Bersyukur kepada Tuhan kerana saya telah mengikut semua
aktiviti semasa kursus Bina Insan Guru (BIG) yang telah dilaksanakan di Kem
Alapong, Lundu pada 18 April hingga 21 April 2011 yang lalu. Kursus BIG ini
sebenarnya merupakan fobia bagi saya selama semester ini memandangkan majoriti
kursus BIG ini adalah terdiri daripada aktiviti-aktiviti lasak yang sekaligus
menguji ketahanan mental dan fizikal saya. Saya begitu bersyukur dan sangat
gembira kerana saya dapat bertahan sehinggalah BIG ini berakhir selepas 4 hari
3 malam. Banyak pengalaman, kebaikan, dan manfaat yang telah saya dapat dan
perolehi daripada aktiviti ini.
Pertama sekali, saya sedar bahawa pengurusan masa adalah amat penting demi memastikan segala aktiviti
yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dengan masa yang telah ditetapkan.
Hal ini penting kerana sekiranya sesuatu aktiviti telah bertangguh atau
tergendala, ianya pasti akan menjejaskan atur cara atau aktiviti yang
seterusnya. Kesannya, semua perkara terpaksa dijalankan dengan kadar yang lebih
cepat dan menyebabkan kami menghadapi kekurangan masa bagi sesuatu sesi atau
slot aktiviti. Sepanjang BIG ini, saya sentiasa patuh akan masa dan menasihati
atau memberitahu akan rakan yang lain supaya membuat kerja mengikut masa yang
telah ditetapkan. Sebagai contoh, kami dikehendaki berada di Dewan Serbaguna 10
minit lebih awal bagi aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) seperti yang telah
diamanahkan oleh Puan Rojiah. Oleh itu, apabila kami terdengar bunyi wisel yang
menandakan tiba masanya untuk pergi ke dewan, kami akan terus melepaskan segala
kerja dan tugasan yang kami sedang buat dan pergi ke dewan bagi memastikan
kelancaran sesuatu aktiviti. Pendek kata, saya berpendapat bahawa sikap
menepati masa haruslah dipupuk dari semasa ke semasa bagi memastikan sesuatu
aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar.
Selain itu, kursus BIG ini juga berjaya membina keperibadian saya yang sempurna,
seperti memupuk sikap keterbukaan, toleransi, kerjasama, tolong-menolong,
kerajinan, kesabaran, ketabahan, dan sebagainya dalam diri saya. Hal ini
demikian kerana sepanjang 4 hari dan 3 malam ini, saya dan juga rakan-rakan
yang lain terpaksa melakukan banyak perkara yang tidak pernah saya lakukan
dalam seumur hidup saya, seperti mendirikan gajet, memasang rakit, berakit,
menghidupkan api dan memasak di hutan rimba dan di tepi pantai, dan banyak
lagi. Saya sedar bahawa tanpa nilai-nilai yang saya perkatakan di atas, semua itu mustahil dapat dilaksanakan dan dilakukan. Malah
daripada BIG ini, saya sedar bahawa kerjasama
yang sepenuh dan koheren dalam kalangan ahli kumpulan adalah penting demi
menyiapkan sesuatu tugasan tepat pada masanya. Oleh itu, kursus BIG ini
telah berjaya memupuk nilai-nilai moral yang baik dalam diri saya, membina
modal insan yang lebih sempurna dan menjadikan saya seorang yang lebih baik
dalam semua aspek.
