PERSEPSI JIHAD
Pengenalan
Pada masa
kini, istilah “Jihad” semakin dilaung-laungkan dalam kalangan masyarakat umat
Islam dan diperlihatkan sebagai sesuatu fenomena yang luar biasa oleh
pihak-pihak bukan Islam. Terdapat banyak kekeliruan oleh orang ramai tentang
pengertian jihad. Kemuskyilan di sini bukan sahaja merujuk kepada takrif jihad
itu sendiri yang sering diertikan sebagai peperangan mengangkat senjata yang
menyebabkan berlakunya pertumpahan darah, tetapi juga merangkumi soal-soal
seperti mengapakah jihad harus dilaksanakan, siapakah golongan yang menjadi
tumpuan, serta siapakah golongan yang harus diperangi menerusi jihad ini.
Jika
dianalisis dengan tenang dan teliti, jihad merupakan satu konsep umum murni
yang menerangkan segala aspek perjuangan untuk menegakkan agama Islam yang
suci. Jihad merupakan asas kepada pembentukan dan kemajuan Tamadun Islam di
dunia bagi mencapai kejayaan yang sebenar di akhirat. Ia juga merupakan satu
cara bagaimana agama Islam mampu dipertahankan daripada kemusnahan akibat
serangan musuh. Melalui jihadlah Islam
telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Jadi, jihad bukanlah hanya terbatas
kepada peperangan menghadapi musuhnya, tetapi juga merangkumi usaha untuk
mengawal nafsu daripada godaan syaitan, membina keluarga Islam yang kukuh,
mempertahankan, melaksanakan dan menyebarkan ajaran, segala aturan dan
peraturan Islam, dan sebagainya.
Perkataan
jihad ini mengandungi pengertian yang cukup luas yang meliputi semua aspek
kehidupan, sama ada dari segi politik, sosial, ekonomi, pendidikan,
ketenteraan, ataupun ibadat, sejajar dengan konsep dan falsafah agama Islam
sendiri yang dilihat sebagai satu cara hidup yang sempurna. Oleh itu, ilmu
pengertahuan yang betul dan panduan yang tepat amat penting dalam melihat jihad
dalam skop yang luas agar kita tidak mudah terpengaruh oleh sebaran-sebaran
yang tidak benar. Penjelasan yang jelas perlu diketengahkan, bukan sahaja
kepada umat Islam itu sendiri, tetapi juga kepada mereka yang bukan Islam. Oleh
itu, dalam nukilan ini akan menerangkan tentang takrif dan konsep jihad,
jenis-jenis jihad, serta menjelaskan istilah
dan fenomena jihad daripada pelbagai pespektif.
Takrif dan Konsep Jihad
Perkataan jihad ini diambil
daripada perkataan al-juhdu yang
bermaksud usaha tangga dan al-jaduh
yang bererti penat jerih. Dengan kata lain, ia bererti melakukan sesuatu dengan
bersungguh-sungguh atau disebut sebagai didih dan dedikasi. Seorang muhajid
atau seseorang yang berjihad itu adalah seseorang yang sanggup menghabiskan
usaha tenaganya dengan merasai penat jerih.
Kamus Dewan menakrifkan
jihad sebagai perang yang suci kerana mempertahankan agama Islam atau perang
sabil. Terdapat empat pandangan berbeza mengenai takrif jihad oleh empat mazhab
yang berlainan, iaitu Hanafi, Shafie, Maliki, dan Hanbali. Namun teras utama
mereka adalah untuk mengajak orang kafir memeluk Islam dan memeranginya jika
menolak, mengerah segenap kemampuan dan tenaga dengan melakukan perang fisabilillah sama ada dengan diri, harta
dan lidah, berperang di jalan Allah, dan menegakkan ajaran
agama Islam.
Berasaskan kepada kenyataan
dalam syariat Islam dan pentafsiran para fuqaha, ternyata jihad boleh diertikan
dengan maksud yang luas. Jihad boleh didefinisikan sebagai berjuang dalam peperangan,
berjuang menentang hawa nafsu, berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran dan
lain-lain perjuangan pada jalan Allah dan meningkatkan nama Allah. Jihad juga
merupakan pergabungan tenaga dengan menggunakan cara-cara yang aman. Peperangan
jihad boleh dilakukan dalam keadaan terdesak dengan mendapat keizinan Allah
tanpa disertai dengan tujuan lain seperti kebendaan, kepentingan diri atau
untuk menjajah bangsa lain.
