menggunakan segala masa lapang kita untuk bersenam atau melakukan kerja-kerja amal, maka kita tidak akan mempunyai masa yang lebih untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak baik seperti melepak, terlibat dalam vandalisme mahupun gangsterisme. Slogan “Katakan Tak Nak Kepada Rokok” dan “Jauhi Dadah” juga haruslah sematkan selalu dalam hati supaya kita dapat menjalani gaya hidup yang sihat.

Sidang Hadirin sekalian,

Kesimpulannya, terdapat banyak cara untuk kita praktikkan dan amalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan kita. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru semua orang untuk sama-sama mengambil berat dan mengamalkan gaya hidup yang sihat dari pelbagai aspek. Ini penting demi memastikan negara Malaysia dapat melahirkan masyarakat yang sihat menjelang Wawasan 2020.

Sekian, terima kasih.


ctk@copyright 2010

No comments:

Post a Comment