Bersyukur
kepada Tuhan kerana saya diberi peluang untuk mengikuti program seminar ceramah
mengenai Etiket Sosial / Social Etiquette
bersempena dengan kursus Bina Insan Guru (BIG) yang telah dilaksanakan di
Auditorium TAZA pada 12 Ogos 2011 yang lepas. Seminar ceramah yang disampaikan
oleh Encik Mahmud Bin Jusuh ini mengambil masa kira-kira 2 jam setengah, iaitu
dari pukul 2.30 petang sehingga pukul 5.00 petang. Sebenarnya saya sentiasa
menanti-nantikan seminar bengkel ini, selepas saya mengikuti program khidmat
komuniti di SMK Perinssen pada beberapa minggu yang lepas, kerana saya yakin
dan percaya bahawa ia akan memberikan satu pengalaman yang luar biasa dan
mendalam bagi saya. Banyak pengalaman, kebaikan, dan manfaat yang telah saya
dapat dan perolehi daripada aktiviti ini.
Sememangnya
seminar
ini telah memberikan impak positif yang
besar dalam diri saya sebagai seorang bakal guru dalam senantiasa beretika
sosial dan berprotokol dalam banyak aspek. Pertama sekali, saya sedar bahawa hidup beragama merupakan elemen yang
terpenting dalam kehidupan kita. Hal ini demikian kerana ia akan menjadi
panduan hidup iman kita sepanjang hayat. Kalau kita tidak mempunyai sebarang
kepercayaan dan agama dalam hidup kita, kita akan berasa sangat pasif, gelisah
dan terganggu apabila kita melanda dilemma kehidupan atau cabaran dalam
kehidupan kita. Jadi, agama diibaratkan sebagai suluh lampu dan berperanan
untuk menyuluh kehidupan kita serta memandu kita agar menjalani kehidupan pada
hala jalan yang betul, halal dan benar.
Selain itu, saya juga sedar bahawa dasar dan latar keluarga yang sihat dan seimbang juga amat penting
dalam penbentukan seorang insan yang beretika sosial. Selepas mendengar
ceramah yang disampaikan oleh Encik Mahmud, saya dapat mempelajari bahawa
ajaran keluarga merupakan unsur yang tidak dapat dipisahkan daripada
pembentukan insan yang mempunyai etika sosial. Sememangnya hidup dengan
beretika harus dimulakan pada ibu bapa terlebih dahulu kerana merekalah yang
melahirkan, menjaga dan mendidik kita sejak dari kita lahir lagi. Ini bermakna
kita meluangkan paling banyak masa untuk bersama dengan mereka. Jadi, sekiranya
ibu bapa memberikan didikan keluarga yang sempurna kepada anak-anak mereka,
seperti membantu anak-anak membanding beza antara kebaikan dan keburukan, cara
yang sopan dan beretika dalam melakukan semua perkara, maka adalah tidak
menjadi masalah bagi mereka apabila mereka pergi ke kumpulan masyarakat yang
lebih besar dan ketika bersosial dengan orang ramai.
Menghadiri seminar ceramah ini juga telah memberikan kesan positif yang amat mendalam terhadap
kerjaya saya. Hal ini demikian kerana daripada ceramah ini, saya sedar
bahawa sebagai seorang bakal guru yang
mempunyai etika sosial yang sempurna, kita haruslah sentiasa mengamalkan sifat tawaduk, atau sikap merendah diri tidak
kira di mana sahaja. Sememangnya semua orang harus bersikap merendah diri
dan tidak sombong, terutamanya terhadap orang yang lebih tua, berpengalaman dan
veteren daripada kita. Kalau tidak, kita akan sentiasa dilebelkan dengan
istilah angkuh, sombong, lawa, dan banyak lagi perkataan yang tidak sedap
didengar dan negatif. Yang teruknya, sekiranya kita dilebelkan dengan
istilah-istilah yang disebutkan di atas, adalah sangat susah bagi individu
tersebut untuk membuktikan bahawa dia sebenarnya bukan orang yang semacam itu.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengawal tingkah laku, pertuturan dan
pemikiran kita pada kadar yang boleh bersamaan dengan rendah diri agar kita
dapat bergaul dengan orang lain dengan harmoni, tenteram dan sejahtera tanpa
sebarang prejudis dan bias terhadap orang itu.