Di
samping itu, kursus BIG ini juga merupakan satu media untuk membolehkan saya memahami akan diri saya
dengan lebih mendalam lagi. Iktibar dan kesedaran ini telah saya peroleh
sepanjang saya menghadiri dan menyertai aktiviti LDK yang diadakan pada setiap
pagi dan malam sepanjang kursus tersebut dijalankan. Dalam LDK tersebut, kami
telah diminta membuat beberapa kajian soal selidik seperti Soal Selidik Minat
Kerjaya (Self-Directed-Search/SDS), Inventori Pengurusan Konflik, What Motivates You?, dan Self Esteem Test. Daripada
aktiviti-aktiviti soal selidik yang telah saya jalankan, saya dapat memahami
diri saya dengan lebih mendalam lagi. Bagi Soal Selidik Minat Kerjaya, saya
sedar bahawa ciri social adalah amat
penting sekali bagi pekerjaan sebagai seorang guru kerana kita sentiasa
berhadapan dan dengan murid dan mendidik mereka. Sekiranya kita tidak suka
bersosial ataupan berurusan dengan orang lain, maka adalah sukar bagi kita
sekiranya kita ingin menjalankan tugas kita dengan baik. Dan sudah tentu
ciri-ciri yang lain, seperti artistic,
investigative, reality, dan sebagainya juga adalah amat penting sebagai
pelengkap bagi pekerjaaan kita sebagai seorang guru. Bagi Inventori Pengurusan
Konflik pula, saya bersyukur kerana selepas menjalani inventori tersebut, saya
merupakan salah seorang yang berada pada kategori yang normal. Namun, ini
menyedarkan saya supaya sentiasa berwaspada dan mengambil berat tentang
perasaan dan pengurusan konflik saya demi menjadikan saya seorang yang lebih
sempurna dan seimbang dari semua aspek. Malah, untuk soal selidik What Motivates You pula, saya sedar bahawa kerjaya yang menyeronokkan,
melakukan kerja yang bermanfaat dan cabaran tugas/ kerja merupakan antara 3
aspek yang harus menjadi prioriti dan keutamaan dalam memilih pekerjaan
berbanding dengan aspek-aspek yang lain seperti cuti, ganjaran, gaji, jaminan
masa hadapan dan sebagainya. Kajian soal selidik dan aktiviti ini penting bagi
saya kerana ia telah meningkatkan
semangat saya untuk menjadi seorang guru yang bertanggungjawab, berdedikasi,
dan bersentiasa berpusatkan murid dalam melakukan semua perkara.
Malah,
saya juga sedar bahawa mematuhi
peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan adalah amat penting. Hal
ini demikian untuk memastikan keselamatan kita terjamin dan demi mengelakkan
sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, saya pelajari bahawa
kita haruslah mematuhi semua peraturan dan undang-undang kerana setiap
peraturan yang ditetapkan mempunyai kewajaran dan rasionalnya. Contohnya,
apabila kami mula sampai ke Kem Alapong, kami telah diberi taklimat ringkas
oleh Encik Micheal Tarang Jelaming, Penyelaras Kursus BIG ini tentang peraturan
dan undang-undang yang harus dipatuhi sepanjang 4 hari 3 malam ini. Dalam
taklimatnya, beliau telah menegaskan tentang aspek pengangkutan, pakaian,
kawasan larangan, pergerakan, kebersihan, bilik air, menepati masa, tempat
makan, adab makan, keselamatan, kecemasan, tazkirah, dan sebagainya. Begitu
juga untuk setiap aktiviti, seperti aktiviti air dan aktiviti darat, arahan dan
peraturan telah dijelaskan terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang
aktiviti. Pada pengamatan saya, ini penting, khususnya semasa di aktiviti air
kerana saya tidak tahu berenang dan dengan peraturan dan arahan yang dibagi
akan memastikan saya sentiasa selamat dan tidak berada dalam keadaan yang
membahayakan. Oleh itu, bersyukur kerana dengan arahan jelas yang diberi, saya
dapat selamat menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.
Saya
juga sedar bahawa kita haruslah bertanggungjawab
dalam semua perkara yang telah diamanahkan kepada kita. Hal ini demikian
kerana kami akan bertukar peranan ataupun jawatan berselang 6 jam secara bergilir-gilir.
Antara jawatan yang telah saya sandangkan sepanjang 4 hari 3 malam ini
termasuklah ketua, penolong ketua, setiausaha, Quarters Master (QM) makanan, QM peralatan, penolong QM makanan,
penolong QM peralatan dan sebagainya. Malah, setiap orang berpeluang menyandang
jawatan tersebut dan merasai kesenangan dan kesusahan jawatan tersebut,
memandangkan setiap jawatan mempunyai tugasannya yang tersendiri. Namun, saya
sentiasa berwaspada, bertanggungjawab, berhati-hati dalam setiap tugasan yang
diamanahkan kepada saya. Pendek kata, BIG ini telah melatih saya untuk menjadi
seorang yang tidak mudah pecah amanah dan melakukan yang terbaik dalam semua
perkara.
