Pages

Thursday, October 13, 2011

Refleksi Kendiri BIG PISMP Sem 1 April 2011


Bersyukur kepada Tuhan kerana saya telah mengikut semua aktiviti semasa kursus Bina Insan Guru (BIG) yang telah dilaksanakan di Kem Alapong, Lundu pada 18 April hingga 21 April 2011 yang lalu. Kursus BIG ini sebenarnya merupakan fobia bagi saya selama semester ini memandangkan majoriti kursus BIG ini adalah terdiri daripada aktiviti-aktiviti lasak yang sekaligus menguji ketahanan mental dan fizikal saya. Saya begitu bersyukur dan sangat gembira kerana saya dapat bertahan sehinggalah BIG ini berakhir selepas 4 hari 3 malam. Banyak pengalaman, kebaikan, dan manfaat yang telah saya dapat dan perolehi daripada aktiviti ini.
Pertama sekali, saya sedar bahawa pengurusan masa adalah amat penting demi memastikan segala aktiviti yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dengan masa yang telah ditetapkan. Hal ini penting kerana sekiranya sesuatu aktiviti telah bertangguh atau tergendala, ianya pasti akan menjejaskan atur cara atau aktiviti yang seterusnya. Kesannya, semua perkara terpaksa dijalankan dengan kadar yang lebih cepat dan menyebabkan kami menghadapi kekurangan masa bagi sesuatu sesi atau slot aktiviti. Sepanjang BIG ini, saya sentiasa patuh akan masa dan menasihati atau memberitahu akan rakan yang lain supaya membuat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, kami dikehendaki berada di Dewan Serbaguna 10 minit lebih awal bagi aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) seperti yang telah diamanahkan oleh Puan Rojiah. Oleh itu, apabila kami terdengar bunyi wisel yang menandakan tiba masanya untuk pergi ke dewan, kami akan terus melepaskan segala kerja dan tugasan yang kami sedang buat dan pergi ke dewan bagi memastikan kelancaran sesuatu aktiviti. Pendek kata, saya berpendapat bahawa sikap menepati masa haruslah dipupuk dari semasa ke semasa bagi memastikan sesuatu aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar.
Selain itu, kursus BIG ini juga berjaya membina keperibadian saya yang sempurna, seperti memupuk sikap keterbukaan, toleransi, kerjasama, tolong-menolong, kerajinan, kesabaran, ketabahan, dan sebagainya dalam diri saya. Hal ini demikian kerana sepanjang 4 hari dan 3 malam ini, saya dan juga rakan-rakan yang lain terpaksa melakukan banyak perkara yang tidak pernah saya lakukan dalam seumur hidup saya, seperti mendirikan gajet, memasang rakit, berakit, menghidupkan api dan memasak di hutan rimba dan di tepi pantai, dan banyak lagi. Saya sedar bahawa tanpa nilai-nilai yang saya perkatakan di atas, semua itu mustahil dapat dilaksanakan dan dilakukan. Malah daripada BIG ini, saya sedar bahawa kerjasama yang sepenuh dan koheren dalam kalangan ahli kumpulan adalah penting demi menyiapkan sesuatu tugasan tepat pada masanya. Oleh itu, kursus BIG ini telah berjaya memupuk nilai-nilai moral yang baik dalam diri saya, membina modal insan yang lebih sempurna dan menjadikan saya seorang yang lebih baik dalam semua aspek.
