Laporan Refleksi Pengajaran Makro Matematik
Pengenalan
Pada 15 Ogos 2012 yang lepas, bersamaan dengan Hari
Ketiga saya menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang ke-empat
(Rabu), saya telah menjalankan pengajaran makro mengenai topik “Masa” terhadap 23
orang murid-murid Tahun 4 Bestari di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama.
Pengajaran makro ini dijalankan bertujuan untuk memenuhi
kehendak tugasan kursus Perancangan dan Pengajaran Matematik (MTE 3107) di
samping memberikan peluang kepada saya untuk merasai bagaimanakah persediaan
dan perasaan apabila saya menjalankan praktikum pada semester depan kelak.
Pengajaran makro yang dijalankan selama satu jam (60 minit) tersebut dijalankan
di bawah seliaan seorang guru Matematik yang berpengalaman 22 tahun di sekolah
tersebut, iaitu Puan Fauziah Haji Abu Bakar.
Walaupun terdapat banyak gangguan dan kekangan semasa
menjalankan pengajaran makro tersebut, namun bersyukur kepada Tuhan kerana saya
telah berjaya melaksanakan pengajaran tersebut dengan lancar. Terdapat banyak
perkara yang telah saya pelajari sepanjang merancang dan melaksanakan
pengajaran makro ini. Oleh itu, refleksi ini akan membincangkan pengalaman
perancangan dan pembelajaran, kaedah dan teknik pengajaran yang digunakan,
kelebihan, masalah, dan kelemahan yang telah dikenalpasti, serta
cadangan-cadangan penambahbaikan untuk pengajaran makro atau pengajaran yang
seterusnya.
Pengalaman Perancangan dan
Pembelajaran
Selepas kumpulan kami menerima kertas tugasan ini pada
30 Julai 2012, kami telah duduk bersama di perpustakaan institut untuk membincangkan topik dan tahun manakah yang
hendak kami ajar. Kami menggunakan masa yang agak panjang untuk menentukan
topik yang hendak diajar kerana kami sedar bahawa setiap topik mempunyai
kesukaran dan cabaran yang tersendiri apabila menjalankan pengajaran makro
kelak. Setelah lama berbincang, akhirnya kami bulat hati memutuskan bahawa kami
akan mengajar topik “masa” bagi Tahun 4. Keputusan ini diambil memandangkan
kami berpendapat bahawa topik ini lebih menarik dan senang diajar berbanding
dengan topik-topik yang lain. Malah, kami yakin bahawa kami mampu menyediakan
bahan bantuan mengajar (BBM) dan lembaran kerja yang menarik bagi topik ini.
Lantas, kami pun mula mengenalpasti hasil pembelajaran yang hendak kami capai pada akhir
unit pembelajaran kelak. Kami sedar bahawa adalah mustahil bagi seseorang guru
untuk mengajar terlalu banyak kandungan pembelajaran pada masa satu jam ini.
Oleh itu, kami hanya menetapkan satu hasil pembelajaran bagi Rancangan
Pengajaran Harian (RPH) pada kali ini, iaitu “memahami, membaca, dan menulis
masa dalam unit jam dan minit”.
Sepanjang merancang RPH ini, kami juga menghadapi
kesukaran untuk menentukan kaedah dan
teknik pengajaran yang mahu kami gunakan semasa mengajar kelak. Namun,
dengan mengambil kira kelebihan dan kelemahan yang dapat kami kenal pasti
terhadap semua teknik dan kaedah yang sedia ada, serta kesesuaiannya terhadap
topik ini, akhirnya kami bertekad untuk menggunakan gabungan beberapa jenis
kaedah agar pengajaran kami lebih berfleksibel dan menarik.
Akhir sekali, kami juga meluangkan masa untuk memikirkan bahan bantuan mengajar dan
lembaran kerja. Salah satu sebab kami memilih topik ini juga disebabkan
kami merasakan bahawa ia memiliki bahan bantuan mengajar yang sangat senang
diperoleh, iaitu jam. Selepas menyediakan lembaran kerja, maka kami bersedia
untuk menjalankan pengajaran makro.
Kaedah dan Teknik Pengajaran
Terdapat beberapa jenis kaedah dan teknik pengajaran
yang telah saya guna pakai semasa menjalankan pengajaran makro yang lepas.
Antaranya ialah pembelajaran koperatif.
Menurut Tai (2000), pembelajaran koperatif
didefinisikan sebagai sekumpulan murid belajar dalam kumpulan kecil secara
bekerjasama bagi mencapai matlamat pendidikan yang dikongsi bersama.
