Pages

Monday, April 29, 2013

Pedagogi Releven Budaya (Culturally Relavent Pedagogy)


Pedagogi Releven Budaya (Culturally Relavent Pedagogy)
Oleh
Chang Tun Kuet
 (PISMP SN Ambilan Januari 2011)
Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang

1.0         Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh pelbagai kaum dan etnik. Malaysia pernah diiktiraf sebagai sebuah negara yang boleh dijadikan model terbaik di mana penduduk terdiri daripada pelbagai etnik yang boleh hidup dengan aman berasaskan sikap saling mempercayai (“Malaysia Diiktiraf Model Terbaik”, 2010). Walaupun semua kaum dan etnik memiliki latar belakang sosiobudaya yang berbeza, tetapi semua rakyat Malaysia tetap layak menikmati pendidikan yang percuma selama 11 tahun atas pegangan kepercayaan “pendidikan untuk semua” (Education for All, EFA) dan dasar pendidikan negara (Choong, 2008).
Memandangkan dasar pendidikan negara adalah sebegini, ia telah memberikan cabaran dan tugas yang besar bagi guru untuk mengajar, menyampaikan ilmu pengetahuan, serta mendidik anak-anak muridnya yang terdiri daripada latar belakang sosiobudaya yang berbeza. Menurut Noriati, Boon, Sharifah, dan Zuraidah (2011), bakal-bakal guru harus mendapatkan pendidikan dan latihan yang menghala ke penguasaan pengetahuan dan kemahiran demi memastikan guru mampu menganalisis isu berhubung etnik, budaya dan amalan etnik-etnik secara kritikal serta mengenal pasti pendekatan yang paling berkesan untuk memberikan pengalaman yang bermakna kepada murid. Guru perlu memastikan setiap murid tidak tertinggal dalam pelajaran mereka dengan mengambil kira kepelbagaian aspek budaya murid. Dalam konteks ini, pengetahuan mengenai pedagogi releven budaya menjadi amat penting dan harus diketahui dan dimiliki oleh setiap pendidik negara demi membina ilmu pengetahuan yang bermakna kepada murid di samping memudahkan tugas pengajaran dan pembelajaran mereka.
Sesungguhnya pedagogi releven budaya melibatkan latar belakang, pengetahuan dan pengalaman murid untuk memberitahu guru apakah kaedah dan metadologi yang harus digunakan oleh guru. Maka dalam nukilan ini, kita akan melihat dan membincangkan konsep dan definisi pedagogi releven budaya, tujuan dan kepentingan pedagogi releven budaya, ciri-ciri atau kriteria-kriteria pedagogi releven budaya, elemen-elemen dalam pedagogi releven budaya, dan usaha-usaha memupuk hubungan etnik antara masyarakat Malaysia supaya dapat membina sebuah negara yang harmoni.



2.0         Konsep dan Definisi Pedagogi Releven Budaya
Sebelum definisi pedagogi releven budaya ditakrif, istilah-istilahnya perlukah ditakrif terlebih dahulu supaya kita dapat memahami konsep ini dengan lebih mendalam. Menurut Ibrahim, Azizah, Saidah, Aziah, Salmah, dan Rodziah (2005) dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, pedagogi dapat didefinisikan sebagai kajian mengenai kaedah dan prinsip pengajaran, khususnya pengajaran dalam pendidikan formal. Dengan kata lain, ia merupakan satu jenis sains dan seni mengenai cara mengajar di sekolah. Ibrahim et al. (2005) juga mendefinisikan istilah releven sebagai sesuatu yang ada kaitan atau hubungannya dengan apa yang dibicarakan, apa yang berlaku, dan sebagainya. Sementara itu, budaya dari segi sosiologi pula dapat ditakrifkan sebagai sesuatu cara hidup yang dipelajari, diubahsuaikan dan diturunkan dari generasi ke generasi dalam sesebuah masyarakat tertentu (Syed & Ahmad, 2010). Menurut Trumbull (2005) menerusi Oran (2009) pula mendefinisikan budaya sebagai satu sistem nilai, kepercayaan, dan cara untuk mengetahui panduan komuniti masyarakat dalam kehidupan seharian mereka. Tuntasnya, frasa ini menggambarkan satu kajian mengenai bagaimana seseorang pendidik untuk mengajar murid-murid sekolah dengan mengambil kira dan menyerapkan perbezaan cara-cara hidup,cara-cara belajar, etnik, dan latar belakang murid itu sendiri.
Sebenarnya, frasa pedagogi releven budaya mula diperkenalkan oleh Gloria Ladson-Billings pada tahun 1992. Menurut Coffey (2008), seiring dengan masa berkembang, ahli-ahli antropologi, sosio-linguistik, dan pendidik-pendidik telah mengembangkan pedagogi ini mengikut cara masing-masing. Kesannya, pelbagai  istilah lain telah diperkenalkan seperti culturally appropriate, caltural congruent, culturally responsive, culturally historical, culturally compatible, dan sebagainya. Walau bagaimanapun,  sebenarnya semua pedagogi ini adalah lebih kurang sama dan berasal daripada pedagogi yang sama, iaitu pedagogi releven budaya.
Menurut Gloria Ladson-Billings dalam jurnalnya yang bertajuk “Reading Between the Lines and Beyond the Pages: A Culturally Relevent Approach to Literacy Teaching” menerusi Noriati, Jamilah, Zuraidah, Lee, dan Raymond (2009), “Culturally relevent pedagogy is a pedagogy that empowers studuents intellectually, socially, emotionally, and politically by using cultural referents to impart knowledge, skills, and attitudes”. Ia bermaksud, pedagogi releven budaya ialah pedagogi yang mengupayakan kekuatan intelek, sosial, emosi, dan politik murid dengan merujuk budaya dalam mengusasi pengetahuan, kemahiran, dan sikap menurut Noriati et al. (2011).
Selain daripada Gloria Ladson Billings, Geneva Gay dan Kris Gutierrez juga merupakan antara pelopor dalam bidang pedagogi releven budaya ini. Gay (2002) dalam jurnalnya yang bertajuk “Preparing for Culturally Responsive Teaching” mengatakan bahawa:
“Culturally responsive teaching is defined as using the cultural characteristics, experiences, and perspectives of ethnically diverse students as conduits for teaching them more effectively. It is based on the assumption that when academic knowledge and skills are situated within the lived experiences and frames of reference of students, they are more personally meaningful, have higher interest appeal, and are learned more easily and thoroughly (Gay, 2000).”
(Gay, 2002)
Penyataan ini membawa mesej yang amat jelas bahawa pedagogi releven budaya merupakan satu kaedah pendekatan yang melibatkan penggunaan ciri-ciri budaya, pengalaman, rujukan, dan perspektif budaya yang pelbagai dalam usaha mengajar murid-murid dengan lebih sesuai dan berkesan. Gay (2010) menerusi Noriati et al. (2011) mengatakan bahawa kepelbagaian etnik, warisan, dan budaya yang akan mempengaruhi sikap dan tingkah laku murid wajar dimasukkan dalam kurikulum yang sedia ada pada masa kini. Semasa proses P&P, murid-murid akan sedar dan menghargai warisan budaya sendiri dan orang lain, dibekalkan sumber dan maklumat yang berlainan dan pelbagai di sekolah. Malah, apa yang diajar oleh guru harus menghubungkan pengalaman di rumah dan di sekolah kerana ia akan menggambarkan keadaan sosiobudaya yang sebenar. Oleh itu, strategi pengajaran dan bimbingan yang meluas dan pelbagai dikaitkan dengan perbezaan individu perlu diaplikasikan apabila seseorang guru berhasrat untuk mengajar berasaskan pedagogi releven budaya.
Gutierrez dan Rogoff (2003) pula mencadangkan pedagogi releven budaya sebagai satu pendekatan yang dapat mengatasi cabaran mengajar murid-murid yang terdiri daripada pelbagai budaya dengan memberikan fokus penyelidik, pendidik, dan peserta kepada variasi dalam latar belakang sejarah dan pengamalan budaya setiap golongan budaya etnik. Penyelidikan Gutierre dan Rogoff adalah lebih kepada perkembangan sejarah budaya kerana mereka percaya bahawa setiap budaya memiliki ciri-cirinya yang tersendiri yang harus dikenalpasti oleh guru-guru dalam usaha membantu guru menyediakan sumber-sumber pelajaran, menolong murid-murid menentukan cara belajar mereka, meningkatkan prestasi pelajaran, dan seterusnya berjaya dalam akademik mereka. Gutierrez dan Rogoff (2003) percaya bahawa perkembangan seseorang mestilah berkaitan dan tidak dapat dipisahkan dengan budaya dan sejarahnya. Dari perspektif sejarah budaya, kita akan dapat melihat dan menilai cara seseorang membuat kerja, memahami sejarah penglibatan seseorang dalam pelbagai komuniti, termasuklah komuniti etnik dan nasional, di samping komuniti akademik dan keagamaan.
 


