Laporan Refleksi Pengajaran Makro dan Pengajaran Semula
Sains
Pengenalan
Pada 13 September 2012, bersamaan dengan Hari Khamis yang
lepas, saya telah menjalankan pengajaran makro mengenai topik pembelajaran “Faktor-faktor
yang Mempengaruhi Kadar Penyejatan Air” di bawah tema Menyiasat Alam Bahan,
Sukatan Pelajaran Sains KBSR Tahun 5, terhadap 15 orang guru pelatih yang
bertindak sebagai murid-murid Tahun 5. Pengajaran makro yang dijalankan selama
satu jam (60 minit) tersebut dijalankan bersama-sama dengan dua orang lagi ahli
kumpulan saya di
bawah seliaan pensyarah kursus saya.
Pada pengajaran makro tersebut, saya telah mengajar
bahagian perbincangan berdasarkan pemerhatian dan membimbing murid untuk
membuat kesimpulan pada peringkat penstrukturan semula idea, membincangkan
lembaran kerja dan kepentingan-kepentingan penyejatan dalam kehidupan seharian
kita di bawah peringkat aplikasi idea, dan seterusnya membuat penutup akademik
dan menguji kefahaman murid untuk peringkat Refleksi. Borang-borang maklum
balas telah kami edarkan kepada guru-guru pelatih untuk menilai dan memberikan
komen mereka terhadap kami sepanjang kami menjalankan pengajaran makro
tersebut.
Walaupun terdapat banyak gangguan dan kekangan semasa
menjalankan pengajaran makro tersebut, namun bersyukur kepada Tuhan kerana saya
telah berjaya melaksanakan pengajaran tersebut dengan lancar. Terdapat banyak
perkara yang telah saya pelajari daripada pengajaran makro ini. Oleh itu,
refleksi ini akan membincangkan kekuatan-kekuatan dan kelemahan-kelemahan yang
dikenalpasti semasa menjalankan pengajaran makro, memberikan cadangan-cadangan
penyelesaian untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang telah saya kemukakan,
serta proses-proses dan perasaan semasa menjalankan pengajaran semula makro
berdasarkan rakaman, maklum balas rakan-rakan sebaya, dan pensyarah.
Kekuatan-Kekuatan yang Dikenalpasti
Sepanjang menjalankan pengajaran makro, saya sedar bahawa
saya dapat mengurus dan mengawal bilik darjah dengan tersusun dan berkesan. Hal
ini demikian kerana saya telah menggunakan pelbagai cara dan “cue” untuk mengawal keadaan dalam bilik
darjah. Sebagai contoh, saya telah meminta murid-murid untuk mengangkat tangan
sebagai tanda sudah bersedia atau sudah siap melakukan lembaran kerja. Apabila
saya mendapati bahawa murid-murid mula berbual-bual semasa sendiri atau kurang
memberikan fokus kepada pembelajaran, saya akan bertepuk tangan atau bertanya
beberapa soalan untuk mendapatkan perhatian mereka. Menurut Haliza dan Joy
(2009), pengurusan bilik darjah merujuk kepada semua tindakan guru semasa
mengendalikan kelas supaya dapat mewujudkan suasana persekitaran yang tersusun
untuk mengalakkan pembelajaran yang berkesan. Oleh itu, dengan menggunakan
cara-cara seperti ini, saya percaya bahawa keadaan murid-murid akan lebih
terkawal dan dapat menumpukan perhatian mereka terhadap apa yang telah kita
ajar.
Selain itu, saya juga sedar bahawa saya berupaya untuk
mewujudkan komunikasi yang berkesan dan interaksi dua hala dengan murid dengan
baik. Daripada pemahaman yang lepas, saya sedar bahawa komunikasi yang berkesan
dapat menghasilkan iklim pembelajaran yang kondusif dan murid-murid akan lebih
aktif dalam proses P&P (Mok, 2008). Oleh itu, semasa mengajar, saya sering
mengutarakan soalan-soalan yang sesuai dengan tahap kognitif murid-murid kepada
mereka. Semasa membincangkan lembaran kerja, saya akan berinteraksi dengan
murid dan melibatkan murid dalam perbincangan dengan meminta murid-murid
memberikan pendapat atau jawapan mereka, dan bertanya kepada murid-murid yang
lain sama ada mereka bersetuju dengan jawapan murid tersebut.