Terdapat
dua perkataan yang lahir daripada sumber yang sama dengan al-Jihad iaitu
al-Ijtihad clan al-Mujahadah. Perkataan al-Jihad,
al-Ijtihad dan al-Mujahadah memberi
maksud mengerahkan keupayaan secara maksimum (bersungguh-sungguh) dan berakar umbi daripada huruf yang sama iaitu Jahada.
Walaupun dari huruf yang sama dan mempunyai persamaan dari sudut
definisi iaitu mengerahkan segala kemampuan, namun dari aspek penggunaan dan
pengertiannya adalah amat berlainan kerana
perkataan-perkataan tersebut mempunyai maksud yang tersendiri apabila dilihat dalam
bidang disiplin ilmu yang berlainan. Ketiga-tiga istilah tersebut apabila
dilaksanakan oleh setiap individu muslim, ia akan menjadi suatu amalan atau
perbuatan yang dilakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. yang
merupakan matlamat tertinggi dan teragung kepada setiap individu muslim.
Jenis-jenis
dan Pembahagian Jihad
Secara umumnya, jihad boleh
terbahagi kepada dua: jihad nafsu dan jihad fizikal. Jihad nafsu bermaksud
jihad untuk membersihkan jiwa dan menyucikan hati dan sifat-sifatnya yang
rendah dan keji untuk diisi dengan sifat mulia dan terpuji. la adalah jihad
untuk mentaati Allah dan menentang tipu daya syaitan dan melawan nafsu. Jihad
ini juga merangkumi jihad kecil yang lain iaitu jihad dengan hati (berdoa),
jihad dengan lisan dan penulisan (nasihat dan tutur kata), jihad dengan ilmu
dan pelajaran, jihad dengan harta dan jihad dengan tubuh badan dan nyawa. Jihad melawan nafsu adalah jihad yang paling
tinggi sekah darjat di sisi Islam.
Sementara itu, jihad berbentuk fizikal pula ialah jihad dengan
mengangkat senjata menentang golongan kafir dan munafik yang menghalang
perkembangan dakwah Islam. Jihad menentang golongan kafir ini ialah dengan cara
pertama: berdakwah mengajak mereka memeluk Islam dan kedua: menyerang mereka
dengan senjata.
Amalan jihad sering
dikaitkan sebagai perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air. Justeru,
perjuangan yang dilakukan di atas dasar jihad dengan nama Allah s. w. t. dan
agama Islam adalah syahid. Istilah
jihad apabila didefinisikan dalam konteks yang sempit adalah jihad di medan
perang iaitu mempertaruhkan seluruh jiwa dan raga demi agama dan negara.
Sebaliknya apabila ditafsirkan secara lebih umum, maka jihad boleh membawa banyak
pengertian. Antara jenis jihad yang diberikan oleh kaum orientalis dan
pengikutnya adalah termasuklah jihad melawan nafsu, menuntut ilmu,
mempertahankan maruah diri dan sebagainya. Ia boleh dilakukan sama ada melalui
pengorbanan harta benda, wang ringgit, kekuatan fizikal, dan tenaga. Malah,
sumbangan pendapat dan buah fikiran juga tergolong dalam jihad Islam.
Lantas, sekiranya setiap umat Muslim dan orang ramai mengamalkan
konsep jihad serta menghayati semangat jihad, maka yakini kegemilangan Islam
akan kembali bersinar dan membawa kesejahteraan kepada dunia dan alam semesta ini.
Perspektif
Jihad Secara Umum
Secara umumnya, banyak orang
melihat jihad sebagai suatu perbuatan dan tindakan yang dikaitkan dengan
perjuangan menegakkan Islam dengan menggunakan senjata atau jihad secara
fizikal semata-mata. Golongan yang berjihad fanatik ini secara amnya lebih
banyak difahami dan lebih sinonim dengan beberapa aksi yang bersifat kekerasan
dan mengakibatkan pertumpahan darah atas dorongan untuk mencapai syahid.