3.0         Tujuan dan Kepentingan Pedagogi Releven Budaya
Tujuan utama pengenalan pedagogi releven budaya adalah untuk memastikan pendidik menyedari dan menghargai kepelbagaian budaya dan pandangan mengenai populasi murid di sekolah dan mengelakkan diri daripada menganggap atau mempromosikan perspektif diri-sendiri sebagai pandangan atau kepercayaan universal (Oran, 2009). Sekiranya seseorang guru memahami pedagogi releven budaya dengan mendalam, beliau akan dapat memahami mengapa seseorang murid di kelasnya berkelakuan di luar norma masyarakat dan tidak akan memarahinya sekiranya kelakuannya adalah luar biasa berbanding dengan murid lain. Lantas, prejudis guru terhadap sesetengah golongan kaum dan etnik akan dapat dihapus, dan sikap keterbukaan, toleransi, dan hormat-menghormati antara guru dan dengan murid akan dapat dipupuk di sekolah. Sesungguhnya, tiada seorang murid yang harus mengorbankan warisan budaya, identiti etnik, dan rangkaian sosialnya semata-mata demi mendapatkan pendidikan di sekolah (Oran, 2009).
Noriati et al. (2011) mempercayai bahawa pedagogi relevan budaya merupakan salah satu cara yang dapat membolehkan murid-murid mempertahankan identiti budaya mereka sendiri di samping dapat mencapai kecemerlangan akademik. Malah, dengan pengolahan P&P yang berkesan dan berintekasi secara positif dengan murid, diharapkan semangat kebanggaan budaya akan dapat dipupuk dalam kalangan murid dan seterusnya memangkinkan kematangan intelek. Hanya dengan memahami pelbagai aspek perbezaan individu murid-murid seperti latar belakang dan etnik, cara belajar dan sebagainya, guru dapat mengaplikasikan pedagogi ini untuk memaksimumkan peluang pembelajaran murid-murid, lantas mengubah sikap murid-murid terhadap mustahaknya pelajaran dalam kehidupan mereka.
Selain itu, pedagogi releven budaya merupakan salah sejenis pendekatan yang paling berkesan untuk mencapai matlamat akademik dan tuntutan sosial murid-murid yang berasal daripada pelbagai budaya. Sebagai pendidik, kita perlu memahami kepelbagaian murid, bukan hanya sekadar mengenal dan mentafsir konsep sahaja, tetapi perlu mencerakin serta mengambil kira keunikan perspektif dan budaya dan sosial setiap murid yang terdapat di dalam bilik darjah supaya kesepaduan perolehan ilmu, kemahiran dan sikap yang holistik yang diperoleh oleh murid-murid dapat mencapai hasrat yang dikehendaki oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Rukun Negara (Noriati et al., 2009).
Di samping itu, kesedaran dan pemahaman mengenai pedagogi releven budaya juga adalah amat penting untuk membantu guru-guru untuk merancang pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka dengan berkesan. Kita sebagai guru seharusnya sedar dan memahami hakitat bahawa di Malaysia, murid-murid kita biasanya tidak akan terdiri daripada sejenis kaum sahaja, tetapi terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu, metadologi dan pedagogi yang sesuai dan releven menggunakan berbagai-bagai jenis strategi dan kaedah P&P mampu menjadikan pembelajaran kita lebih bermakna kepada semua murid (Syed & Ahmad, 2010). Maka, guru yang memberikan perhatian kepada aspek ini akan mengambil kira sensitiviti budaya semasa mereka menganalisis latar belakang murid, merancang aktiviti, menyediakan bahan bantu mengajar, mengelola aktiviti, mengurus dan melaksanakan P&P di bilik darjah, serta menetapkan prosedur dan kaedah penilaian untuk murid-murid kelak.
Tuntasnya, sebagai seorang guru yang peka terhadap kepelbagaian sosiobudaya dan mengajar di sebuah negara yang terdiri daripada pelbagi kaum dan etnik, pedagogi releven budaya adalah sesuai dan penting bagi kita untuk memahami konsep kepelbagaian murid semasa menghadapi murid-murid yang berlatarkan pelbagai budaya demi mewujudkan suasana P&P di dalam bilik darjah yang lebih berkesan, maksima, sempurna, dan optima bagi semua murid.
 