Saya
turut dapat memahami tentang flora dan
fauna serta lautan dengan lebih mendalam melalui BIG ini. Semasa melakukan
aktivti darat, iaitu kembara ke hutan rimba, kami telah dibahagikan tugasan
untuk menyiapkan lembaran kerja eksplorasi flora dan fauna. Kami dikehendaki
untuk memerhatikan flora dan fauna sepanjang kami memasuki ke hutan rimba di
Lundu dengan berjalan kaki dari tempat perkhemahan. Selain itu, kami
dikehendaki untuk mencatatkan ciri-ciri flora dan fauna tersebut dan dan
menerangkan fungsinya. Oleh itu, saya berpeluang untuk melihat banyak haiwan
dan tumbuhan yang tidak pernah saya lihat selama ini dan mendapat banyak
pendedahan dan pengetahuan tentang flora dan fauna yang telah dibentang dan
dikongsikan pengalaman bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Sementara
aktiviti berakit di laut semasa aktiviti air merupakan sesuatu yang baharu kepada
saya kerana ia merupakan kali pertama saya berakit di laut. Saya berpeluang
untuk mendekati lautan dan merasai keunikan alam sekitar. Saya turut merasai
kesukaran menghidupkan api dan memasak di hutan rimba dan juga di persisiran
pantai. Semua ini adalah sebagai persiapan kepada saya selepas menamatkan
pengajian sekiranya saya ditempatkan di tempat pedalaman. Walaupun agak susah
dan penat, tetapi ia telah membakar
semangat saya untuk tabah meneruskan kehidupan dan lebih memahami hutan rimba
dan lautan.
Di
samping itu, saya berpendapat bahawa kursus
BIG ini mampu mencungkil bakat dan potensi yang sekian terpendam dalam diri
seseorang. Sebagai contoh, saya baru perasan bahawa saya mempunyai bakat
untuk menyanyi selepas menghadiri kursus ini apabila saya dikehendaki untuk
mewakili kumpulan saya dalam pertandingan karaoke solo pada malam persembahan.
Selain itu, semasa sesi pembentangan pada slot moral, saya juga berpeluang
untuk membentang salah satu bahagian pada hari yang ketiga, iaitu mengenai
langkah-langkah untuk mengatasi masalah ponteng sekolah. Dari situ, bakat
membentang dan juga berdebat dengan pendapat kumpulan-kumpulan lain dapat
terbentuk. Malah, saya perhatikan sebenarnya terdapat banyak orang yang mahir
memasak dalam kumpulan kami. Saya bersyukur kerana dengan bakat dan potensi
memasak yang ada dalam kalangan ahli kumpulan saya, kumpulan kami telah berjaya
meraih tempat kedua dalam pertandingan memasak. Jadi, saya berpendapat bahawa
BIG membolehkan setiap orang melihat kebolehan, bakat dan potensi sendiri yang
tidak perasan selama ini dan dari situlah seseorang itu akan berusaha untuk
mengasah dan meningkatkan kebolehan dan bakat masing-masing.
Lantas,
saya percaya dan berpegang kuat kepada prinsip kita haruslah berani mencuba sesuatu yang baharu dan tidak mengalah
kalah sehingga kita mencuba dengan sedaya upaya. Sebagai contoh, kumpulan
kami, iaitu kumpulan 4 dikehendaki mempersembahkan persembahan dikir barat
untuk malam persembahan tersebut. Walaupun tidak ada orang dalam kalangan kami
yang pandai dikir barat, namun kami tetap mencuba dengan menggunakan kaedah dan
cara yang tersendiri. Berkat hasil daripada usaha dan kerjasama setiap ahli
kumpulan, kami berjaya mempersembahkannya dengan agak berjaya dan mendapat
tempat kedua pada malam persembahan tersebut. Jadi, ini jelas membuktikan
bahawa semua perkara akan berhasil dan
menampakkan kejayaan sekirannya kita berusaha gigih dan mempunyai iltizam untuk
membuat perkara tersebut.