Di samping itu, kursus BIG ini juga merupakan satu media untuk membolehkan saya memahami akan diri saya dengan lebih mendalam lagi. Iktibar dan kesedaran ini telah saya peroleh sepanjang saya menghadiri dan menyertai aktiviti LDK yang diadakan pada setiap pagi dan malam sepanjang kursus tersebut dijalankan. Dalam LDK tersebut, kami telah diminta membuat beberapa kajian soal selidik seperti Soal Selidik Minat Kerjaya (Self-Directed-Search/SDS), Inventori Pengurusan Konflik, What Motivates You?, dan Self Esteem Test. Daripada aktiviti-aktiviti soal selidik yang telah saya jalankan, saya dapat memahami diri saya dengan lebih mendalam lagi. Bagi Soal Selidik Minat Kerjaya, saya sedar bahawa ciri social adalah amat penting sekali bagi pekerjaan sebagai seorang guru kerana kita sentiasa berhadapan dan dengan murid dan mendidik mereka. Sekiranya kita tidak suka bersosial ataupan berurusan dengan orang lain, maka adalah sukar bagi kita sekiranya kita ingin menjalankan tugas kita dengan baik. Dan sudah tentu ciri-ciri yang lain, seperti artistic, investigative, reality, dan sebagainya juga adalah amat penting sebagai pelengkap bagi pekerjaaan kita sebagai seorang guru. Bagi Inventori Pengurusan Konflik pula, saya bersyukur kerana selepas menjalani inventori tersebut, saya merupakan salah seorang yang berada pada kategori yang normal. Namun, ini menyedarkan saya supaya sentiasa berwaspada dan mengambil berat tentang perasaan dan pengurusan konflik saya demi menjadikan saya seorang yang lebih sempurna dan seimbang dari semua aspek. Malah, untuk soal selidik What Motivates You pula, saya  sedar bahawa kerjaya yang menyeronokkan, melakukan kerja yang bermanfaat dan cabaran tugas/ kerja merupakan antara 3 aspek yang harus menjadi prioriti dan keutamaan dalam memilih pekerjaan berbanding dengan aspek-aspek yang lain seperti cuti, ganjaran, gaji, jaminan masa hadapan dan sebagainya. Kajian soal selidik dan aktiviti ini penting bagi saya kerana ia telah meningkatkan semangat saya untuk menjadi seorang guru yang bertanggungjawab, berdedikasi, dan bersentiasa berpusatkan murid dalam melakukan semua perkara.
Malah, saya juga sedar bahawa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan adalah amat penting. Hal ini demikian untuk memastikan keselamatan kita terjamin dan demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, saya pelajari bahawa kita haruslah mematuhi semua peraturan dan undang-undang kerana setiap peraturan yang ditetapkan mempunyai kewajaran dan rasionalnya. Contohnya, apabila kami mula sampai ke Kem Alapong, kami telah diberi taklimat ringkas oleh Encik Micheal Tarang Jelaming, Penyelaras Kursus BIG ini tentang peraturan dan undang-undang yang harus dipatuhi sepanjang 4 hari 3 malam ini. Dalam taklimatnya, beliau telah menegaskan tentang aspek pengangkutan, pakaian, kawasan larangan, pergerakan, kebersihan, bilik air, menepati masa, tempat makan, adab makan, keselamatan, kecemasan, tazkirah, dan sebagainya. Begitu juga untuk setiap aktiviti, seperti aktiviti air dan aktiviti darat, arahan dan peraturan telah dijelaskan terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang aktiviti. Pada pengamatan saya, ini penting, khususnya semasa di aktiviti air kerana saya tidak tahu berenang dan dengan peraturan dan arahan yang dibagi akan memastikan saya sentiasa selamat dan tidak berada dalam keadaan yang membahayakan. Oleh itu, bersyukur kerana dengan arahan jelas yang diberi, saya dapat selamat menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.
Saya juga sedar bahawa kita haruslah bertanggungjawab dalam semua perkara yang telah diamanahkan kepada kita. Hal ini demikian kerana kami akan bertukar peranan ataupun jawatan berselang 6 jam secara bergilir-gilir. Antara jawatan yang telah saya sandangkan sepanjang 4 hari 3 malam ini termasuklah ketua, penolong ketua, setiausaha, Quarters Master (QM) makanan, QM peralatan, penolong QM makanan, penolong QM peralatan dan sebagainya. Malah, setiap orang berpeluang menyandang jawatan tersebut dan merasai kesenangan dan kesusahan jawatan tersebut, memandangkan setiap jawatan mempunyai tugasannya yang tersendiri. Namun, saya sentiasa berwaspada, bertanggungjawab, berhati-hati dalam setiap tugasan yang diamanahkan kepada saya. Pendek kata, BIG ini telah melatih saya untuk menjadi seorang yang tidak mudah pecah amanah dan melakukan yang terbaik dalam semua perkara.