4.0         Ciri-Ciri/ Kriteria-Kriteria dalam Pedagogi Relevan Budaya
Menurut Guittierez (1994) dan Ladson-Billings (1994) menerusi Noriati et al. (2009), antara ciri pedagogi releven budaya termasuklah pembelajaran akan menjadi lebih berkesan apabila murid mengabungkan semua pengetahuan, konsep, prosedur, kemahiran dan strategi yang telah dipelajari oleh mereka daripada situasi pelbagai budaya ke dalam kesepaduan ilmu dan nilai tanpa prejudis budaya, pedagogi releven budaya adalah mustahak bagi murid untuk memahami latar belakang mereka yang berlainan budaya, supaya murid dapat belajar dalam proses aktif pembelajaran merentasi pelbagai budaya, dan selain membantu pelajar memperoleh pengetahuan, pedagogi relevan budaya juga memberikan motivasi murid untuk belajar secara konstektual, iaitu mengambil kira pengalaman murid yang berbeza.
Berdasarkan ciri-ciri yang disenaraikan di atas, kita dapat merumuskan bahawa pembelajaran yang mampu menghubungkan pengalaman murid di rumah dengan pengalaman di sekolah serta memenuhi tuntutan dan keperluan kurikulum dan menjanjikan kecemerlangan murid dari segi semua aspek di sekolah. Pedagogi releven budaya harus memanfaatkan latar belakang, pengetahuan dan pengalaman murid untuk memahami pengajaran guru, serta menjadikan budaya sebagai sumber dalam pengajaran dan pembelajaran.
Untuk mengetahui ciri-ciri pedagogi releven budaya dengan lebih lanjut, Ladson Billings (1995a, 1995b) telah mengutarakan tiga jenis kriteria untuk menjelaskan pedagogi releven budaya. Antaranya termasuklah kejayaan akademik murid, persaingan budaya, dan budaya mengkritik.
 


4.1         Pedagogi Releven Budaya dengan Kejayaan Akademik Murid
Menurut Ladson-Billings (1995a), pedagogi releven budaya memerlukan murid untuk mengekalkan integriti budaya di samping mengekalkan kecemerlangan kejayaan. Ramai pendidik percaya bahawa murid menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam menggalakkan pembelajaran dan kecemerlangan akademik apabila murid mudah memahami sesuatu kandungan pelajaran yang dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada murid, iaitu pengalaman hidup mereka dalam komuniti dan budaya masing-masing (Noriati, et al., 2011). Oleh itu, sekiranya seseorang guru mengambil kira aspek budaya dan memasukkan cara-cara hidup murid dalam proses P&P mereka, nescaya ia dapat meningkatkan kemajuan murid dalam bidang pembelajaran dengan memberikan tumpuan membantu dan membimbing murid menguasai kemahiran membaca, menulis, bertutur, malah mampu menyelesaikan masalah dan bersama-sama dengan rakan yang lain mencari jalan untuk mengatasi masalah. Coffey (2008) mengatakan bahawa dalam usaha memastikan murid menyertai masyarakat yang demokratik, murid perlu membangunkan kemahiran literasi dan numerasi mereka, serta mengembangkan kemahiran mereka dalam teklologi, keupayaan sosial dan politik. Dengan menumpukan perhatian tentang kepentingan kejayaan akademik dalam dunia hari ini, maka guru dapat memupuk dan merangsang murid mereka untuk mencapai kejayaan intelektual yang diingini.
 


4.2         Pedagogi Releven Budaya dengan Persaingan Budaya
Menurut Ladson-Billings (1995b) menerusi Coffey (2008), guru yang berfokus kepada pembangunan persaingan budaya akan menggalakkan murid-murid mereka belajar bagaimana untuk mengekalkan integriti budaya mereka. Guru yang menekankan releven budaya akan menggunakan budaya sebagai wahana untuk belajar. Guru juga akan menggunakan pedagogi releven budaya untuk membekalkan murid-murid ilmu pengetahuan dengan syarat membina pengetahuan baharu berdasarkan pengetahuan sedia ada atau pengalaman budaya mereka. Oleh itu, guru yang mementingkan budaya akan menggalakkan murid-muridnya untuk bersedia mempelajari dan menyokong budaya sama ada budaya di sekolah mahupun budaya di rumah. Manakala guru berperanan untuk menilai dan membina kemahiran sedia ada pada murid berdasarkan budaya yang dibawa dari rumah. Hasil pembelajaran tidak hanya berfokus pada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut berhasrat mempertahankan identiti dan warisan budaya.
 


4.3         Pedagogi Releven Budaya dengan Budaya Mengkritik
Menurut Noriati et al. (2011), dalam pendidikan, guru akan membantu murid untuk mengenal pasti, mengkritik dan menambah baik ketidaksamarataan sosial melalui pembangunan sosiopolitik dan kesedaran kritikal. Kita sebagai guru harus sedar bahawa murid diibaratkan menjalani kehidupan sebagai sebuah keluarga yang besar, berkembang, saling menyokong dan saling membantu demi mencapai kehidupan yang berjaya dan berkualiti. Dalam usaha membina sebuah komuniti akademik, guru perlu melayani kehendak dan keperluan murid yang mempunyai perasaan sepunya, menghargai perbezaan yang ada pada diri murid serta mampu mengetengahkan konsep kendiri setiap murid. Persekitaran yang terdiri daripada pelbagai budaya juga akan membantu membina pedagogi relevan budaya, dan seterusnya mewujudkan amalan demokrasi budaya serta menyediakan murid menjadi rakyat yang global dan lokal. Pendekatan ini turut akan membuka ruang kepada guru dan murid untuk menjalani aktiviti perbincangan, refleksi serta analisis identiti etnik yang akan menjurus ke arah pemupukan nilai-nilai persefahaman yang tinggi. Sesungguhnya, sebelum kejayaan akademik dan persaingan budaya, murid mestilah mengembangkan kesedaran sosio-politikal yang lebih luas dan membenarkan mereka mengkritik norma masyarakat, nilai, dan sebagainya demi mewujudkan kesamarataan sosial (Coffey, 2008; Ladson-Billings, 1995a).
 