Seperti yang dikatakan
sebelum ini, masih ramai yang tidak faham akan erti dan konsep jihad. Persoalan
pertama yang sering ditanyakan adalah tentang makna jihad itu yang sering
diertikan sebagai peperangan bersenjata yang membawa kepada pertumpahan darah
dan pembunuhan. Namun sebenarnya jihad dalam Islam merangkumi ruang lingkup
yang lugs dan tidak hanya terhad dengan mengangkat senjata. Jihad dalam Islam
boleh dilakukan dengan pelbagai cara, iaitu sama ada dalam bentuk nyawa,
tenaga, harta, wang ringgit, akal fikiran, ilmu dan sebagainya. Kekeliruan
kedua ialah tentang golongan yang menjadi sasaran jihad atau golongan yang
harus diperangi itu. Ada yang berpendapat semua golongan kafir atau musuh boleh diperangi, tanpa mengira sasarannya ialah kanak-kanak,
orang tua ataupun golongan yang uzur. Sebenarnya Islam ada menetapkan syarat
dalam berjihad secara perang di mana golongan-golongan ini tidak boleh
diperangi.
Kekeliruan yang ketiga pula adalah
tentang tindakan pihak barat yang sengaja ingin mencemarkan nama Islam dengan
menghadkan maksud jihad peperangan yang menggunakan senjata sehingga melibatkan
pembunuhan dan kekerasan. Namun, penyataan ini adalah tidak benar kerana jihad dengan
cara perjuangan sebegini tidak lagi dianggap sebagai jihad pada umat Islam. Demikianlah
wujudnya budaya yang tidak sihat dalam masyarakat Islam atas kekurangan fahaman
jihad. Ada umat Islam yang bermahzab dan berideologi politik yang berbeza sanggup
melakukan kekejaman antara satu sama lain atas alasan berjihad.
Jihad
menerusi Pespektif Islam
Islam mengkaitkan jihad dengan jiwa,
harta dan lidah. Dalam Islam, jihad merupakan
suatu pendekatan yang paling berkesan untuk mewujudkan keamanan kedamaian, keadilan, dan kebenaran. Jihad bukanlah
matlamat tetapi adalah salah satu kaedah untuk mencapai matlamat.
Justeru, jihad bukanlah keganasan tetapi adalah
sebagai satu kaedah untuk mengatasi keganasan. Jihad bukanlah kezaliman tetapi adalah sebagai suatu cara
untuk menghapuskan kezaliman.
Untuk menentukan
bahawa sama ada suatu peperangan itu tergolong jihad fisabilillah atau
tidak, maka kita perlu meneliti fakta tentang jenis-jenis peperangan yang
dikenal dalam khazanah Islam. Dalam Islam, terdapat kurang lebih 12 jenis
peperangan, iaitu perang melawan orang-orang murtad, melawan para
pengikut bughat, melawan kelompok pengacau (al-hirabah atau qutha
at-thuruq) dari kalangan perompak dan sejenisnya, mempertahankan kehormatan
secara khusus (jiwa, harta benda dan kehormatan), mempertahan kehormatan secara
umum (yang menjadi hak Allah atau hak masyarakat), menentang penyelewengan
penguasa, perang fitnah (perang saudara), melawan perampas kekuasaan, melawan ahlu dzimmah, perang ofensif untuk
merampas harta benda musuh, menegakkan Daulah Islam, dan untuk menyatukan
negeri-negeri Islam. Dalam peperangan
sekalipun, Islam telah menggariskan bahawa tidak boleh sekali-kali membunuh
orang-orang yang tidak berdaya seperti perempuan, kanak-kanak, orang tua, ahli
agama dan mereka yang tidak menentang serta memusuhi Islam. Ini kerana matlamat
utama al jihad atau al-qitalfi sabilillah
ialah untuk meningkatkan nama Allah dan menjadikan Islam satu-satunya agama
tertinggi yang dapat memberikan keadilan, kesejahteraan dan keamanan kepada
individu, masyarakat dan dunia seluruhnya. Matlamat ini tentunya mampu dicapai
tanpa melakukan kerosakan sama ada kepada manusia dan juga harta benda.