Malah, sebagai
seorang guru yang beretika sosial, kita haruslah sentiasa berpenampilan
sempurna, yang selesa dan disenangi oleh semua pihak, sama ada rakan sejawat,
ibu bapa, murid, ataupun masyarakat awam. Berpenampilan sempurna ini
sebenarnya merujuk kepada bagaimana kita mahu mempamerkan dan menonjolkan
kepada orang lain. Dalam konteks ini, ia merangkumi banyak aspek dan memerlukan
ilmu dan pengetahuan yang khusus, tidak kira cara berpakaian, cara pertuturan,
cara perhubungan dan komunikasi dengan orang lain. Dengan mengambil contoh
tentang cara berpakaian dalam kalangan guru pelatih; selepas mendengar ceramah
tersebut, saya sedar bahawa kita haruslah berpakaian mengikut norma-norma yang
disetujui ramai dan peraturan yang ditetapkan. Sebagai seorang bakal guru, kita
haruslah berpakaian berdasarkan impression
sebagai seorang guru. Oleh itu, pakaian-pakaian yang jenis singkat, ketat,
menjolok mata dan tidak menutup aurat haruslah dielakkan walaupun kita berada
di luar kawasan sekolah, di pusat membeli belah, di cafe makanan, dan
sebagainya. Sama juga seperti kasut, tas tangan, rambut, kuku, barang-barang
perhiasan, dan sebagainya, kita haruslah memakai mengikut peraturan dan norma
masyarakat yang ditetapkan.
Seminar ceramah ini juga turut memberikan impak positif yang amat mendalam terhadap
masyarakat dan komuniti di sekeliling saya. Dalam konteks ini, ia merujuk
kepada aspek pertuturan dan komunikasi dengan orang lain. Selepas mendengar
penerangan Encik Mahmud, saya sedar bahawa sebagai sorang manusia yang hidup
masyarakat, kita haruslah mempunyai
tatacara perkenalan, pertuturan dan cara bermakan yang betul, terutamanya
semasa menghadiri majlis-majlis rasmi. Oleh itu, kita haruslah menjadikan
prinsip “satu hari satu kawan” sebagai amalan dan pegangan hidup kita. Sebagai
seorang guru yang inisiatif, kitalah yang harus memulakan sesebuah hubungan
persahabatan. Janganlah kita tunggu orang lain mengambil tindakan terlebih
dahulu, tetapi kitalah yang harus aktif mengambil langkah untuk berkenalan
dengan orang lain.
Oleh yang yang demikian, saya sedar bahawa untuk menjayakan sesebuah hubungan
persahabatan, kita haruslah mempunyai tatacara berkenalan yang betul dan
sesuai. Perkenalan mempunyai cara dan seni yang tersendiri yang perlu
diketahui oleh setiap individu supaya sesi perkenalan dapat berjalan dengan
lancar. Yang pertama sekali, pastikan kedua-dua pihak bersedia untuk
diperkenalkan. Orang yang diperkenalkan haruslah memandang mata yang menerima
perkenalan tetapi jangan terlalu lama. Jika kita berjabat tangan dengan orang
lain, janganlah kita berjabat terlalu lama ataupun terlalu lekas menarik tangan
seperti kita jijik dengan tangan orang tersebut. Yang paling penting sekali,
kita haruslah jujur dalam perhubungan
dan tidak melakukan apa-apa yang akan merosakkan perhubungan tersebut.