5.0         Elemen-Elemen dalam Pedagogi Releven Budaya
Sememangnya terdapat banyak elemen yang dapat digunakan oleh guru dan menerapkannya dalam pedagogi releven budaya dalam P&P beliau. Elemen-elemen ini dikatakan dapat mencuri perhatian murid dan menarik minat mereka untuk mengikuti P&P dalam kelas. Dengan cara sebegini, pengetahuan baharu yang kita bakal mengajar juga akan dibina berdasarkan pengetahuan sedia ada dan pengalaman budaya mereka, selaras dengan teori pembelajaran konstruktivme. Kesannya, murid akan lebih berminat, lebih dapat menyerap apa yang telah diajar dan disampaikan oleh guru, melibatkan dengan dengan lebih aktif semasa P&P guru, dan dapat mengekalnya pengetahuan tersebut dengan jangka masa yang lebih panjang dalam minda mereka. Memandangkan penyerapan elemen sebegini membawa begitu banyak kebaikan kepada murid, guru haruslah mengambil kira aspek ini dan memasukkan sedikit sebanyak elemen-elemen yang berkaitan dengan kehidupan mereka semasa guru mengajar. Menurut Noriati et al (2011), antara elemen yang terkandung dalam pedagogi releven budaya termasukkan elemen adat resam, elemen kesusasteraan, elemen pemakanan, dan elemen alam sekitar. Oleh itu, kita akan mengupas elemen-elemen tersebut satu demi satu dan melihat bagaimana elemen tersebut dapat membantu murid dalam konteks akademik mereka.
 


5.1         Elemen Adat Resam dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Menurut Ibrahim et al. (2005) dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah adat dapat ditakrifkan sebagai “peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun (sejak dahulu kala) di dalam sesuatu masyarakat (sehingga ia menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi) atau cara yang sudah menjadi kebiasaan”. Sementara itu, istilah resam pula dapat didefinisikan sebagai “adat kebiasaan, aturan-aturan yang menjadi adat, pembawaan, kebiasaan, sifat, tabiat”, dan sebagainya. Tuntasnya, frasa adat resam dalam konteks pendidikan dapat kita rumuskan sebagai sesuatu yang menjadi kebiasaan kepada sesuatu kaum atau etnik.
Setiap masyarakat dan kaum akan mempunyai adat resam yang tersendiri yang akan dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Antara adat resam yang dimiliki oleh sesebuah kaum dan etnik termasuklah kepercayaan, hari perayaan, kepercayaan, pantang larang, upacara perkahwinan, ucapara menyambut kelahiran, upacara mengendalikan kematian, dan sebagainya. Memandangkan semua aspek adat resam ini adalah begitu sebati dan rapat dengan murid-murid, maka guru bolehlah menggunakan elemen adat resam ini sebagai sumber dan resos P&P beliau. Jadi, apabila seseorang guru memperkenalkan kandungan dan menyampaikan kandungan P&Pnya bertemakan adat resam, maka murid-murid didikannya pastilah akan tertarik akan penyampaian guru kerana pada murid-murid, semua yang disampaikan oleh guru adalah begitu rapat dan sudah biasa dengan kehidupan mereka. Impaknya, kita akan dapati bahawa murid-murid yang biasanya pediam dan pasif dalam bilik darjah juga akan menjadi aktif dan giat melibatkan diri, terutamanya adat resam yang disebut atau dinyatakan oleh guru adalah mengenai kaum atau masyarakat diri-sendiri.
Menyedari hakitat ini, maka guru haruslah bijak menggambil peluang ini dan mengaplikasikan elemen adat resam ini sebagai salah satu pedagogi releven budaya merentasi kurikulum. Contohnya, dalam sebuah kelas yang terdiri daripada 40 orang murid berbilang kaum, guru boleh membahagikan golongan heterogeneous ini mengikut dua cara. Cara pertama yang boleh diambil oleh guru adalah dengan membahagikan murid-murid mengikut kaum yang sama, katakanlah kumpulan Cina, Melayu, India, Iban, Bidayuh, Bumiputera, Orang Asli, dan sebagainya. Selepas setiap kaum membentuk kumpulan masing-masing, guru akan memberikan tugasan seperti:
“Dapatkan maklumat berkaitan dengan adat resam dan kepercayaan etnik masing-masing, contohnya upacara perkahwinan, upacara kelahiran, upacara kematian, dan sebagainya. Kumpulkan maklumat yang berkaitan daripada ibu bapa atau pihak yang lebih dewasa. Kemudian, bentangkan maklumat yang diperoleh di dalam kelas dan mengisi borang grafik banding beza untuk melihat persamaan dan perbezaan adat resam pelbagai etnik.”
(Noriati et al., 2011)
Oleh itu, selepas setiap kumpulan mendapatkan arahan guru, setiap kumpulan akan melaksanakan tugasan yang diamanahkan dan akhir sekali membentangkan dapatan mereka mengikut dapatan masing-masing. Menurut Noriati et al. (2011), pada akhir pembentangan, guru boleh membantu murid untuk merumuskan pelajaran dengan memasukkan nilai-nilai murni dan unsur perpaduan dalam pergulungan P&Pnya. Dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti ini, murid-murid akan bergerak secara kolaborasi untuk mengumpul maklumat, berasa bangga terhadap budaya dan adat resam mereka, berani berkongsi maklumat budaya mereka dengan kaum etnik lain, memupuk rasa kesefahaman, torelansi, dan hormat-menghormati dalam kalangan murid, lantas mewujudkan suasana persekitaran bilik darjah yang kondusif dan mesra budaya.
Berbalik kepada cara kedua, seseorang guru boleh membahagikan kelas heterogeneousnya kapada beberapa kumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Katakanlah selepas pembahagian kumpulan, sesebuah kumpulan tertentu terdiri daripada orang Cina, orang Iban, orang Melayu, dan orang India. Pada masa itu, guru akan memberikan tajuk tugasan seperti “Anda dikehendaki untuk mengumpul dan mendapatkan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti yang akan diadakan semasa menyambut perayaan-perayaan kaum serta pantang-larang dan kepercayaan yang harus diikuti sepanjang menyambut perayaan tersebut. Ringkaskan hasil dapatan dalam bentuk grafik dan kongsikan dengan ahli-ahli lain dalam kumpulan anda. ” Oleh itu, apabila seseorang murid mendapat soalan tugasan seperti ini, maka murid itu pasti akan mencuba untuk mengumpul dan mendapatkan maklumat dengan sedaya upaya kerana dia ingin mengekalkan ketinggian maruah dan identiti budaya kaumnya di depan orang lain di samping ingin menyampaikan maklumat asas yang penting mengenai perayaan yang disambutnya denga ahli-ahli kumpulan lain yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu, selepas semua ahli dalam kumpulan siap berkongsi maklumat dan informasi mengenai perayaan kaum masing-masing, guru boleh membimbing untuk membuat rumusan seperti walaupun terdapat perbezaan, tetapi persamaan tetap wujud apabila manusia sentiasa berusaha mencari keharmonian dan kebaikan dalam kehidupan mereka (Noriati et al., 2011). Akhir sekali, guru boleh meminta setiap murid untuk menulis satu refleksi berkaitan dengan aktiviti ini untuk melihat sejauh mana aktiviti ini memberikan kesan terhadap murid itu sendiri dalam konteks kepelbagaian sosiobudaya.
Secara implisitnya, kita sebagai guru dapat melihat bahawa penyerapan elemen adat resam dalam pedagogi releven budaya adalah sesuatu yang wajar dan rasional kerana ia membolehkan murid-murid menghayati kepelbagaian budaya, persamaan dan perbezaan, serta ciri-ciri yang menarik tentang sesuatu budaya (Noriati et al., 2011).
 