Tidak dapat dinafikan bahawa Islam mewajibkan umatnya
berperang dan pernah menyatakan bahawa rezeki berada pada hujung pedang sebagaimana
dalam hadis riwayat Ahmad daripada Ibn Umar. Namun, hadis ini perlu difahami
dengan tenang dan baik, iaitu Islam mahukan umatnya menyediakan kekuatan,
seberapa yang mungkin, kerana ketika itu Islam merupakan agama yang baru
muncul, dan nescaya kekuatan senjata cuma untuk mempertahankan diri sahaja,
tetapi Islam agama seluruh manusia. Antara unsur yang penting dalam jihad ini ialah kesungguhan
atau dedikasi dalam melaksanakannya dan niat atau objektif berjihad. Dalam
syariat Islam, kedua-dua aspek ini disebut sebagai niat dan khaifiyat yang menentukan
sejauh mana sesuatu langkah yang di ambil itu tepat atau sebaliknya. Secara
prinsipnya kedua-dua unsur ini perlu tepat dengan tuntutan syariah. Kalau salah
satu daripadanya terabai, maka kesan negatifnya boleh mengurangkan nilai aspek
yang satu lagi.
Sesungguhnya, sebaran
Islam hanya untuk disampai kepada sasarannya, bukan untuk dipaksa supaya
diterima. Dakwah Islam kini boleh dilalui dengan banyak jalan. Akidah Islam
tidak pernah disebar melalui paksaan, sama ada pada umat nabi-nabi terdahulu
atau pada umat Nabi Muhammad s.a.w.. Islam menolak penggunaan senjata bagi
penyebarannya Ayat 28 dalam surah Hud ada mengatakan di mana Nabi Nuh a.s.
dengan terus terang menyatakan kepada kaumnya: Adakah kamu nampak ada gunanya
aku paksa kamu memeluk Islam? Memang benar ada hadis yang menyatakan jihad
berterusan hingga kiamat, tetapi suasana damai hendaklah dikekalkan.
Jihad menerusi
Pespektif Al-Quran dan Al-Sunnah
Banyak
yang telah dijelaskan dalam Al-Quran mengenai konsep jihad dan peperangan (qital). Antaranya tema yang berkaitan
dengan jihad yang telah dibincangkan termasuklah hukum-hukum jihad, halangan
untuk berjihad, berhati-hati terhadap musuh, peraturan semasa berperang,
kisah-kisah peperangan dan banyak lagi.
Ayat-ayat dalam Al-Quran menjelaskan
bahawa maksud jihad dalam al-Quran bukan hanya menyeru umat Islam berperang
tetapi juga bermaksud menyeluruh dan umum, iaitu merangkumi aspek daya, tenaga
kemampuan dan kekuatan seseorang Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya (sama
ada luaran, ataupun dalaman iaitu syaitan dan jin) bagi mencapai matlamat yang
digariskan al-Quran. Terdapat juga ayat yang menyentuh tentang penegasan
kefardhuan jihad. Ada yang menyentuh jihad berbentuk suruhan bersungguh-sungguh
melaksanakan ibadah (keupayaan melawan nafsu), memperkaya ilmu, menggunakan al-
Quran sebagai mekanisme untuk menegakkan kebenaran, pengorbanan harta dan jiwa.
Perkataan al-Jihad atau al-Qital
yang bermaksud perang sering disandarkan
dengan istilah fisabilillah dalam kebanyakan ayat dalam al-Quran. Perkataan al-Qital
sebagaimana dinyatakan Allah s.w.t di beberapa tempat dalam al-Quran juga
pada kebanyakan disandarkan kepada fisabilillah. Maksud perkataan al-Qital lebih khusus
penggunaannya daripada al-Jihad kerana perkataan al-Qital lebih tertumpu
kepada peperangan yang menggunakan senjata serta menyebabkan berlakunya
pembunuhan antara satu sama lain. Manakala istilah al-Jihad pula
selalunya digunakan secara umum yang bermaksud mengerahkan keupayaan sama ada dari
aspek harta benda, tenaga dan pemikiran untuk meletakkan agama Allah s.w.t.
pada tempat yang sewajarnya.