Iktibar lain yang saya dapat daripada seminar ceramah ini
termasuklah kita haruslah mempunyai
tatacara dan tatatertib makanan yang betul dan tepat. Antara kekuatan yang
saya dapat ialah saya mula mengetahui dengan lebih mendalam lagi berkenaan
dengan etiket sosial dan protokol, seperti cara menggunakan sudu dengan betul
semasa makan, cara makan yang betul iaitu perlu mendahulukan jenis makanan yang
mana, cara berpakaian yang sesuai dalam majlis-majlis tertentu serta cara-cara
duduk yang betul. Yang lebih spesifik lagi, saya tahu bahawa semasa menjamu
makanan di high table, saya perlu menunggu pelayan menarik kerusi dan selepas
duduk dia akan meletakkan napkin di atas paha, dan banyak lagi Selain itu, saya
mula sedar akan kepentingan etiket sosial dan protokol dalam kehidupan
sayasebagai seorang bakal pendidik, di mana seorang pendidik perlu melibatkan
diri dalam suatu majlis ataupun suasana yang begitu berprotokol, misalnya perlu
menghadiri makan malam di hotel dan sebagainya.
Malah, saya juga sedar bahawa kita haruslah mempunyai tatacara perbualan sosial yang betul dan sesuai
demi memulakan, mengekalkan dan memajukan sesebuah perhubungan. Dalam seminar
ceramah tersebut, terdapat 11 jenis prinsip yang terkandung dalam tatacara
perbualan sosial. Antaranya termasuklah kita perlulah menggunakan prinsip
berhenti, lihat, dengar barulah bercakap. Janganlah kita menjadi “jurujual”
ataupun “jet-plane”. Jangan pula kita membuat bising seperti “concorde” pula.
Sepatutnya kita perlu bercakap dengan orang yang berada di kiri dan di kanan
kita. Malah,kawalan mata dan anggota adalah amat penting sekali agar orang
berada selesa berkomunikasi dengan kita. Kita juga perlu peka dengan sekeliling
kita. Kalau orang yang kita bercakap itu hanya menjawab “ya... tidak...”
sahaja, ia bermaksud orang itu tidak berminat tentang topik yang dibincangkan.
Oleh yang demikian, topik perbualan kita haruslah sesuai dan berpatutan.
Janganlah kita membincangkan perkara-perkara yang tidak sesuai seperti hal-hal
peribadi, agama, politik, dan sebagainya, kecuali topik-topik berkenaan adalah
minatnya. Sebaliknya, kita boleh membincangkan topik-topik seperti muzik,
makanan, buku, berkebun, dan lain-lain semasa kita berbual atau bersosial
dengan orang lain. Namun, apa yang paling penting dalam tatacara perbualan
sosial ialah hormat-menghormati. Contohnya, kita patut mematikan telefon bimbit
semasa makan dan berkomunikasi, selaras dengan apa yang diperkatakan oleh Encik
Mahmud: “Dalam sesebuah perhubungan,
yang tua dihormati, menghormati yang tua satu kewajipan; dengan yang sebaya
kesantunan dan dengan yang muda kasih sayang”. Dengan mengamalkan semua
ini, pasti ia akan memberikan impak positif
terhadap negara kita apabila semua pelancong yang melawat ke negara kita
memuji rakyat Malaysia bersopan-santun, beretiket sosial dan bersahsiah murni.
Dengan itu, nescaya imej baik negara
kita akan meningkat dan disanjung di persada dunia.
Jadi
ternyata di sini bahawa banyak manfaat yang saya dapat daripada apa yang
diperkatakan oleh Encik Mahmud sepanjang seminar ceramah etiket sosial ini.
Semua pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat akan saya aplikasikan agar
menjadi seorang guru yang lebih jitu dan serba boleh. Diharapkan agar aktiviti
seperti ini dijalankan pada masa yang akan datang. Terima kasih sekali lagi
kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyertai aktiviti ini.
ctk@copyright 2011
No comments:
Post a Comment