5.2         Elemen Kesusasteraan
Menurut Ibrahim et al. (2005) dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah kesusasteraan dapat didefinisikan sebagai “satu seni yang menggambarkan keindahan dengan bahasa (novel, sajak, dan lain-lain), karang-mengarang, persuratan, seni sastera; hasil daripada mengarang (menyajak dan lain-lain); pengetahuan dalam hal sastera; dan karya-karya yang tergolong dalam seni sastera.” Daripada definisi ini, kita dapat melihat bahawa kesusasteraan ialah hasil seni yang disampaikan melalui bahawa yang indah dan mengandungi isi atau maksud yang tidak ternilai (Noriati et al., 2011). Antara genre dan bentuk hasilan sastera yang terkandung dalam kesusasteraan termasuklah cerita rakyat, lagu rakyat, puisi (sajak), pantun, syair, gurindam, seloka, peribahasa, simpulan bahasa, bidalan, pepatah, petitih, bahasa kiasan, lukisan, lakaran, dan banyak lagi.
Sesungguhnya terdapat banyak cara bagi seseorang guru untuk menyerapkan unsur kesusasteraan ini dalam P&Pnya. Pertama sekali, guru boleh menggunakan cerita rakyat pelbagai kaum dan bangsa ketika mengajar murid-murid dalam pelbagai mata pelajaran. Contohnya, katakanlah seseorang guru ingin mengajar kosa kata dan tatabahasa bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia. Jadi, guru tersebut boleh menggunakan cerita rakyat seperti “Puteri Santubong” atau “Lagenda Mashuri”, dan sebagainya sebagai teks pemahaman P&Pnya. Untuk memudahkan murid melihat dan membaca, guru tersebut boleh mengilustrasikan cerita rakyat tersebut dalam bentuk buku besar atau menggunakan perisian komputer Mircosoft Power Point. Oleh itu, sekiranya guru tersebut berbuat begini dalam kelas Bahasa Melayunya, nescaya murid-murid akan memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada apa yang diajar oleh guru pada hari tersebut kerana mereka sudah tertarik dengan cerita rakyat yang luar biasa yang disampaikan oleh guru tersebut. Malah, nilai-nilai cerita rakyat yang terdapat pada setiap cerita rakyat juga akan mudah diterapkan pada murid sekiranya murid berminat dalam aktiviti P&P tersebut.
Selain itu, unsur kesusasteraan ini juga dapat diterapkan oleh seseorang guru sekiranya beliau ingin mengajar irama, harmoni, melodi, dan ekspresi bagi mata pelajaran muzik. Contohnya, seseorang guru muzik boleh mengguna pakai lagu-lagu rakyat Melayu seperti “Ikan Kek-Kek”, “Jong Jong Inai”, “Puteri Santubong Puteri Sejinjang”, dan sebagainya, lagu-lagu rakyat Cina seperti “Kang Di Qing Ge”, “Bu Yu Ge”, dan sebagainya, serta lagu-lagu rakyat kaum lain semasa merancang dan mengelolakan aktiviti P&Pnya. Ketika pelaksanaan P&P, guru boleh menggunakan lagu rakyat milik sesuatu etnik sebagai sumber P&P, meminta murid-murid mempersembahkan kepada rakan-rakannya yang lain, dan seterusnya, mengajak rakan-rakan di dalam kelas untuk menyanyikan lagu tersebut secara beramai-ramai. Aktiviti sebegini bukan sahaja dapat dijalankan semasa P&P di dalam bilik darjah, tetapi ia juga dapat dijalankan semasa sesi ko-kurikulum atau aktiviti kelas. Malah, lagu rakyat dalam bahasa ibunda dapat dijadikan aktiviti berbahasa seperti kemahiran menulis apabila guru meminta murid menyalinkan lirik lagu tersebut dalam bahasa Melaysia atau bahasa Cina (Noriati et al., 2011). Kemahiran lisan murid juga dapat diasah dan diperkembang apabila murid-murid menyanyi lagu rakyat tersebut atau guru meminta murid menterjemahkannya secara lisan dalam bahasa lain kepada murid-murid berbilang kaum yang lain.
Di samping itu, guru juga boleh meminta murid-murid untuk mencipta sajak, puisi, pantun, soloka, syair, dan sebagainya sekiranya seseorang guru itu berhasrat untuk menerapkan unsur kesusasteraan dalam pedagogi releven budaya bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia. Selepas murid mencipta hasil nukilan mereka, guru bolehlah meminta mereka mendeklemasikan hasil karya mereka di hadapan rakan-rakan yang lain sambil memainkan lagu-lagu rakyat sebagi latar belakang suara hasil karya mereka. Menerusi aktiviti sebegini, murid-murid akan lebih mudah menguasai sesuatu bahasa dan merasai bahawa mereka dapat mengekalkan identiti budaya mereka di samping memupuk rasa kebanggaan terhadap warisan kesusasteraan mereka.
Kesimpulannya, hasil kesusasteraan yang dimiliki oleh pelbagai etnik dalam kalangan murid dapat membantu guru semasa melaksanakan pedagogi releven budaya (Noriati et al., 2011).
 