Al-Quran juga menjelaskan jihad dalam beberapa bentuk.
Antaranya, jihad bermakna suatu tindakan yang umum. Jihad dipersyaratkan harus
dalam hal yang boleh diredhai Allah, hanya kerana Allah, dan sekadar atas kemampuan
masing-masing. Dengan kata lain, jihad tidak boleh bertentangan dengan
nilai-nilai kebaikan. Selain itu, jihad bukan suatu tindakan dan tujuan yang
dapat dicapai dengan tangan kosong. Maka jihad melibatkan dan memerlukan pengorbanan.
Oleh sebab itu orang yang mampu berjihad akan memperoleh keutamaan, kemenangan
dan kebahagiaan, pertolongan sesamanya, dan pengampunan jihad pula digolongkan
sebagai shadiqun. Di samping itu,
jihad juga bererti ujian. Mujahid adalah orang yang menerima ujian Allah dan
sekaligus penilaian Allah atas orang tersebut apakah termasuk orang yang sabar
atau tidak. Allah memberikan ujian berupa ketakutan (rasa tidak aman),
kelaparan, kekurangan harta, miskin jiwa, dan tidak adanya penunjang makanan
berupa buah-buahan di mana kesemuanya itu memerlukan jihad atas sebab melalui
semua ini adalah sangat tidak mudah.
Jihad menerusi Pespektif Barat
Pihak Barat selalunya mengaitkan jihad dengan keganasan. Perkataan
jihad sering disalahtafsirkan oleh musuh-musuh Islam. Apa jua bentuk keganasan pastinya dikaitkan dengan Islam.
Justeru mereka menuduh serta mengatakan bahawa Islam adalah agama yang menggalakkan keganasan. Sebenarnya
masyarakat Barat tidak menerima pemikiran agama Islam yang terlalu percaya
kepada sesuatu dan mengikuti kepercayaan itu tanpa menyoalkan kebenarannya.
Kesanggupan berjihad merupakan satu kesanggupan yang berdasarkan kepercayaan
tanpa bukti nyata. Masyarakat Barat menganggap jihad sebagai perbuatan orang
fanatik.
Media Barat sering memutarbelitkan pengertian jihad dengan
menggambarkan imej buruk Islam apabila menghubungkan perjuangan yang suci ini
dengan keganasan dan pembunuhan. Kefahaman ini seolah-olah Islam itu ditegakkan
dengan mata pedang atau peperangan sedangkan yang sebenarnya adalah
disebaliknya. Oleh sebab salah pengertian jihad dan kempen media Barat yang
mencemarkan Islam, umat Islam juga mula terpengaruh. Keadaan ini semakin jelas
dengan tragedi 11 September 2001 di New York. Tragedi yang dikatakan didalangi
oleh kumpulan pengganas Islam al-Qaeda
yang diketuai oleh Osama ben Laden dengan mudah tersebar di seluruh dunia
dengan penguasaan media komunikasi dunia di tangan Barat. Tetapi, setakat mana
benarnya ia masih lagi dipersoalkan. Apatah lagi hari ini, rakyat Amerika
sendiri inginkan agar tragedi ini disiasat semula hingga munculnya apa yang
dikatakan. Tragedi 911 pada tahun 2001 mula dikatakan sebagai satu pembohongan
besar yang sengaja diadakan bagi menghalalkan tindakan Amerika untuk terus
mengeksploitasi negara-negara Islam.
Pihak barat senantiasa menyebarkan propaganda bahawa umat
Islam itu pengganas. Kesannya, masyarakat Islam pun mula bertindak balas dalam
pelbagai bentuk. Dari sinilah timbulnya pelbagai gerakan bawah tanah yang
dikatakan melakukan pengemboman di Bali, Filipina dengan alasan berjihad
menentang Barat. Namun sebenarnya menurut Islam, berjihad dengan senjata perlu
mengikut objektif dan syarat yang betul kerana Islam sangat menghormati nyawa. Malah,
dalam realiti kini, kelompok Islam lebih gemar berjihad dengan mengebom kawasan
awam dan mengutamakan kekerasan. Secara tidak langsung ini telah mengukuhkan
lagi pendapat Barat bahawa Islam adalah agama perang dan umat Islam itu
pengganas. Cara media Barat menggambarkan Islam sebagai agama yang menggalakkan
keganasan telah menimbulkan ketakutan serta
kebencian sesetengah masyarakat Barat terhadap Islam, lantas meletakkan
Islam sebagai musuh mereka. Sebenarnya keganasan bukan hanya terbatas kepada
penganut agama tertentu sahaja.