Saya
juga telah mendapat satu pengajaran yang sangat bermakna melalui BIG ini, iaitu
bersosial dengan orang lain akan
memudahkan kita dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana kita sebagai
manusia tidak dapat hidup tanpa kawan, memandangkan manusia adalah golongan
yang hidup berkumpulan, berorganisasi, dan bersosial. Dengan kata lain, kita
perlu berinteraksi dengan orang lain. Dengan cara komunikasi yang sesuai, kita
akan mendapat banyak kawan yang dapat berkongsi masalah dan mendapatkan bantuan
yang dapat membantu kita menyelesaikan masalah kita. Dengan mengambil contoh BIG
ini, saya telah berjaya mendapatkan banyak bantuan daripada rakan sekelas dan
juga rakan dari kumpulan yang lain dengan berkenalan dan berkomunikasi dengan
mereka, sama ada semasa memasak, mendirikan bendera, memasang khemah, membina
gajet, menhidupkan api, terlibatan dalam kawalan sentri, dan sebagainya. Tanpa
bantuan daripada rakan yang lain, adalah mustahil saya dapat melaksanakan semua
ini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa sosial yang aktif adalah sangat penting
bagi memastikan kita dapat bergaul dan berkomunikasi dengan orang lain dengan
baik. Kursus ini juga secara langsung merapatkan
hubungan silaturahim sesama rakan sekelas dan juga rakan-rakan juga kumpulan
yang lain. Semua ini tidak dapat saya pelajari jika tidak menjalankan BIG
pada semester ini.
Terdapat
beberapa kelemahan pada diri saya yang telah saya perasan dan sedar sepanjang
saya menjalankan BIG ini. Antaranya termasuklah saya tidak mempunyai keyakinan
yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya, sebelum menjalankan BIG
ini, saya telah dimaklumkan bahawa mewakili kumpulan kami untuk menyertai
pertandingan karaoke solo pada malam persembahan. Pada mulanya saya amat
menolak dan tidak mahu kerana takut akan menjatuhkan air muka. Namun atas
dorongan dan sokongan dari ahli kumpulan dan juga rakan sekelas, saya telah
mengambil keputusan untuk menyanyi. Begitu juga semasa aktiviti air dan
aktiviti water confident, sebenarnya
saya takut untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut kerana saya fobia akan
air dan tidak pandai berenang. Malah, saya juga berasa takut melakukan aktiviti
abseiling kerana saya gayat tinggi. Namun dengan bantuan rakan yang sama
kumpulan dan sekelas,saya telah berjaya menjalankan semua aktiviti yang
dirancang oleh pihak institut dengan lancar dan berjaya. Jadi, selepas BIG ini,
saya dapati keyakinan saya meningkat dan
sentiasa berasa berkeyakinan diri dalam melakukan semua perkara.
Selain
itu, saya juga mendapati bahawa saya agak
lemah dari segi mental dan fizikal. Dari segi mental, dahulu saya sering
mengambil alternatif mudah dengan memutus asa apabila berhadapan dengan masalah
yang meruncingkan. Saya juga tidak begitu kuat dalam konteks melakukan
aktiviti-aktiviti fizikal seperti dalam berlari, memasang khemah, mamasang
rakit, berakit, dan sebagainya. Saya sedar bahawa semua aktiviti yang dirancang
dalam BIG adalah bertujuan untuk memupuk,
menguji, dan meningkatkan ketabahan dan keberanian diri sebagai seorang guru
melalui semua aktivti tersebut. Mengetahui kelemahan saya itu sekarang,
jadi saya bertekad menjadi seorang yang sentiasa sihat dan kuat dari aspek
mental dan fizikal. Saya juga akan sentiasa melatih dan meningkatkan aspek fizikal dan mental saya, seperti
bersenam pada masa lapang, membaca buku-buku motivasi, sentiasa berbual-bual
dan mendapatkan nasihat yang berguna dan padat dengan senior ataupun guru
pensyarah saya. Nescaya selepas menjalani BIG ini dan mempraktikkan semua
langkah yang telah saya cadangkan di atas, saya akan menjadi seorang yang cerdas dan cergas pada masa yang akan datang.
Bagi
cara-cara penambahbaikan pula, pada pendapat saya, program BIG ini akan menjadi
lebih menarik jika sesetengah slot dan
sesi diisi dengan aktiviti-aktiviti IQ yang mencabar, seperti stesen games,
dilemma konflik, main peranan, dan sebagainya. Permainan berbentuk stesen games merupakan salah satu
cadangan yang sangat digalakkan. Dalam stesen
games, setiap kumpulan haruslah menyelesaikan tugasan yang diberikan dalam
setiap stesen, sama ada berbentuk fizikal atau mental. Setiap kumpulan hanya
boleh pergi ke stesen yang seterusnya sekiranya mereka dapat menyelesaikan
sesuatu masalah tersebut. Dengan ini, barulah semangat bekerjasama antara
kumpulan dapat dipraktikkan dengan baik, lantas ia dapat menguji ketabahan seseorang
peserta menyelesaikan masalah dalam situasi yang begitu meruncingkan.