5.3         Elemen Pemakanan
Menurut Ibrahim et al. (2005) dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah makanan bermaksud “apa-apa sahaja yang boleh dimakan (seperti nasi, roti, dan lain-lain)”; “rezeki”, dan sebagainya. Malaysia pernah dipuji kerana memiliki pelbagai jenis makanan yang datang daripada pelbagai etniknya (Noriati et al., 2011). Sesungguhnya, kita sebagai guru harus sedar bahawa di Malaysia, setiap kaum etnik memiliki masakan dan amalan permakanan yang tersendiri. Oleh itu, elemen pemakanan pelbagai etnik untuk dijadikan bahan dan sumber boleh digunakan oleh guru dalam P&P berlandaskan pedagogi releven budaya.
Terdapat banyak aktivti yang melibatkan elemen pemakanan boleh digunakan oleh guru semasa merancang P&Pnya. Sebagai contoh, Noriati et al. (2011) mencadangkan bahawa “murid daripada sesuatu etnik diminta membuat pembentangan tentang peraturan atau etiket makan etnik masing-masing. Daripada pembentangannya, guru dan murid akan dapat membuat satu rumusan yang menyatukan semua etiket tersebut sebagai perlakuan yang tertib dan santun ketika menghadapi hidangan.”
Selain itu, semasa menjalankan aktiviti, guru juga boleh membahagikan kelas heterogeneousnya kepada beberapa kumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Dalam sesebuah kumpulan yang terdiri daripada orang Cina, orang Melayu, orang Asli, dan sebagainya, setiap orang dikehendaki untuk berkongsi maklumat dan mengadakan perbincangan mengenai makanan tradisional kaum etnik masing-masing. Daripada perbincangan, murid-murid dikehendaki untuk mencatat perkara penting dan memilih sejenis makanan yang paling digemari olehnya. Akhir sekali, murid tersebut dikehendaki untuk mendapat ramuan dan resepi makanan tradisional tersebut, sama ada bertanya kepada orang-orang tua atau mencari maklumat menerusi Internet. Selepas semua ahli dalam kumpulan siap berkongsi maklumat dan informasi mengenai perayaan kaum masing-masing, guru boleh membimbing untuk membuat rumusan seperti seperti kebaikan-kebaikan sesetengah ramuan atau bahan yang terkandung dalam makanan tradisional tersebut mengikut kepercayaan setiap etnik (Noriati et. al., 2011). Akhir sekali, guru boleh meminta setiap murid untuk menulis satu refleksi berkaitan dengan aktiviti ini untuk melihat sejauh mana aktiviti ini memberikan kesan terhadap murid itu sendiri dalam konteks kepelbagaian sosiobudaya.
Pendek kata, elemen pemakanan dalam pedagogi releven budaya adalah sesuatu yang dapat menarik perhatian murid dan boleh dijalankan oleh guru-guru kerana setiap kumpulan etnik tidak dapat berpisah dengan makanan dalam kehidupan seharian mereka. Masakan pelbagai etnik menyajikan pelbagai juadah istimewa yang unik merupakan suatu keistimewaan bagi Malaysia yang harus dihargai dan dikekalkan oleh seluruh rakyat Malaysia.
 


5.4         Elemen Alam Sekitar
Menurut Ibrahim et al. (2005) dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah alam dapat dilihat sebagai “bumi dan segala yang terdapat di permukaannya; segala yang ada di langit dan di bumi”. Maka alam sekitar dapat ditakrifkan sebagainya keadaan alam di sekeliling kita. Sesungguhnya manusia telah lama bersahabat dengan alam sekitar. Oleh itu, elemen alam sekitar merupakan antara elemen yang terbaik untuk digunakan dalam pedagogi relevan budaya. Guru boleh menggunakan sumber alam sekitar untuk menghubungkan pengetahuan murid di rumah dengan pembelajaran di bilik darjah.
Menurut Noriati et al., (2011), terdapat banyak cara bagi seseorang guru untuk menyerapkan elemen alam sekitar dalam P&Pnya. Pertama sekali, guru boleh meminta murid-murid untuk menulis kepercayaan masyarakat setempat terhadap persekitaran kampung atau tempat tinggal mereka, Contoh kepercayaan masyarakat terhadap gunung- ganang, tasik, sungai, pokok, gua dan batu besar. Dalam usaha menyiapkan kerja rumah ini, murid boleh mendapatkan bantuan daripada golongan dewasa seperti ibu bapa atau nenek untuk mendapatkan maklumat. Guru pula boleh memainkan peranan dengan mengaitkan kejadian alam sekitar dengan aspek geografi dan kebesaran Tuhan di samping menanam kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kalangan murid.
Selain itu, guru-guru juga boleh memainkan lagu-lagu yang berkaitan dan memuji keindahan alam persekitaran di kampung mereka dan menyanyikan lagu tersebut dalam bahasa ibunda masing-masing. Sementara itu, keindahan kampung masing-masing juga boleh diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan atau penulisan puisi. Oleh itu, guru boleh meminta murid-murid melukis gambar pemandangan atau mencipta sajak berdasarkan kampung mereka atau apa-apa pemandangan alam sekitar yang disukai.
Setiap lokasi, kawasan dan tempat tinggal di persekitaran kita mesti mempunyai pemandangan yang menarik. Oleh itu, guru boleh meminta murid untuk membuat brosur untuk mempromosikan lokasi yang menarik pelancong untuk berkunjung ke tempat tersebut.
Di samping itu, guru-guru juga boleh meminta murid-murid mereka untuk mengumpul dan menyenaraikan tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok herba yang terdapat di sekeliling mereka. Seterusnya guru boleh meminta murid untuk mendapatkan maklumat tentang kegunaan tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok herba ini mengikut kepercayaan etnik masing-masing.
Tuntasnya, elemen alam sekitar merupakan satu elemen yang amat senang untuk diterapkan dalam P&P guru berlandaskan pedagogi releven budaya kerana ia sentiasa berada di sekeliling kita. Oleh itu, guru perlulah kreatif dan inovatif semasa merancang dan mereka aktiviti supaya murid-murid kita dapat memperoleh atau mendapat kebaikan pada tahap yang paling maksima dan optimum.




6.0         Usaha-Usaha Memupuk Hubungan Etnik antara Masyarakat Malaysia
Sebagai seorang guru, kita harus sentiasa memikirkan bahawa bagaimana kita dapat memupuk hubungan etnik antara masyarakat Malaysia supaya dapat membina negara yang harmoni. Oran (2009) telah mencadangkan beberapa usaha untuk memupuk hubungan etnik antara masyarakat Malaysia dari perspektif pendidikan dan P&P seseorang guru. Antara cadangannya termasuklah mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam P&P, mengurus bilik darjah secara efektif dari perspektif budaya, dan memupuk budaya penyayang, toleransi dan hormat-menghormati. Antara cara lain yang mampu menyumbang kepada tujuan yang sama termasuklah penerimaan budaya, mengadakan rumah-rumah terbuka ketika hari perayaan, dan menyertai program Rukun Tetangga.