Jihad yang Kita Perlukan pada Masa Kini
Semasa perjuangan
Rasulullah SAW, jihad baginda adalah untuk menentang kejahilan, kemiskinan,
hawa nafsu, sifat bongkak, munafik dan sebagainya. Jihad baginda bermula dengan
menekankan tentang tulis dan baca. Ini merupakan lambang peningkatan ilmu
pengetahuan dan kebudayaan manusia yang tinggi sebagai makhluk yang bertamadun.
Kemudian baginda berjihad menghapuskan kemiskinan dan kepapaan yang dialami
oleh orang miskin dan anak yatim, seterusnya berjihad dalam bidang pengajaran
dan pendidikan bagi mendidik jiwa manusia supaya kuat dan dinamik dari segi
rohani, badani dan aklinya. Pengertian jihad inilah yang seharusnya difahami
dan direalisasikan oleh umat Islam kini, terutamanya dalam menghadapi arus
globalisasi dan penindasan barat yang kuat melanda masyarakat dan negara-negara
Islam sekarang.
Jihad yang
perlu kita laksanakan dalam masyarakat hari ini haruslah mempunyai strategi
bagi memperkuat ilmu pengetahuan, aspek ekonomi, dan fizikal umat, serta daya
tahan yang kukuh untuk menghadapi segala cabaran dan permusuhan yang dihadapi. Ia
bukan lagi hanya terbatas dalam jihad mempertahankan diri dari serangan musuh
tetapi pendekatan jihad juga seharusnya dirujuk kepada faktor ruang dan waktu.
Terdapat banyak perbezaan antara masyarakat dahulu dengan masyarakat kini.
Antara perbezaan termasuklah perkara yang dimiliki untuk dipandang tinggi,
mulia, dihormati dan disegani. Untuk memiliki semua ini, maka pemikiran yang
tinggi dan ilmu yang mantap sangat diperlukan.
Jihad
berubah mengikut senario masa kini. Namun, apa yang utama ialah melaksanakan
jihad itu mengikut syarat asasnya iaitu menolong agama Islam dan meninggikan
kalimahNya. Dengan prinsip Islam Hadhari serta Rancangan Malaysia ke-9 yang
dibentangkan pada 31 Mac 2006 di Dewan Rakyat, jelas bahawa jihad ekonomi dan
pendidikan adalah amat penting. Umat Islam perlu menggunakan segala kekuatan,
kepakaran dan keupayaan yang sedia ada untuk mencapai sasaran yang sepatutnya.
Umat Islam di Malaysia jangan mudah terpedaya dengan persepsi salah Barat
terhadap jihad yang melihat jihad itu begitu sempit. Adalah penting untuk
memperingatkan generasi kita bahawa Islam sangat menghormati nyawa sehingga
dalam jihad hanya dibenarkan membunuh orang yang terlibat dalam perang. Membunuh
orang yang tidak berdosa dan berupaya adalah dilarang.
Umat Islam di Malaysia juga
perlu melihat kepada jihad dengan pemahaman yang sesuai dengan senario
semasa. Hal ini demikian kerana jihad yang benar bukanlah hanya melalui peperangan
tetapi juga harus berdasarkan prinsip-prinsip seperti jihad bukan untuk tujuan kemegahan,
kemenangan atau penjajahan. Komitmen yang berterusan dalam mentaati Allah dan
Rasul iaitu dengan meyakini bahawa jihad adalah cara untuk mendapatkan
keredhaan Allah dan segala kemurahan dan pertolongann-Nya. Perjuangan jihad
seharusnya tidak mengingkari dan bercanggah Islam, sebaliknya wujud penyatuan
atas dorongan satu matlamat jihad sebagaimana yang diingatkan oleh Allah S.W.T.