Saya turut dapat memahami tentang flora dan fauna serta lautan dengan lebih mendalam melalui BIG ini. Semasa melakukan aktivti darat, iaitu kembara ke hutan rimba, kami telah dibahagikan tugasan untuk menyiapkan lembaran kerja eksplorasi flora dan fauna. Kami dikehendaki untuk memerhatikan flora dan fauna sepanjang kami memasuki ke hutan rimba di Lundu dengan berjalan kaki dari tempat perkhemahan. Selain itu, kami dikehendaki untuk mencatatkan ciri-ciri flora dan fauna tersebut dan dan menerangkan fungsinya. Oleh itu, saya berpeluang untuk melihat banyak haiwan dan tumbuhan yang tidak pernah saya lihat selama ini dan mendapat banyak pendedahan dan pengetahuan tentang flora dan fauna yang telah dibentang dan dikongsikan pengalaman bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Sementara aktiviti berakit di laut semasa aktiviti air merupakan sesuatu yang baharu kepada saya kerana ia merupakan kali pertama saya berakit di laut. Saya berpeluang untuk mendekati lautan dan merasai keunikan alam sekitar. Saya turut merasai kesukaran menghidupkan api dan memasak di hutan rimba dan juga di persisiran pantai. Semua ini adalah sebagai persiapan kepada saya selepas menamatkan pengajian sekiranya saya ditempatkan di tempat pedalaman. Walaupun agak susah dan penat, tetapi ia telah membakar semangat saya untuk tabah meneruskan kehidupan dan lebih memahami hutan rimba dan lautan.
Di samping itu, saya berpendapat bahawa kursus BIG ini mampu mencungkil bakat dan potensi yang sekian terpendam dalam diri seseorang. Sebagai contoh, saya baru perasan bahawa saya mempunyai bakat untuk menyanyi selepas menghadiri kursus ini apabila saya dikehendaki untuk mewakili kumpulan saya dalam pertandingan karaoke solo pada malam persembahan. Selain itu, semasa sesi pembentangan pada slot moral, saya juga berpeluang untuk membentang salah satu bahagian pada hari yang ketiga, iaitu mengenai langkah-langkah untuk mengatasi masalah ponteng sekolah. Dari situ, bakat membentang dan juga berdebat dengan pendapat kumpulan-kumpulan lain dapat terbentuk. Malah, saya perhatikan sebenarnya terdapat banyak orang yang mahir memasak dalam kumpulan kami. Saya bersyukur kerana dengan bakat dan potensi memasak yang ada dalam kalangan ahli kumpulan saya, kumpulan kami telah berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan memasak. Jadi, saya berpendapat bahawa BIG membolehkan setiap orang melihat kebolehan, bakat dan potensi sendiri yang tidak perasan selama ini dan dari situlah seseorang itu akan berusaha untuk mengasah dan meningkatkan kebolehan dan bakat masing-masing.
Lantas, saya percaya dan berpegang kuat kepada prinsip kita haruslah berani mencuba sesuatu yang baharu dan tidak mengalah kalah sehingga kita mencuba dengan sedaya upaya. Sebagai contoh, kumpulan kami, iaitu kumpulan 4 dikehendaki mempersembahkan persembahan dikir barat untuk malam persembahan tersebut. Walaupun tidak ada orang dalam kalangan kami yang pandai dikir barat, namun kami tetap mencuba dengan menggunakan kaedah dan cara yang tersendiri. Berkat hasil daripada usaha dan kerjasama setiap ahli kumpulan, kami berjaya mempersembahkannya dengan agak berjaya dan mendapat tempat kedua pada malam persembahan tersebut. Jadi, ini jelas membuktikan bahawa semua perkara akan berhasil dan menampakkan kejayaan sekirannya kita berusaha gigih dan mempunyai iltizam untuk membuat perkara tersebut.