Pembelajaran sebegini dikatakan mampu menggalakkan murid mengambil bahagian
dalam P&P secara aktif di samping dapat meningkatkan keberkesanan
pembelajaran sesuatu pelajaran. Oleh itu, sebelum saya memulakan pengajaran
makro saya pada hari tersebut, saya telah membahagikan murid-murid Tahun 4
Bestari kepada 5 kumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada 4-5 orang
murid.
Selain itu, saya juga telah menggunakan kaedah bercerita semasa menjalankan pengajaran
makro. Kaedah ini digunakan sepanjang masa, apabila saya menjalankan fasa set
induksi saya, iaitu menyampaikan satu cerita bagaimana perkembangan jam dari
masa dahulu hingga kini, Saya sedar bahawa penggunaan kaedah bercerita dapat menarik
minat murid di samping menggalakkan penglibatan mereka semasa proses P&P.
Di samping itu, saya juga telah mengamalkan kaedah demonstrasi sepanjang mengajar di kelas
4 Bestari tersebut. Menurut Noriati, Boon, dan Sharifah (2009), demonstrasi
merupakan satu cara untuk melatih murid memerhati dan melakukan sesuatu
aktiviti mengikut prosedur. Pada hari itu, saya diibaratkan sebagai model hidup
apabila saya mengajar murid-murid bagaimana untuk melukis waktu pada jam di papan
hitam dan juga bagaimana memusing anak jarum untuk menunjukkan waktu yang betul
pada jam dinding yang sebenar.
Malah, saya turut menggunakan pendekatan deduktif, iaitu pengajaran dari umum ke
spesifik sepanjang pengajaran makro
ini. Contohnya, saya telah memberitahu murid-murid bahawa semasa membaca waktu pada jam, kita perlu
lihat dan membaca jarum jam terlebih dahulu, diikuti dengan jarum minit sebelum
kami melihat contoh-contoh soalan, kemudian murid mencuba sendiri dan menjawab soalan-soalan
yang terdapat pada lembaran kerja.
Kelebihan yang Dikenalpasti
Sepanjang menjalankan pengajaran makro di kelas 4
Bestari, saya sedar bahawa kumpulan kami telah berjaya mecipta satu cerita yang sangat menarik untuk peringkat set
induksi pengajaran kami. Hal ini demikian kerana apabila saya menyampaikan
cerita dan menampalkan kad-kad cerita pada papan hitam, maklum balas
murid-murid adalah begitu memberangsang. Semua murid juga mengambil bahagian
apabila saya mengemukakan soalan-soalan untuk dijawab oleh mereka. Keadaan ini
memberikan ikthibar kepada saya bahawa kita harus mempunyai satu set induksi
yang menarik supaya dapat terus menarik perhatian murid dan membolehkan proses
P&P ini berjalan dengan lancar dan berjaya.
Selain itu, saya berpendapat bahawa saya mempunyai keyakinan diri yang amat tinggi
sepanjang menjalankan pengajaran makro saya. Walaupun saya tidak pernah
mengajar sebelum ini, namum saya tetap bertindak seperti saya seorang guru yang
sangat berpengalaman dalam bidang pendidikan semasa mengajar murid-murid 4
Bestari. Pada saya, keyakinan diri ini adalah amat penting kerana murid hanya
akan mendekati, menghormati, dan mencontohi tindakan gurunya apabila gurunya
sentiasa berkeyakinan dalam menjalankan semua tugasannya. Kesannya, pengajaran
saya berjaya dan semua murid membuat apa yang saya minta tanpa menimbulkan sebarang
masalah disiplin.
Kefasihan dan
kelancaran bahasa yang ada pada diri saya juga membantu saya
menyempurnakan pengajaran makro pada hari ini. Walaupun saya berhadapan dengan
semua murid Melayu, namun saya masih dapat menyampaikan segala kandungan
pembelajaran saya dengan lancar tanpa sebarang masalah ketidakfahaman bahasa.
Penggunaan bahan
bantu mengajar, iaitu jam, dan juga lembaran
kerja yang menarik juga membolehkan murid mengekalkan minat dan motivasi
mereka terhadap pelajaran dan menyebabkan mereka sentiasa melibatkan diri
secara aktif sepanjang proses P&P ini. Oleh itu, BBM dan juga lembaran
kerja juga memainkan peranan dalam pelaksanaan pengajaran makro yang berjaya
dan berkesan.