Selain itu, saya juga dapati bahawa
bahan makanan, sama ada yang kering ataupun yang basah yang dibekalkan adalah
terlalu banyak dan tidak dapat dihabiskan bagi kumpulan kami. Oleh itu saya
ingin mencadangkan agar mengurangkan
kuantiti bahan mentah untuk sesi makanan untuk mengelakkan pembaziran. Kita
juga boleh mengurangkan kuantiti makanan dengan berkongsi sesuatu bahan dengan
kumpulan yang lain. Sebagai contoh, sebungkus serbuk kari, Ajinamoto, ataupun santan boleh dikongsikan dalam 2 kumpulan kerana
bukan setiap kali kumpulan tersebut akan memasak menu yang sama setiap hari.
Tambahan pula, slot moral boleh ditambahbaikan dan dimurnikan dengan mempelbagaikan
aktiviti-aktiviti yang berkaitan. Contohnya semasa slot moral, kita bukan
sahaja akan membuat pembentangan, tetapi juga boleh melakukan aktivti-aktiviti
yang lebih menarik seperti berinteraksi, forum, perbahasan, public speaking, dan sebagainya.
Sememangnya
peruntukan 4 hari 3 malam bagi kursus BIG ini adalah sedikit mendesak dan tidak
mencukupi. Oleh itu, saya ingin mencadangkan bahawa alangkah baiknya jika kursus BIG ini diadakan selama 5 hari dan 4 malam
supaya masa untuk setiap aktivti yang dirancang mencukupi, tidak terdesak
dan kesannya para peserta akan dapat belajar dan memperoleh sesuatu ilmu
pengetahuan pada tahap yang maksima.
Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus
Batu Lintang kerana menyediakan aktiviti yang begitu bermakna untuk guru-guru
pelatih untuk mengisi masa lapang kami dan juga untuk melatih kami untuk
menjadi seorang guru yang sentiasa tabah menghadapi cabaran, berani menghadapi
segala masalah dan meningkatkan semangat kami untuk bertekad menjadi seorang
guru yang dedikasi dan cinta akan pekerjaannya. selain itu, saya juga ingin
mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Micheal Tarang Jelaming, ketua
pegawai Pengurusan BIG Siri 5 Tahun 2011 kerana sentiasa membantu kami
sepanjang kem BIG ini. Ucapan terima kasih juga tidak lupa ditujuakan kepada
Encik Mohd. Azhar bin Zainal, ketua jurulatih, merangkap penasihat Teknikal,
atas segala tunjuk ajar, nasihat dan juga pertolongan beliau sepanjang kem BIG
ini. Tidak lupa juga kepada semua para jurulatih, fesilitator-fesilitator,
tutor-tutor kumpulan, khususnya tutor kumpulan saya, Encik Ambikaphati, dan
juga staf-staf Kem Alapong, terima kasih diucapkan kerana sentiasa membimbing,
membantu dan menolong kami. Saya yakin
bahawa tanpa usaha dan kerjasama daripada semua pihak, mustahil segala aktiviti
yang dirancang bersempena dengan BIG ini dapat dijalankan dengan lancar dan
sempurna.
Secara
keseluruhannya, program BIG ini dijalankan dengan lancar dan juga telah
menepati matlamatnya untuk membentuk insan guru yang sempurna. Ini merupakan
kaedah yang baik untuk membentuk insan guru yang seimbang. Ternyata banyak
manfaat yang saya dapat daripada semua aktiviti yang dijalankan semasa BIG
(bina insan guru). Semua pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat saya
aplikasikan agar menjadi seorang guru yang lebih jitu dan serba boleh. Saya
berasa seronok dan bersemangat menyertai aktiviti BIG ini. Diharapkan agar
aktiviti ini dijalankan setiap tahun. Saya juga belajar untuk memberi kerjasama
yang jitu dan bertolak ansur dengan ahli kumpulan. Saya dapat rasakan satu
ikatan terjalin semasa aktiviti BIG ini. Terima kasih kerana memberikan peluang
kepada saya untuk menyertai aktiviti ini.
ctk@copyright 2011
No comments:
Post a Comment