Saya juga telah mendapat satu pengajaran yang sangat bermakna melalui BIG ini, iaitu bersosial dengan orang lain akan memudahkan kita dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana kita sebagai manusia tidak dapat hidup tanpa kawan, memandangkan manusia adalah golongan yang hidup berkumpulan, berorganisasi, dan bersosial. Dengan kata lain, kita perlu berinteraksi dengan orang lain. Dengan cara komunikasi yang sesuai, kita akan mendapat banyak kawan yang dapat berkongsi masalah dan mendapatkan bantuan yang dapat membantu kita menyelesaikan masalah kita. Dengan mengambil contoh BIG ini, saya telah berjaya mendapatkan banyak bantuan daripada rakan sekelas dan juga rakan dari kumpulan yang lain dengan berkenalan dan berkomunikasi dengan mereka, sama ada semasa memasak, mendirikan bendera, memasang khemah, membina gajet, menhidupkan api, terlibatan dalam kawalan sentri, dan sebagainya. Tanpa bantuan daripada rakan yang lain, adalah mustahil saya dapat melaksanakan semua ini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa sosial yang aktif adalah sangat penting bagi memastikan kita dapat bergaul dan berkomunikasi dengan orang lain dengan baik. Kursus ini juga secara langsung merapatkan hubungan silaturahim sesama rakan sekelas dan juga rakan-rakan juga kumpulan yang lain. Semua ini tidak dapat saya pelajari jika tidak menjalankan BIG pada semester ini.
Terdapat beberapa kelemahan pada diri saya yang telah saya perasan dan sedar sepanjang saya menjalankan BIG ini. Antaranya termasuklah saya tidak mempunyai keyakinan yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya, sebelum menjalankan BIG ini, saya telah dimaklumkan bahawa mewakili kumpulan kami untuk menyertai pertandingan karaoke solo pada malam persembahan. Pada mulanya saya amat menolak dan tidak mahu kerana takut akan menjatuhkan air muka. Namun atas dorongan dan sokongan dari ahli kumpulan dan juga rakan sekelas, saya telah mengambil keputusan untuk menyanyi. Begitu juga semasa aktiviti air dan aktiviti water confident, sebenarnya saya takut untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut kerana saya fobia akan air dan tidak pandai berenang. Malah, saya juga berasa takut melakukan aktiviti abseiling kerana saya gayat tinggi. Namun dengan bantuan rakan yang sama kumpulan dan sekelas,saya telah berjaya menjalankan semua aktiviti yang dirancang oleh pihak institut dengan lancar dan berjaya. Jadi, selepas BIG ini, saya dapati keyakinan saya meningkat dan sentiasa berasa berkeyakinan diri dalam melakukan semua perkara.
Selain itu, saya juga mendapati bahawa saya agak lemah dari segi mental dan fizikal. Dari segi mental, dahulu saya sering mengambil alternatif mudah dengan memutus asa apabila berhadapan dengan masalah yang meruncingkan. Saya juga tidak begitu kuat dalam konteks melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti dalam berlari, memasang khemah, mamasang rakit, berakit, dan sebagainya. Saya sedar bahawa semua aktiviti yang dirancang dalam BIG adalah bertujuan untuk memupuk, menguji, dan meningkatkan ketabahan dan keberanian diri sebagai seorang guru melalui semua aktivti tersebut. Mengetahui kelemahan saya itu sekarang, jadi saya bertekad menjadi seorang yang sentiasa sihat dan kuat dari aspek mental dan fizikal. Saya juga akan sentiasa melatih dan meningkatkan aspek fizikal dan mental saya, seperti bersenam pada masa lapang, membaca buku-buku motivasi, sentiasa berbual-bual dan mendapatkan nasihat yang berguna dan padat dengan senior ataupun guru pensyarah saya. Nescaya selepas menjalani BIG ini dan mempraktikkan semua langkah yang telah saya cadangkan di atas, saya akan menjadi seorang yang cerdas dan cergas pada masa yang akan datang.
Bagi cara-cara penambahbaikan pula, pada pendapat saya, program BIG ini akan menjadi lebih menarik jika sesetengah slot dan sesi diisi dengan aktiviti-aktiviti IQ yang mencabar, seperti stesen games, dilemma konflik, main peranan, dan sebagainya. Permainan berbentuk stesen games merupakan salah satu cadangan yang sangat digalakkan. Dalam stesen games, setiap kumpulan haruslah menyelesaikan tugasan yang diberikan dalam setiap stesen, sama ada berbentuk fizikal atau mental. Setiap kumpulan hanya boleh pergi ke stesen yang seterusnya sekiranya mereka dapat menyelesaikan sesuatu masalah tersebut. Dengan ini, barulah semangat bekerjasama antara kumpulan dapat dipraktikkan dengan baik, lantas ia dapat menguji ketabahan seseorang peserta menyelesaikan masalah dalam situasi yang begitu meruncingkan.