Seseorang haruslah sabar dalam mengambil tindakan dan menanti kejayaannya. Sesungguhnya
kesabaran adalah rahsia besar dalam kejayaan sebagaimana yang
diwasiatkan oleh Rasulullah kepada Ibnu Abbas r.a. Akhir sekali, sentiasalah mengingati Allah dan menginsafi bahawa jihad ini
hanya kerana Allah dan hanya Dia yang mampu memberi kejayaan.
Kesimpulan
Tuntasnya, jihad membawa maksud yang sangat luas. Ia mencakupi proses membangunkan masyarakat berdasarkan
syariah Islam, memelihara dan memastikan masalah masyarakat, menyeru kebaikan
dan mencegah kemungkaran. Disebabkan oleh kepelbagaian dimensi jihad Islam ini,
maka jihad tidak seharusnya dipandang sebagai hanya dengan mengangkat senjata
di medan peperangan tetapi jihad itu boleh menggunakan pelbagai cara. Justeru,
penerangan dan perbincangan yang telus dan jelas perlu diketengahkan agar ianya
mampu membimbing generasi muda khususnya dalam memahami apa itu jihad yang
sebenarnya dituntut Islam.
Pemahaman
jihad mengikut konteks Barat yang menyeleweng dari ajaran Islam telah menular
dalam kalangan masyarakat Islam pada hari ini. Muslim pada hari ini terperangkap
dengan apa yang dilakukan oleh musuh Islam khususnya Barat dengan membawa
pengertian jihad yang sempit dan menyeleweng dari ajaran Islam. Seharusnya,
jihad melawan hawa nafsu, jihad menuntut ilmu, jihad memerangi kemiskinan,
kejahilan, gejala sosial yang diutamakan. Oleh itu, sekiranya
setiap Muslim mengamalkan serta menghayati semangat jihad nescaya kegemilangan
Islam akan kembali menyinari dan membawa kesejahteraan kepada alam ini.
Bibliografi
A. G. Noorani. (2009). Islam
dan Jihad: Prasangka atau Kenyataan. Kuala Lumpur: Institut Penterjemah
Negara Malaysia Berhad.
Abu Mazaya Al-Hafiz. (2007). Meluruskan
Pemahaman Jihad Mengikut Panduan Al-Quran. Johor Darul Takzim: Perniagaan
Jahabersa.
Ahmad Kosasih. (t.t). Jihad.
Didapatkan Mac 11, 2011, daripada
http://www.dzikir.org/index.php?option=com_content&view=article&id=73:jihad&catid=43:mimbar-jumat&Itemid=61
Fatoohi, L. (2002). Jihad in the
Qur'an. Kuala Lumpur: A. S. Noordeen.
Jihad. (2011). Didapatkan Mac 11, 2011,
daripada http://id.wikipedia.org/wiki/Jihad
Mustaffa Abdullah. (2005). Jihad
dalam Al-Quran. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Persepsi Jihad. (2008, Disember 4). Didapatkan Mac
11, 2011, daripada http://titas-haba.blogspot.com/2008/12/persepsi-jihad.html
Sazelin Arif, Ahmad Ridzwan Mohd Noor,
Nooraini Sulaiman, Mahadi Abu Hassan, & Ali Hafizar Mohamad Rawi. (2007). Tamadun
Islam dan Tamadun Asia. Shah Alam: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.
Tamadun Islam dan Tamadun Melayu. (2006). Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.
Wisnu Sudibjo. (2009, Mac 2). MAKNA
JIHAD MENURUT ISLAM. Didapatkan Mac 11, 2011, daripada
http://wisnusudibjo.wordpress.com/2009/03/02/makna-jihad-menurut-islam/
Wong, J. (2009, September 11). Jihad
Dalam Perspektif Barat. Didapatkan Mac 11, 2011, daripada
http://wongjalur.web.id/islam/jihad-dalam-perspektif-barat/
Zulkifli Mohamad, Nasruddin Yunos &
Mohamad Sabri Haron. (2006). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Selangor
Darul Ehsan: Pusat Pengajian Umum universiti Kebangsaan Malaysia.
No comments:
Post a Comment