Pelbagai teori, kaedah, dan teknik juga saya aplikasikan
semasa menjalankan pengajaran makro tersebut. Antaranya ialah teknik penyoalan,
semasa saya bertanya soalan terhadap murid-murid saya. Selain itu, kaedah
pembelajaran koperatif juga telah saya gunakan apabila saya meminta murid-murid
berbincang untuk mendapat satu jawapan yang dipersetujui sesama mereka dalam
kumpulan. Menurut Tay (2000), pembelajaran
koperatif bermaksud sekumpulan murid bekerjasama belajar dalam kumpulan
kecil bagi mencapai matlamat pendidikan yang dikongsi bersama. Malah, saya
turut menggunakan pengajaran ekspositori apabila saya “bersyarah” dan
memberitahu murid-murid tentang kepentingan proses penyejatan dalam kehidupan
harian kita. Saya juga mengaplikasikan teori pembelajaran behavioris, apabila
saya meminta murid-murid bertepuk tangan apabila murid-murid mampu menjawab
soalan dengan betul sebagai satu usaha untuk memotivasi murid-murid agar mereka
terus aktif dalam pembelajaran. Situasi ini memberikan satu iktibar yang amat
penting kepada saya bahawa sebagai seorang guru yang berkaliber dan dedikasi,
kita perlulah bijak mengaplikasikan pelbagai teori, kaedah, dan teknik semasa
mengajar supaya kita dapat menyampaikan kandungan pengajaran kita dengan
sempurna di samping murid-murid tidak bosan dengan pengajaran kita.
Di samping itu, saya berpendapat bahawa saya mempunyai
keyakinan diri yang amat tinggi sepanjang menjalankan pengajaran makro saya.
Walaupun saya tidak pernah mengajar sebelum ini, namum saya tetap bertindak
seperti saya seorang guru yang sangat berpengalaman dalam bidang pendidikan
semasa menjalankan pengajaran makro tersebut. Pada saya, keyakinan diri ini
adalah amat penting kerana murid hanya akan mendekati, menghormati, dan
mencontohi tindakan gurunya apabila gurunya sentiasa berkeyakinan dalam
menjalankan semua tugasannya. Kesannya, pengajaran saya berjaya dan semua murid
membuat apa yang saya minta tanpa menimbulkan sebarang masalah disiplin.
Kefasihan dan kelancaran bahasa yang ada pada diri saya
juga membantu saya menyempurnakan pengajaran makro pada hari tersebut. Walaupun
saya perlu bebahasa Melayu dan berhadapan dengan banyak soalan yang dikemukakan
oleh murid-murid, namun saya masih dapat menyampaikan segala kandungan
pembelajaran saya dengan lancar tanpa sebarang masalah ketidakfahaman bahasa.
Penggunaan pelbagai media bahan bantu mengajar, iaitu slaid-slaid
power point dan juga video, serta
lembaran kerja yang menarik yang telah saya gunakan semasa menjalankan
pengajaran makro juga membolehkan murid mengekalkan minat dan motivasi mereka
terhadap pelajaran, menyebabkan mereka sentiasa melibatkan diri secara aktif
sepanjang proses P&P, dan membolehkan mereka lebih mengingati kandungan
pembelajaran yang telah kita ajar. Oleh itu, BBM dan juga lembaran kerja juga
memainkan peranan dalam pelaksanaan pengajaran makro yang berjaya dan berkesan.
Secara keseluruhannya, saya mendapat maklum balas
daripada rakan-rakan dan pensyarah saya bahawa pengajaran makro yang telah saya
laksanakan pada hari tersebut adalah mantap dengan penerangan yang jelas, nada
suara yang kuat dan baik, intonasi yang menarik dan arahan yang agak jelas. Sesungguhnya
ini amat mengejutkan saya, tetapi gembira memandangkan ini merupakan kali
pertama saya menjalankan pengajaran makro terhadap subjek Sains ini.
Kelemahan-Kelemahan yang
Dikenalpasti
Walaupun saya dapat melaksanakan pengajaran makro saya
dengan agak berjaya, tetapi saya mendapati bahawa murid-murid seakan-akan
tertekan dan kurang riang semasa saya mengajar. Pada masa itu saya
tertanya-tanya kepada diri sendiri: Adakah saya terlalu garang atau tegas
semasa mengajar? Adakah murid-murid tidak dapat mengikuti apa yang sedang saya ajar?
Selepas melihat semula proses pengajaran makro saya menerusi rakaman video, saya
mendapati dan sedar bahawa rupa-rupanya unsur humor atau kecindaan semasa
mengajar masih kurang dalam diri saya. Hal ini demikian kerana saya mendapati
bahawa saya agak serius dan tidak senyum semasa mengajar, memandangkan saya
agak cemas dan gementar ketika menjalankan pengajaran makro tersebut. Keadaan ini
mungkin menyebabkan murid-murid beranggapan bahawa saya ialah seorang guru yang
garang, kurang ramah, sukar didekati, dan tegas orangnya.