            Selain itu, saya juga dapati bahawa bahan makanan, sama ada yang kering ataupun yang basah yang dibekalkan adalah terlalu banyak dan tidak dapat dihabiskan bagi kumpulan kami. Oleh itu saya ingin mencadangkan agar mengurangkan kuantiti bahan mentah untuk sesi makanan untuk mengelakkan pembaziran. Kita juga boleh mengurangkan kuantiti makanan dengan berkongsi sesuatu bahan dengan kumpulan yang lain. Sebagai contoh, sebungkus serbuk kari, Ajinamoto, ataupun santan boleh dikongsikan dalam 2 kumpulan kerana bukan setiap kali kumpulan tersebut akan memasak menu yang sama setiap hari.
            Tambahan pula, slot moral boleh ditambahbaikan dan dimurnikan dengan mempelbagaikan aktiviti-aktiviti yang berkaitan. Contohnya semasa slot moral, kita bukan sahaja akan membuat pembentangan, tetapi juga boleh melakukan aktivti-aktiviti yang lebih menarik seperti berinteraksi, forum, perbahasan, public speaking, dan sebagainya.
Sememangnya peruntukan 4 hari 3 malam bagi kursus BIG ini adalah sedikit mendesak dan tidak mencukupi. Oleh itu, saya ingin mencadangkan bahawa alangkah baiknya jika kursus BIG ini diadakan selama 5 hari dan 4 malam supaya masa untuk setiap aktivti yang dirancang mencukupi, tidak terdesak dan kesannya para peserta akan dapat belajar dan memperoleh sesuatu ilmu pengetahuan pada tahap yang maksima.
Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang kerana menyediakan aktiviti yang begitu bermakna untuk guru-guru pelatih untuk mengisi masa lapang kami dan juga untuk melatih kami untuk menjadi seorang guru yang sentiasa tabah menghadapi cabaran, berani menghadapi segala masalah dan meningkatkan semangat kami untuk bertekad menjadi seorang guru yang dedikasi dan cinta akan pekerjaannya. selain itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Micheal Tarang Jelaming, ketua pegawai Pengurusan BIG Siri 5 Tahun 2011 kerana sentiasa membantu kami sepanjang kem BIG ini. Ucapan terima kasih juga tidak lupa ditujuakan kepada Encik Mohd. Azhar bin Zainal, ketua jurulatih, merangkap penasihat Teknikal, atas segala tunjuk ajar, nasihat dan juga pertolongan beliau sepanjang kem BIG ini. Tidak lupa juga kepada semua para jurulatih, fesilitator-fesilitator, tutor-tutor kumpulan, khususnya tutor kumpulan saya, Encik Ambikaphati, dan juga staf-staf Kem Alapong, terima kasih diucapkan kerana sentiasa membimbing, membantu dan menolong kami.  Saya yakin bahawa tanpa usaha dan kerjasama daripada semua pihak, mustahil segala aktiviti yang dirancang bersempena dengan BIG ini dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.
Secara keseluruhannya, program BIG ini dijalankan dengan lancar dan juga telah menepati matlamatnya untuk membentuk insan guru yang sempurna. Ini merupakan kaedah yang baik untuk membentuk insan guru yang seimbang. Ternyata banyak manfaat yang saya dapat daripada semua aktiviti yang dijalankan semasa BIG (bina insan guru). Semua pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat saya aplikasikan agar menjadi seorang guru yang lebih jitu dan serba boleh. Saya berasa seronok dan bersemangat menyertai aktiviti BIG ini. Diharapkan agar aktiviti ini dijalankan setiap tahun. Saya juga belajar untuk memberi kerjasama yang jitu dan bertolak ansur dengan ahli kumpulan. Saya dapat rasakan satu ikatan terjalin semasa aktiviti BIG ini. Terima kasih kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyertai aktiviti ini.

ctk@copyright 2011

No comments:

Post a Comment

Post a Comment