6.1         Mempelbagaikan Kaedah dan Teknik dalam P&P
Guru yang mengelolakan pedagogi dalam bilik darjah pelbagai budaya harus melihat pengajaran sebagai “an art rather than a science” supaya guru-guru akan berfikiran kreatif dan dapat menyesuaikan diri dengan murid pelbagai budaya (Noriati et al., 2009). Dalam konteks pendidikan, terdapat pelbagai stratagi, kaedah, teknik, dan pedagogi yang releven untuk diamalkan dalam pelbagai kelompok murid. Antaranya termasuklah kaedah kolaboratif dan koperatif, direktif, mediatif, generatif, kontekstual, metakognitif, konteks luar (kajian luar), kajian masa depan, penemuan, projek, penggunaan bahan bacaan, pembelajaran berasaskan komputer, dan banyak lagi (Noriati et al., 2009; Syed & Ahmad, 2010).
Contohnya dalam kaedah pembelajaran kolaboratif dan koperatif, guru akan menggalakkan murid berbincang dan sesi buzz melibatkan ahli-ahli kumpulan pelbagai budaya akan dijalankan. Katakanlah dalam sesuatu kumpulan perbincangan, ahli kumpulannya terdiri daripada Ali, Bakarcandran, dan Chong. Mereka digalakkan untuk berinteraksi dan bekerjasama dalam suasana hormat-menghormati. Sesi pembentangan yang dijalankan oleh mereka juga mempamerkan semangat pasukan dan setiakawan. Semasa pembentangan, guru perlu memudahcara cetusan idea ahli kumpulan dan memberikan penghargaan secara kolektif melambangkan harmoni sesebuah kumpulan pelbagai etnik (Noriati et al., 2009). Maka dengan cara sebegini ia dapat memupuk hubungan etnik yang harmoni menerusi kegiatan murid-murid pelbagai kaum etnik di sekolah dalam usaha membentuk masyarakat yang aman damai.

6.2         Mengurus Bilik Darjah Secara Efektif dari Perspektif Budaya
Menurut Noriati et al. (2011), pengurusan bilik darjah secara efektif dapat dibahagikan kepada dua aspek, iaitu pengurusan sumber P&P yang mesra budaya, dan susun atur bilik darjahnya dalam usaha memupuk hubungan etnik antara masyarakat Malaysia. Pertama sekali, seseorang guru harus sensitif dan memberikan tumpuan terhadap pemilihan bahan sumber untuk aktiviti P&P dalam memastikan setiap murid pelbagai etnik dapat belajar dalam suasana yang menyeronokkan. Guru sepatutnya meraih peluang dalam mempelbagaikan sumber P&Pnya melalui pelbagai budaya dan etnik muridnya. Oleh tu, semasa merancang aktivti, seseorang guru haruslah memilih bahan dan sumber pembelajaran yang menonjolkan kepentingan hubungan etnik tanpa mengira kaum dan perbezaan etnik. Guru boleh memilih sumber yang paling sesuai untuk memupuk perpaduan antara etnik melalui penggunaan sumber yang sesuai seperti melalui cerita, lagu, klip, video, dan foto.
Sementara itu, susun atur bilik darjah pula akan melibatkan susunan kerusi meja tempat duduk murid. Hubungan etnik akan wujud apabila murid ditempatkan di tempat duduk yang dikelilingi oleh rakan-rakan daripada pelbagai etnik. Hal ini demikian kerana murid-murid akan berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Maka daripada perbualan dan pertuturan, hubungan etnik yang kukuh akan dapat dipupuk kerana mereka akan mempelajari budaya dan adat resam kaum etnik lain, dan seterusnya menerima, menghormati, dan bertoleransi dengan mereka.

6.3         Memupuk Budaya Penyayang, Toleransi dan Hormat-Menghormati
Dalam usaha memupuk hubungan etnik antara masyarakat Malaysia supaya dapat membina negara yang harmoni , guru perlu berfungsi sebagai penggalak kepada budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid selaras dengan agenda negara dalam menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) (“Guru Penggalak Inovasi, Kreativiti”, 2011). Oleh itu, guru haruslah berupaya untuk memupuk budaya penyayang, toleransi, dan hormat-menghormati di sekolah agar hubungan etnik antara masyarakat Malaysia akan dapat diwujudkan. Menurut Weinstein et al. (2003) menerusi Oran (2009), apabila guru dan murid berasal dari latar belakang yang pelbagai dan berbeza, hubungan yang saling menghormati adalah amat penting. Perkara ini perlu disedari oleh semua guru dan guru perlu mencari pendekatan mendekatkan murid dengan budaya penyayang, toleransi, dan hormat-menghormati dan mengamalkan Rukun Negara dengan penuh penghayatan. Guru juga perlu menetapkan beberapa peraturan asas semasa murid-murid berada dan bergaul di dalam bilik darjah seperti tidak boleh bergaduh, tidak boleh berlawan, tidak boleh bertumbuk, berbincang dengan batasan tertentu, dan sebagainya. Semua peraturan yang ditetapkan haruslah diketahui dan disetujui oleh murid-murid kelas tersebut. Apabila guru telah berjaya mencipta sesuatu persekitaran yang mesra budaya, penyayang, dan toleransi, setiap murid akan menghargai keadaan tersebut dan berusaha untuk mengekalkannya. Kesannya, hubungan etnik antara masyarakat Malaysia pasti akan dapat dibentuk dan dikekalkan.

6.4         Penerimaan Budaya
Belakangan ini, keadaan penerimaan budaya dapat dirasai dan dilihat di mana-mana sahaja. Hal ini terbukti apabila masyarakat bukan Melayu telah mula menerima budaya orang Melayu dari segi pakaian dan makanan (Mansor, Abdul & Mohammad, 2006). Sebagai contoh, orang bukan Melayu segak menggayakan baju kurung atau baju Melayu terutamanya pada hari-hari perayaan dan fenomena ini merupakan seuatu yang biasa bagi orang bukan Melayu. Bagi orang Melayu pula, mereka mula menerima masakan Cina dan India serta pemberian duit raya telah menggunakan sampul atau angpau yang terkenal dalam kalangan orang Cina. Dewasa ini juga telah kelihatan di taman-taman perumahan, terdapatnya penempatan yang sama untuk semua etnik yang pastinya keadaan ini akan menggalakkan lagi gubungan etnik dalam kalangan rakyat melalui aktiviti setempat.

6.5         Mengadakan Rumah-Rumah Terbuka ketika Perayaan
Menurut Mansor et al. (2006), rumah terbuka akan diadakan oleh setiap rakyat Malaysia apabila tiba musim perayaan. Setiap golongan etnik di Malaysia akan sering kunjung-mengunjungi ke rumah jiran tetangga walaupun berlainan etnik. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, etnik Cina, India, Kadazan, Iban, dan sebagainya akan mengunjungi ke rumah Melayu. Selain itu, semasa perayaan Tahun Baharu Cina, etnik Cina akan berusaha untuk menyediakan makanan yang halal kepada etnik Melayu apabila menjemput etnik Melayu datang ke rumahnya. Hal ini menunjukkan etnik Cina begitu mengambil berat dan memahami budaya Melayu. Pertimbangan ini memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa terjalin kukuh dalam kalangan rakyat dan memahami serta menghormati budaya masing-masing. Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Mohamad Izwan Mohd. Isa (2013), dengan penganjuran rumah terbuka Malaysia (Krismas), hubungan baik antara masyarakat di negara ini dapat dieratkan, sekali gus memupuk semangat cintakan negara. Lantas, amalan ini membuktikan integrasi sosial dan hubungan etnik dalam kalangan masyarakat adalah begitu tinggi walaupun berlainan agama, bangsa, dan kebudayaan.