Masalah dan Kelemahan yang
Dikenalpasti
Pada hari pertama saya pergi ke sekolah tersebut untuk
PBS, saya dimaklumkan bahawa kelas yang bakal saya ajar tersebut tidak mempunyai kemudahan ICT. Ini
bermakna saya tidak dapat menggunakan perisian power point untuk menyampaikan
cerita saya pada set induksi dan kandungan pembelajaran saya. Kesannya, saya
terpaksa memikirkan alternatif yang lain, iaitu menggunakan kad-kad untuk
menyampaikan cerita saya, dan menggunakan kad-kad manila dan juga papan hitam
untuk menyampaikan kandungan pembelajaran saya.
Semasa menjalankan pengajaran makro, saya mendapati
bahawa saya menghadapi masalah untuk
menyempurnakan apa yang telah dirancangkan untuk setiap langkah. Contohnya,
pada peringkat set induksi, saya mendapati saya telah menggunakan masa yang
terlampau panjang, iaitu kira-kira 10 minit untuk menyempurnakannya. Ini
menyebabkan saya harus mempercepat segala langkah pembelajaran saya dan
mengurangkan sesetengah langkah pengajaran saya. Saya menjadi semakin cemas dan
terburu-buru apabila saya mendapati saya telah melebihi masa pengajaran saya.
Selepas pengajaran, saya mendapati bahawa kumpulan
kami telah memasukkan terlalu banyak
langkah pengajaran dalam satu-satu peringkat fasa. Walaupun pada awalnya
secara teori, kami rasa langkah ini tidak banyak, namun, apabila kami
melaksanakannya, kami menghadapi masalah kekurangan masa. Maka kami sedar
bahawa penguasaan masa untuk setiap
langkah merupakan salah satu aspek yang perlu kami jaga dan tambah baik
selepas ini.
Walaupun saya dapat melaksanakan pengajaran makro saya
dengan berjaya, tetapi saya mendapati bahawa murid-murid seakan-akan tertekan
semasa saya mengajar. Selepas melihat semula proses pengajaran makro saya, saya
mendapati bahawa unsur humor atau
kecindaan masih kurang dalam diri saya. Saya juga mendapati bahawa saya agak
serius dan tidak senyum, dan ini mungkin menyebabkan murid-murid beranggapan
bahawa saya ialah seorang guru yang garang dan tegas.
Cadangan Penambahbaikan
Saya berpendapat bahawa pengajaran makro saya akan
dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna sekiranya saya dapat menggunakan kemudahan ICT yang sesuai untuk
menyampaikan pengajaran saya. Hal ini demikian kerana saya mampu membuatkan
kandungan penyampaian saya lebih menarik dan kelihatan lebih canggih.
Contohnya, saya dapat menayangkan video semasa mengajar atau menggunakan
animasi untuk menyampaikan cerita saya. Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa
sebagai seorang guru, kita perlu menyesuaikan diri dengan semua keadaan yang dihadapi dan seterusnya memikirnya alternatif untuk
menyelesaikannya.
Selain itu, saya sedar bahawa RPH yang akan kami hasilkan pada masa yang akan datang tidak harus
terlalu padat dengan langkah pengajaran dan aktiviti. Hal ini demikian
kerana kita perlu mengambil kira
masalah-masalah yang mungkin akan timbul dengan tiba-tiba dalam bilik
darjah dan mengambil masa untuk menyelesaikannya. Selain itu, kita juga perlu mengambil kira penerimaan murid
terhadap pengajaran kita sambil menjangkaan respon murid. Tiada gunanya
sekiranya kita menetapkan terlalu banyak hasil pembelajaran, tetapi murid tidak
dapat menguasai apa-apa pun pada akhir pembelajaran. Oleh itu, saya akan lebih
berhati-hati semasa merancang RPH dan membuat persediaan yang lebih rapi semasa
menyediakan pengajaran saya kelak.
Malah, adalah lebih baik sekiranya saya mendapatkan komen atau refleksi tentang
pengajaran daripada murid pada akhir kelas, sama ada secara bertulis atau
lisan. Melalui cara ini, saya akan dapat lebih mudah melihat kelemahan yang ada
pada perspektif murid dan membaikinya.
Akhir sekali, saya sedar bahawa membuat persediaan awal yang rapi adalah perlu dan mustahak agar
dapat menguasai penggunaan masa dalam kelas dengan lebih baik. Semasa membuat
persediaan awal yang lebih rapi, saya dapat menjalankan rehearsal dan memastikan bahawa saya dapat menyampaikan semua
kandungan pengajaran saya pada masa yang telah ditetapkan.
Penutup
Kesimpulannya, saya mempelajari banyak perkara yang
tidak dapat saya pelajari dalam kuliah daripada pengajaran makro ini. Ini
memberikan keyakinan kepada saya bahawa saya akan dapat menunjukkan prestasi
yang cemerlang apabila saya menjalankan praktikum semester depan kelak.
No comments:
Post a Comment