Semasa melihat semula rakaman pengajaran makro saya, saya
juga mendapati bahawa saya selalu menggunakan perkataan “Ah” apabila saya
sedang berfikir atau semasa mengadakan interaksi dengan murid-murid. Saya sedar
bahawa penggunaan perkataan-perkataan yang tidak diperlukan dengan terlalu
kerap seperti ini akan mengganggu kelancaran dan proses pelaksanaan
pengajaran-pembelajaran. Namun, ia memerlukan satu tempoh masa yang agak
panjang untuk saya berubah memandangkan ia sudah menjadi sebahagian daripada
tabiat saya semasa bercakap.
Aspek kelemahan lain yang dapat saya kenalpasti semasa
menonton semula rakaman pengajaran makro saya ialah saya seakan-akan hanya
berdiri statik di sesuatu tempat sahaja dan tidak bergerak ke sana sini untuk
mendekati diri dengan murid. Keadaan ini mungkin menyebabkan murid beranggapan
bahawa guru ini adalah sukar untuk didekati dan hanya selesa apabila berada di
tempat tersebut. Murid-murid juga akan beranggapan bahawa guru tersebut hanya
akan berada di tempat itu sampai tamat kelas dan tidak akan datang ke meja
mereka. Lantas mereka pun mula kurang memberikan fokus dan mula membuat kerja
mereka sendiri. Walaupun saya tidak sedar bahawa saya tidak mempunyai banyak
pergerakan semasa mengajar, namun, aspek ini begitu ketara dan jelas kelihatan
apabila saya melihat semula pengajaran makro saya.
Daripada borang-borang maklum balas rakan-rakan yang telah
kami kumpulkan, saya mendapati bahawa terdapat sesetengah guru pelatih yang
merasakan bahawa kadar percakapan saya adalah terlalu cepat. Keadaan ini
mungkin akan menyebabkan murid-murid tidak dapat mendengar apa yang hendak saya
sampaikan semasa mengajar. Kesannya, murid-murid mungkin akan tertinggal dalam
pelajaran atau gagal melakukan apa-apa perkara yang telah saya arahkan. Maklum
balas pertama saya selepas saya mendapat tahu perkara ini ialah: Adakah
pernyataan ini benar? Ataupun tanggapan sesetengah orang sahaja? Selepas
mengimbas kembali apa yang berlaku semasa pengajaran makro, saya juga mendapati
masalah yang sama. Oleh itu, ini memberikan satu kesedaran kepada saya bahawa apabila
saya mengajar kelak, saya perlu bercakap pada kadar yang sesuai dengan tahap
kognitif murid-murid dan pastikan bahawa setiap murid faham akan apa yang ingin
saya sampaikan sebenarnya.
Tuntasnya, masih terdapat banyak kelemahan yang terdapat
pada diri saya semasa menjalankan pengajaran makro, seperti kurang prihatin,
tulisan kecil, dan sebagainya selain daripada kelemahan yang disebutkan di atas.
Kelemahan-kelemahan ini mungkin tidak begitu serius atau ketara semasa
mengajar, tetapi saya percaya bahawa ia tetap akan memberikan kesan yang tidak
baik pada jangka masa yang panjang. Oleh itu, saya perlulah memikirkan
cara-cara yang sesuai untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang dapat saya
ketengahkan seperti yang disenaraikan di atas.
Cadangan Penambahbaikan
Untuk mengatasi masalah kekurangan unsur kecindaan atau
humor semasa mengajar, saya sedar bahawa saya perlulah sentiasa senyum dan
mempamerkan riak wajah yang ceria kepada murid-murid. Hanya dengan ini
murid-murid akan berasa bahawa gurunya adalah seorang yang ceria dan mudah
didekati. Selain itu, saya juga boleh mencari atau memikirkan beberapa jenaka
lawak yang boleh dikongsikan bersama di kelas semasa rehat atau ketika
perantaraan antara peringkat pengajaran. Dengan berbuat demikian murid-murid mungkin
akan beranggapan bahawa guru tersebut mempunyai unsur kecindaan yang amat
tinggi.
Selain itu, saya juga perlulah mencuba untuk mengurangkan
penggunaan istilah “Ah” semasa berfikir atau semasa berinteraksi dengan
murid-murid. Apabila saya berfikir panjang, bukan sahaja perkataan “Ah” sahaja,
malah perkataan-perkataan seperti “lah”, “kah”, “ya”, “eh”, dan sebagainya juga
haruslah saya kurang sebanyak yang mungkin. Dengan mengurangkan percakapan
seperti ini, saya percaya bahawa saya akan dapat menyampaikan kandungan saya
dengan lebih lancar dan ia akan lebih mempamerkan sifat profesional saya
sebagai seorang guru yang mulia dan beretika.