6.6         Menyertai Program Rukun Tetangga
Menurut Mansor et al. (2006), Skim Rukun Tetangga telah diperkenalkan pada tahun 1975 dengan kuat kuasanya Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga 1975). Pada peringkat awal, Rukun Tetangga membolehkan rakyat mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing. Namun, selepas itu, perubahan dan pembaharuan telah berlaku dengan memberikan penekanan kepada konsep kejiranan yang bertujuan untuk memupuk serta mengukuhkan lagi semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Kini, Rukun Tetangga telah dipinda sekali lagi dengan memberikan mandat yang lebih luas, iaitu pembangunan masyarakat secara menyeluruh ke arah mewujudkan hubungan etnik yang menebal dalam kalangan pelbagai kaum. Misi Rukun Tetangga adalah untuk membantu dalam pembentukan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu, manakala misinya ialah memupuk kesefahaman dan bertolak ansur ke arah pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu padu serta berindentiti sendiri dengan mottonya Bersatu Terus Maju.
Pelbagai aktiviti yang berbentuk sosial, pendidikan, sukan, rekreasi, kesihatan, kebajikan, agama, kesenian, ekonomi, dan keselamatan telah diadakan oleh komuniti Rukun Tetangga demi mewujudkan hubungan etnik yang menebal dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, memelihara, meningkat, dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar pembangunan negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Penganjuran aktiviti-aktiviti ini juga bertujuan untuk membolehkan pendidik setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan pada peringkat akar umbi pemimpin dengan rakyat dan antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya, lantas dapat memupuk hubungan etnik antara masyarakat Malaysia supaya dapat membina negara yang harmoni.



7.0         Kesimpulan
Secara keseluruhannya, pedagogi releven budaya merupakan satu kaedah pendekatan yang amat komprehensif dan sesuai diamalkan oleh pendidik-pendidik di sekolah. Pedagogi ini mula-mula diperkenalkan oleh Gloria Ladson-Billings pada tahun 1992 dan dikembangkan oleh pakar-pakar pendidikan yang lain. Pedagogi ini diperkenalkan berdasarkan tujuan tertentu dan membawa kepentingan yang tidak ternilai kepada pendidik dan murid. Terdapat tiga kriteria yang telah diutarakan menerusi pedagogi tersebut, iaitu kejayaan akademik, persaingan budaya, dan budaya mengkritik. Antara elemen yang terdapat dalam pedagogi releven budaya termasuklah elemen adat resam, kesusasteraan, pemakanan, dan alam sekitar. Demi memupuk hubungan etnik antara masyarakat Malaysia, pelbagai langkah dari perspektif pendidikan dan P&P telah dicadangkan di samping langkah-langkah umum yang biasanya kita akan laksanakan. Tuntasnya pedagogi releven budaya merupakan salah satu pendekatan yang sangat releven yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam menjamin keberkesanan P&P yang melayan pelbagai etnik.

8.0         Senarai Rujukan
Choong, L. K. (2008). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia Untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah 4 Tahun. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Coffey, H. (2008). Culturally Relevant Teaching. Didapatkan pada Februari 27, 2013, daripada http://www.learnnc.org/lp/pages/4474
Gay, G. (2002). Preparing For Culturally Responsive Teaching. Journal of Teacher Education, 53(106), 106-116. Didapatkan pada Februari 27, 2013, daripada http://mrc.spps.org/uploads/preparing_for_crt-_geneva_gay-2.pdf
Guru penggalak inovasi, kreativiti.  (2011, Mac 17). Berita Harian. Didapatkan pada Februari 27, 2013, daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gurupenggalakinovasi_kreativiti/Article/
Gutiérrez, K. D & Rogof, B. (2003). Cultural Ways of Learning: Individual Traits or Repertoires of Practice. Educational Researcher, 32(5), 19-25. Didapatkan pada Februari 27, 2013, daripada http://www.unco.edu/cebs/diversity/pdfs/Cultural%20Ways%20of%20Learning_%20Individual%20Traits%20or%20Repertoires%20of%20PRactice_Gutierrez_Rogoff.pdf
Ibrahim bin Hj. Ahmad, Azizah bt Surpadi, Saidah bt Kamin, Hajah Aziah bt. Tajudin, Salmah bt. Mohd Khalid, Rodziah bt. Abdullah. (2005). Kamus Dewan Edisi Keempat. Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Bahasa.
Ladson-Billings, G. (1995a). But That's Just Good Teaching! The Case for Culturally Relevant Pedagogy. Theory Into Practice, 34 (3), 159-165.  Didapatkan pada Februari 27, 2013, daripada http://www.tolerance.org/tdsi/sites/tolerance.org.tdsi/files/assets/general/Ladson-Billings_PDF.pdf
Ladson-Billings, G. (1995b). Toward a Theory of Calturally Relavent Pedagogy. American Educational Research Journal, 32(3), 465-491. Didapatkan pada Februari 27, 2013, daripada http://lmcreadinglist.pbworks.com/f/Ladson-Billings+(1995).pdf
Mansor Mohd. Noor, Abdul Rahman Abdul Aziz, & Mohamad Ainuddin Iskandar Lee. (2006). Hubungan Etnik di Malaysia. Selangor Darul Ehsan: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Malaysia diiktiraf model terbaik.  (2010, Ogos 14). Kosmo. Didapatkan pada Februari 27, 2013, daripada http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0814&pub=kosmo&sec=Terkini&pg=bt_08.htm
Muhammad Izwan Mohd. Isa. (2013, Januari 2). Rumah Terbuka Malaysia Krismas eratkan perpaduan. Kosmo. Didapatkan pada Februari 27, 2013, daripada http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0102&pub=kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm
Noriati bt  A. Rashid, Boon, P. Y., Jamilah  Ismail, Zuraidah A. Majid, Lee, T. H. & Raymond  Mohanraj  Paul. (2009). Modul Pengajian Profesional EDU3106 Budaya Dalam Pembelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Noriati A. Rashid, Boon, P. Y., Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, & Zuraidah A. Majid. (2011). Budaya dan Pembelajaran. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Oran, G. (2009). Culturally Relevant Pedagogy. Didapatkan pada Februari 27, 2013, daripada http://www.education.com/reference/article/culturally-relevant-pedagogy/
Syed Ismail Bin Syed Mustapa & Ahmad Subki Bin Maskon. (2010). Budaya dan Pembelajaran. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.


No comments:

Post a Comment