Pada pengajaran makro yang seterusnya atau praktikum yang
akan datang, saya juga akan berusaha untuk melakukan pergerakan dari satu
tempat ke satu tempat, dengan kadar yang sesuai. Hal ini demikian kerana saya
percaya bahawa pergerakan yang terlampau banyak juga kurang sesuai kerana ia
boleh dianggap sebagai satu gangguan kepada murid-murid. Oleh itu, memiliki sedikit
pergerakan di dalam bilik darjah nescaya mampu menarik perhatian murid dan
menyebabkan mereka fokus kepada pembelajaran tanpa berani melakukan apa-apa
perkara yang tidak berkaitan dengan pelajaran.
Di samping itu, saya juga akan mencuba untuk mengawal
kadar pertuturan saya agar tidak terlalu cepat atau terlalu perlahan. Mungkin
saya boleh berhenti seketika untuk membolehkan murid-murid memikir sejenak apa
yang telah saya sampaikan atau bertanya kepada murid-murid sama ada mereka
faham atau dapat mengikuti pelajaran sebelum saya meneruskan topik pembelajaran
yang seterusnya. Dengan cara ini, saya dapat memastikan bahawa tiada murid yang
tidak faham atau tertinggal pelajaran dalam proses pengajaran-pembelajaran
saya.
Akhir sekali, saya sedar bahawa membuat persediaan awal
yang rapi adalah perlu dan mustahak agar dapat merancang apakah yang hendak
saya lakukan di samping menguasai penggunaan masa dalam kelas dengan lebih
baik. Dengan membuat persediaan awal yang lebih rapi, saya dapat menjalankan rehearsal dan memastikan bahawa saya
dapat menyampaikan semua kandungan pengajaran saya pada masa yang telah ditetapkan
dengan kadar yang maksima.
Proses Pengajaran Semula Pengajaran
Makro
Semasa menonton
semula bahagian pengajaran makro yang telah saya laksanakan pada hari tersebut,
saya mendapati bahawa saya langsung tidak mempunyai pergerakan apabila saya
mengajar peringkat aplikasi idea, iaitu kepentingan-kepentingan penyejatan
dalam kehidupan kita. Saya juga banyak menggunakan perkataan “Ah” semasa berinteraksi
dengan murid-murid. Malah, muka saya kelihatan agak murung dan tidak ceria
semasa mengajar, sehingga guru-guru pelatih memberikan maklum balas seperti
tegas dan tidak beramah-tamah pada borang maklum balas saya. Oleh itu, saya
mengambil keputusan untuk mengajar semula bahagian kepentingan penyejatan dalam
kehidupan kita, disusuri dengan bahagian refleksi sebagai penutup P&P saya.
Saya telah menjalankan pengajaran semula bahagian yang
perlu penambahbaikan ini pada 19 September 2012. Semasa mengajar semula, saya
cuba menfokus dan membaiki kelemahan yang telah saya kenalpasti pada pengajaran
yang lepas. Oleh itu, saya lebih banyak menggerakkan diri saya ke sana dan ke
sini semasa mengajar, melibatkan murid secara aktif, kurangkan penggunaan
perkataan “Ah”, dan menulis respon-respon murid pada kad-kad manila supaya
perkataan yang ditunjukkan adalah lebih besar dan cantik. Sesi pengajaran
semula berjalan dengan agak sempurna.
Selepas pengajaran semula, kebanyakan guru pelatih
beranggapan bahawa saya berjaya mengurangkan kelemahan-kelemahan yang telah
saya kenalpasti daripada pengajaran makro yang lepas, dan seterusnya
menyebabkan proses P&P tersebut berjalan dengan lebih lancar. Saya sangat
gembira dan terharu kerana semua usaha saya membuahkan hasil dan menyebabkan
saya lebih yakin untuk mengajar.
Penutup
Kesimpulannya, saya telah mempelajari banyak perkara yang
tidak dapat saya pelajari dalam kuliah daripada pengajaran makro ini. Ini
memberikan keyakinan yang sangat tinggi kepada saya bahawa saya akan dapat
menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila saya menjalankan praktikum semester
depan kelak. Saya berharap bahawa saya mampu melakukan yang terbaik pada
pengajaran yang seterusnya.
Rujukan
Haliza Hamzah & Joy
Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan
Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Mok, S. S. (2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor
Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Tay, L. K. (2000, November). Kaedah Pembelajaran Koperatif: Ke Arah
Pembelajaran Bacaan Pemahaman Teks Yang Berkesan. Jurnal Akademik MPSAH, 8, 1-8.
No comments:
Post a Comment